Sebagai usaha memperkukuh amalan pendidikan inklusif dan memastikan setiap kanak-kanak berpeluang belajar serta berkembang melalui aktiviti bermain, Taylor’s College dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) telah menganjurkan aktiviti bermain secara inklusif di Kampus Taylor’s Lakeside.
Program ini menghimpunkan kanak-kanak berusia antara 3 hingga 12 tahun untuk menyertai pelbagai aktiviti berasaskan permainan yang direka bagi menyokong perkembangan pembelajaran, kreativiti dan kemahiran sosial merentasi pelbagai tahap kebolehan dan kemahiran.

Program yang dianjurkan oleh Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DECE) bersempena Hari Bermain Sedunia dan Hari Bermain Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini selaras dengan tema tahun ini yang menekankan nilai keamanan, keterangkuman dan kebebasan untuk setiap kanak-kanak.
Dengan menghimpunkan kanak-kanak, keluarga, pendidik dan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan permainan inklusif, di samping memupuk kefahaman, empati dan sokongan masyarakat yang lebih kukuh terhadap kanak-kanak yang mempunyai pelbagai kebolehan.
Sebanyak 18 stesen permainan interaktif telah dikendalikan oleh 60 orang sukarelawan yang terdiri daripada guru-guru NASOM dan pelajar DECE. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk permainan berinspirasikan terapi dan aktiviti sensori seperti Adventure Trail, Paper Pool, Roll the Ball by Number dan BBQ Role Play.

Aktiviti-aktiviti ini direka bagi merangsang perkembangan kognitif, penglibatan deria serta pembelajaran secara langsung melalui aktiviti bermain. Pada masa yang sama, ia membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran motor halus, penerokaan deria, literasi dan numerasi, selain memupuk kreativiti serta kemahiran menyelesaikan masalah.
Selain menyediakan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak dan keluarga, program ini turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang bernilai kepada pelajar DECE. Mereka berpeluang untuk mereka bentuk aktiviti dan bahan pembelajaran berasaskan permainan yang mampan serta inklusif.
Melalui inisiatif ini, para pelajar memperoleh pengalaman praktikal dalam menyokong kanak-kanak dengan pelbagai keperluan dan kebolehan pembelajaran, sekali gus mengukuhkan pemahaman mereka tentang kepentingan permainan inklusif dalam perkembangan awal kanak-kanak.
Wakil keluarga dan NASOM turut dijemput untuk memberikan maklum balas secara langsung kepada pelajar, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kolaboratif dan reflektif.
Pengarah Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Taylor’s College, Nurul Iman Arshad, berkata inisiatif seperti ini memainkan peranan penting dalam membina komuniti yang lebih inklusif.
“Aktiviti bermain merupakan medium yang amat berkesan dalam menyokong proses pembelajaran, interaksi dan perkembangan kanak-kanak. Melalui kerjasama kami dengan NASOM, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sokongan awal dan permainan inklusif, di samping menggalakkan masyarakat untuk lebih memahami serta menyokong kanak-kanak dengan pelbagai kebolehan. Program ini juga amat bermakna kepada pelajar kami kerana ia memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang dan kebolehan, sekali gus memupuk minat, empati dan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk membentuk generasi masa hadapan melalui pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Kesemua hasil sumbangan daripada program ini telah disalurkan kepada NASOM bagi menyokong usaha organisasi tersebut dalam meningkatkan kualiti hidup individu autisme dan keluarga mereka melalui pelbagai program, perkhidmatan, sumber, perkongsian ilmu serta usaha advokasi yang memperjuangkan hak dan peluang yang saksama untuk semua.
Pengurus Pengumpulan Dana dan Komunikasi NASOM, Mohd Zakwan Zainal, turut menekankan kepentingan menyediakan lebih banyak peluang inklusif untuk kanak-kanak berkeperluan khas belajar, bermain dan berinteraksi bersama rakan sebaya melalui kerjasama seperti ini. “Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, peluang untuk bermain, berinteraksi dan belajar bersama-sama orang lain amat bermakna serta penting dalam menyokong perkembangan mereka. Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana kerjasama komuniti mampu menyokong pelaksanaan pendidikan dan aktiviti yang lebih inklusif. Usaha sebegini turut menyumbang kepada peningkatan kefahaman dan penerimaan masyarakat secara lebih menyeluruh,” katanya.
Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Taylor’s College merupakan program pengajian selama dua tahun setengah yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teori dan kemahiran praktikal untuk menyokong perkembangan serta pembelajaran kanak-kanak.

Pelajar didedahkan kepada pelbagai aspek perkembangan dan tingkah laku kanak-kanak, di samping memperoleh pengalaman secara langsung melalui inisiatif berasaskan komuniti dan penglibatan industri. Tahun lalu, Taylor’s College turut bekerjasama dengan SPICES, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan intervensi dan peluang permainan inklusif untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Untuk maklumat lanjut mengenai program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Taylor’s College, sila layari https://college.taylors.edu.my/en/study/explore-all-programmes/school-of-diploma-studies/diploma/diploma-in-early-childhood-education.html
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!
