Tempat kerja di Malaysia beroperasi pada rentak yang pantas, memaksa pekerja berada di pejabat untuk tempoh yang lama dan sentiasa terikat dengan peranti masing-masing. Penekanan terhadap produktiviti telah menyebabkan lebih ramai individu mengalami stres yang kronik dan burnout.
Risiko menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk diabetes, penyakit jantung, dan hipertensi juga semakin meningkat. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan, lebih setengah juta rakyat Malaysia menghidapi empat jenis penyakit tidak berjangkit (NCD).
Dari jumlah ini, diabetes sahaja menjejaskan 15.6% populasi dan terdapat peningkatan kes dalam kalangan mereka yang berumur 18 hingga 29 tahun.
Pemeriksaan kesihatan sering gagal mengesan masalah kesihatan yang berpunca daripada stres. Dr Wee Hui Yin, Pegawai Perubatan Residen di Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, berkata pesakit jarang menyebut istilah burnout. Namun, mereka kerap menunjukkan tanda-tanda stres semasa sesi konsultasi dan penilaian sejarah kesihatan.
“Ramai yang tidak memanggilnya burnout, tetapi ia muncul dalam bentuk keletihan, kerengsaan, masalah tidur, dan toleransi yang lebih rendah di tempat kerja serta di rumah,” katanya.
Stres Adalah Perkara Biasa, Tetapi Jarang Diluahkan

Pegawai Perubatan Residen di Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway
“Kadar burnout di Malaysia sangat membimbangkan. Seramai 67% pekerja melaporkan burnout pada tahun 2024, lonjakan ketara daripada 58% pada tahun 2022i,” kata Dr Wee. Beliau berkongsi bahawa golongan Milenial dan Gen Z adalah golongan yang paling lantang bersuara.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa pekerja yang berada di pertengahan umur mungkin lebih terdedah kepada burnout. Sebagai “generasi sandwic“, mereka mengimbangi kerjaya dengan menjaga anak-anak dan ibu bapa yang sudah tua. Dengan itu, mereka sering memendam stres daripada menanganinya, lantas meningkatkan risiko kesihatan dalam jangka masa yang panjang.
Melihat pada perubahan ini, syarikat-syarikat kini menyedari bahawa menyokong kesejahteraan pekerja bukan sekadar memberikan sokongan emosi. Kesejahteraan di tempat kerja kini memerlukan sistem yang lebih holistik yang menggabungkan penilaian kesihatan fizikal dengan bimbingan gaya hidup dan sokongan kesejahteraan emosi.
Bahayanya Stres Di Pejabat Kepada Kesihatan
Tubuh manusia mengalami dua masalah kesihatan yang berbeza apabila terdapat stres yang berterusan.
Pertama ialah masalah fisiologi di mana pendedahan berpanjangan kepada hormon stres seperti kortisol boleh menyebabkan peningkatan tahap gula dalam darah, kolesterol jahat yang lebih tinggi, pengumpulan lemak visceral yang lebih besar, dan tekanan darah tinggi.
Pesakit juga boleh mengalami kemurungan, kebimbangan, gangguan tidur, dan tabiat mengambil minuman keras di tahap berbahaya, seterusnya membawa risiko kesihatan yang lebih serius.
“Perubahan ini secara ketara meningkatkan risiko diabetes, hipertensi, dan penyakit jantung. Stres juga menyebabkan keradangan dan pengerasan arteri. Inilah sebabnya mengapa sesetengah orang menghidap masalah jantung walaupun tiada faktor risiko yang jelas,” kata Dr Wee.
Mengapa Saringan Sahaja Tidak Mencukupi
Dr Wee menjelaskan bahawa program saringan kesihatan syarikat tidak akan mencapai hasil yang bermakna jika hanya tertumpu kepada ujian tahunan, tanpa susulan perubatan dan intervensi gaya hidup yang sesuai.
“Sesetengah pesakit datang setiap tahun, tetapi keputusan mereka tetap sama,” katanya. “Sering kali, ia bukan kerana kurangnya kesedaran, tetapi kekurangan masa, bimbingan dan sokongan. Ini ditambah pula dengan waktu kerja yang panjang, rutin yang tidak sihat, dan perasaan tidak tahu di mana harus bermula. Ini bermakna tiada perubahan sebenar telah dilakukan.”
Rutin kesihatan pencegahan memerlukan pemantauan berkala terhadap tekanan darah, glukosa dan tahap kolesterol, BMI, lilitan pinggang, fungsi buah pinggang, tahap stres, dan kualiti tidur.
Keputusan ujian ini harus digunakan untuk mengubah cara hidup dan mendapatkan rawatan susulan, dan bukan sekadar menjadi laporan pemeriksaan kesihatan biasa.
Ke Arah Model Kesejahteraan yang Holistik

Menjadi sihat bukan sekadar mengelakkan penyakit, ia bermaksud hidup dengan kualiti. Dr Wee menyokong pendekatan holistik yang menggabungkan penjagaan perubatan dengan gaya hidup, diet, dan kesihatan mental.
“Menggunakan perubatan gaya hidup, kami sentiasa menggalakkan pemakanan sihat, pengurusan stres, dan tidur yang berkualiti memandangkan penyakit kronik terus meningkat di Malaysia.”
Dr Wee merujuk kepada “Zon Biru” dunia seperti Okinawa (Jepun), Loma Linda (California, USA), dan Sardinia (Itali) di mana penduduknya secara konsisten hidup lebih lama, lebih sihat, dan kurang menghidap penyakit kronik.
“Komuniti ini berkongsi formula mudah yang kami panggil ‘Power of 9’. Mereka bergerak secara natural setiap hari, makan hidangan berasaskan tumbuhan, menguruskan stres dengan baik, dan mengekalkan hubungan sosial yang kuat. Ia bukan tentang rutin yang tegar atau matlamat kesihatan yang tidak realistik. Matlamatnya adalah untuk membantu individu membuat perubahan kecil yang praktikal supaya mereka mampu amalkannya secara berterusan,” jelas beliau.
“Ini boleh dicapai dengan berjalan lebih banyak di tempat kerja, menyediakan hidangan yang berkhasiat di rumah, dan meluangkan lebih banyak masa untuk keluarga.”
Langkah Pertama untuk Kembali Seimbang
Bagi individu yang merasa “terlalu sibuk” untuk mengutamakan kesihatan mereka, nasihat Dr Wee adalah mudah: mula secara kecil-kecilan dan mula sekarang. Mengembalikan keseimbangan tidak memerlukan perubahan gaya hidup yang menyeluruh secara mendadak. Beliau mengesyorkan:
- Amalkan rehat singkat untuk berjalan atau lakukan regangan setiap beberapa jam bagi meningkatkan fokus dan menghilangkan stres.
- Pergerakan tidak semestinya senaman secara formal. Anda boleh kerapkan berdiri, gunakan tangga, letak kenderaan lebih jauh, atau berjalan sebentar.
- Untuk stres akut, cuba teknik square breathing iaitu tarik nafas, tahan, hembus, dan berhenti selama empat saat setiap satu untuk tempoh satu hingga dua minit.
- Tidur yang berkualiti adalah penting. Sasarkan tujuh hingga sembilan jam setiap malam, dan elakkan penggunaan peranti lewat malam kerana ia boleh mengganggu proses pemulihan badan.
Tanggungjawab Majikan dalam Menangani Burnout
Program kesihatan yang lengkap, yang merangkumi kesihatan pencegahan, sokongan emosi, dan pendidikan gaya hidup, adalah sangat penting untuk mengurangkan ketidakhadiran di tempat kerja, menurunkan kos penjagaan kesihatan, dan meningkatkan produktiviti.
Dr Wee juga menyatakan bahawa budaya tempat kerja memainkan peranan utama. Budaya yang menuntut waktu kerja yang panjang dan keperluan untuk sentiasa terhubung boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental pekerja, lantas menjejaskan kualiti kerja mereka. “Berada di tempat kerja lebih lama tidak bermakna anda lebih efektif,” katanya.
Menawarkan sokongan praktikal seperti pusat asuhan kanak-kanak, batasan kerja yang jelas, amalan penjagaan diri, dan kepimpinan yang sihat membantu mengurangkan stres dan burnout, terutamanya bagi golongan penjaga yang berada di fasa pertengahan kerjaya mereka. Pekerja yang sihat adalah lebih produktif.
Dengan itu, adalah penting untuk mendapatkan bantuan dengan segera.
“Stres dan burnout bukan bermakna anda gagal. Apabila anda menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri, anda bukanlah bersikap mementingkan diri sendiri. Anda sebenarnya sedang membolehkan diri anda untuk menjaga orang lain dan mengekalkan kehidupan serta kerjaya anda untuk jangka masa yang panjang,” katanya.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak tip keibubapaan untuk Mama Papa dan anak-anak di SINI.
