Sebagai rakyat Malaysia, kita membesar dengan pelbagai jenis makanan. Daripada nasi lemak hingga roti canai, pilihan makanan sememangnya tidak pernah kurang. Namun, apabila tiba waktu makan bersama anak, ramai ibu bapa berdepan dengan persoalan yang sama: Kenapa anak saya tidak mahu makan?
Tabiat memilih makanan merupakan antara cabaran yang lazim dihadapi ibu bapa ketika anak berada pada peringkat awal kanak-kanak. Tambahan pula, dianggarkan antara 25 hingga 66 peratus kanak-kanak kecil mengalami masalah tersebut.
Keadaan itu boleh menimbulkan kebimbangan, terutama apabila makanan yang sudah mengambil masa dan tenaga untuk disediakan ditolak begitu sahaja. Ibu bapa juga mula tertanya-tanya sama ada anak mendapat zat makanan yang mencukupi.

Pakar Perunding Pediatrik
di Pusat Perubatan Ara Damansara
Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr. Sheena Davahran berkata, tabiat memilih makanan lazimnya merupakan sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak dan tidak semestinya menunjukkan terdapat masalah terhadap pemakanan mereka.
Bermula Seawal 18 Bulan
Tabiat memilih makanan biasanya mula kelihatan apabila kanak-kanak berusia antara 18 bulan hingga dua tahun. Pada usia ini, mereka sedang belajar untuk berdikari dan mula membuat pilihan sendiri.
Makanan menjadi antara cara terawal untuk mereka menunjukkan kehendak, pilihan dan keinginan untuk mempunyai kawalan terhadap apa yang dilakukan. Anak yang sebelum ini makan hampir semua makanan ketika mula diperkenalkan kepada makanan pejal juga boleh tiba-tiba menolak makanan yang pernah menjadi kegemaran mereka.
Bagi kebanyakan kanak-kanak, keadaan ini merupakan sebahagian daripada perkembangan normal dan bukannya petanda bahawa sesuatu yang tidak kena sedang berlaku. Apabila semakin membesar, khususnya selepas memasuki alam prasekolah dan sekolah rendah, kebanyakan kanak-kanak akan mula lebih terbuka untuk mencuba makanan yang berbeza.
Mereka mungkin masih mempunyai makanan kegemaran, sama seperti orang dewasa, tetapi pilihan makanan biasanya menjadi lebih pelbagai dari semasa ke semasa.
Mengapa Anak Tiba-tiba Jadi Terlalu Memilih?
Memilih makanan selalunya berkait rapat dengan perkembangan anak. Ketika mula diperkenalkan kepada makanan pejal, bayi biasanya menerima pelbagai jenis makanan yang ditawarkan. Namun, apabila memasuki usia kanak-kanak kecil, mereka mula membuat keputusan sendiri mengenai makanan yang mahu dimakan.
Jadi, apabila anak menolak makanan tertentu, ia tidak semestinya kerana mereka tidak menyukai makanan tersebut. Dalam banyak keadaan, ia lebih berkait dengan keinginan untuk membuat pilihan sendiri. Bagi anak, menolak makanan juga boleh menjadi salah satu cara untuk menunjukkan bahawa mereka sudah mula mempunyai kehendak dan pilihan sendiri.
Apabila Nuget dan Kentang Goreng Jadi Pilihan Utama

Tidak menghairankan apabila kanak-kanak kecil lebih cenderung memilih makanan seperti nuget, kentang goreng dan makanan ringan yang diproses kerana makanan seperti ini lazimnya mempunyai kandungan garam dan tenaga yang lebih tinggi, selain mempunyai rasa serta tekstur yang lebih mudah diterima oleh kanak-kanak.
Bagaimanapun, melarang makanan berkenaan sepenuhnya bukan semestinya pendekatan terbaik. Larangan yang terlalu ketat boleh menyebabkan anak semakin tertarik untuk mencubanya, terutama apabila mereka melihat adik-beradik atau rakan menikmati makanan tersebut. Sebaliknya, ibu bapa boleh mengawal pengambilannya secara sederhana sambil memperkenalkan pilihan makanan yang lebih berkhasiat secara berperingkat.
Apa Yang Boleh Ibu Bapa Lakukan?
1. Buat pilihan yang lebih sihat
Kanak-kanak yang gemar makanan diproses boleh diperkenalkan kepada pilihan yang lebih sihat dan disediakan sendiri di rumah. Nuget sejuk beku, misalnya, boleh digantikan dengan nuget ayam buatan sendiri, manakala kentang goreng boleh disediakan menggunakan kentang segar yang dibakar.
Pemakanan sihat juga tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi. Bahan makanan tempatan yang mudah diperoleh boleh digunakan untuk menyediakan hidangan yang berkhasiat tanpa perlu berbelanja besar.
Jika anak mula bosan dengan ayam atau ikan, ibu bapa boleh menawarkan sumber protein lain seperti telur, tauhu dan kekacang. Makanan yang sama juga boleh disediakan dalam bentuk atau kaedah masakan yang berbeza.
Ada kalanya, perubahan kecil pada rupa, tekstur atau cara penyediaan sudah cukup untuk membuatkan anak lebih bersedia mencubanya. Apa yang penting, jangan paksa anak makan. Teruskan menawarkan pelbagai jenis makanan dan berikan mereka masa untuk mengenali rasa serta tekstur yang baharu.
2. Makan bersama-sama
Kanak-kanak banyak belajar melalui pemerhatian. Apabila seluruh keluarga duduk bersama dan menikmati hidangan yang sama, anak lebih mudah terdorong untuk mencuba makanan yang berbeza.
Sebaliknya, jika ibu bapa menggalakkan anak makan makanan sihat tetapi mereka sendiri kerap memilih makanan yang kurang berkhasiat, anak juga akan melihat perkara tersebut.
Waktu makan bersama keluarga turut membantu anak belajar berdikari. Memberikan mereka pinggan, sudu dan peralatan makan sendiri boleh membuatkan mereka berasa lebih terlibat dan menjadi sebahagian daripada waktu makan bersama keluarga.
3. Simpan telefon dan tablet ketika makan
Apabila anak makan sambil melihat telefon atau tablet, perhatian mereka mudah teralih daripada makanan. Mereka mungkin menghabiskan hidangan, tetapi tidak benar-benar memberi perhatian kepada rasa, tekstur atau pengalaman menikmati makanan tersebut.
Makan bukan sekadar untuk mengenyangkan perut. Ia juga merupakan peluang untuk anak mengenali pelbagai rasa dan tekstur serta membina hubungan yang baik dengan makanan.
Penggunaan skrin sebagai ganjaran atau untuk mengalih perhatian anak ketika makan juga boleh menjadi satu tabiat yang sukar diubah kemudian hari.
4. Lihat pengambilan makanan anak secara keseluruhan
Ibu bapa tidak semestinya perlu terlalu risau jika anak makan sedikit pada satu-satu waktu makan. Sebaliknya, pengambilan makanan perlu dilihat secara keseluruhan sepanjang hari bagi memastikan anak mendapat keseimbangan nutrien yang diperlukan.
Jika anak makan sedikit ketika waktu makan, ibu bapa boleh menawarkan snek berkhasiat antara waktu makan seperti buah-buahan, roti atau pilihan makanan lain yang sesuai.
Pada masa kini, terdapat pelbagai sumber maklumat dan aplikasi yang boleh membantu ibu bapa memahami serta memantau pengambilan zat makanan anak dengan lebih baik.
Bila Memilih Makanan Bukan Lagi Sekadar Fasa?
Walaupun memilih makanan lazimnya merupakan sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak, keadaan ini perlu diberi perhatian sekiranya mula menjejaskan tumbesaran, pemakanan atau perkembangan anak. Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah:
- Berat badan atau tumbesaran anak tidak bertambah dengan baik;
- Menunjukkan tanda kekurangan vitamin atau zat makanan seperti anemia;
- Memberikan reaksi melampau terhadap makanan seperti tercekik, loya atau muntah; dan
- Hanya mengambil beberapa jenis makanan untuk tempoh yang panjang.
Keadaan berkenaan mungkin menunjukkan masalah berkaitan deria, keengganan terhadap makanan atau gangguan pemakanan yang memerlukan penilaian lanjut.
Jika ibu bapa tidak pasti sama ada tabiat pemakanan anak masih dalam lingkungan normal, mendapatkan nasihat doktor lebih awal adalah langkah yang wajar.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala membolehkan tumbesaran, pemakanan dan perkembangan anak dipantau dengan lebih dekat, selain membantu mengenal pasti sebarang kebimbangan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Untuk menyertai kelab kanak-kanak Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC) secara PERCUMA, sila layari laman web rasmi sini.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan info terkini daripada pakar kesihatan di Malaysia melalui ruang INI.
