Lebih 700 peserta telah mengambil bahagian dalam Mask & Dash 5KM Fun Run yang julung kali dianjurkan, hasil kolaborasi antara Columbia Asia Hospital Cheras (CAH Cheras) dan AEON Cheras Selatan pada 7 Disember 2025. Larian ini bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan, mempromosi gaya hidup sihat dan memperkenalkan bangunan hospital yang baharu diperluas.

“Tema larian tahun ini, ‘Decades of Care: Together We Are One,’ sangat bermakna bagi kami. Ia selari dengan mesej bahawa kemajuan sebenar dalam penjagaan kesihatan lahir daripada usaha yang disemai selama puluhan tahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Columbia Asia (Wilayah 1), Puan Engku Marina Engku Hatim.
Beliau menambah, “Melalui kerjasama ini dan usaha peluasan kami, kami berhasrat membawa penjagaan kesihatan lebih dekat kepada komuniti, memudahkan keluarga dan individu mendapatkan perkhidmatan berkualiti dan pencegahan.”

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Columbia Asia Hospital Cheras, Encik Sean Yoong, dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Encik Jack Tan.
Kemeriahan Bersama Antara Komuniti
Peserta mula berkumpul seawal 6:30 pagi, disambut muzik rancak dan suasana penuh tenaga. Selepas sesi pemanas badan, Puan Engku Marina dan Pengurus Kanan Operasi AEON (Wilayah Tengah), Encik Amran Latif, menyampaikan ucapan ringkas kepada para peserta. Suasana pagi itu ceria, meriah, dan penuh keterujaan.
Flag-off berlangsung pada pukul 7:30 pagi di hadapan Columbia Asia Hospital Cheras, dengan cuaca yang baik untuk memulakan larian. Para peserta melalui laluan 5km merentasi mercu tanda sekitar Bandar Tun Hussein Onn seperti AEON BiG dan Lake Valley sebelum menuju ke garisan penamat di AEON Mall Cheras Selatan, yang terletak bertentangan dengan hospital.
Peserta terdiri daripada keluarga, kanak-kanak, remaja, golongan bekerja, dan warga emas. Puan Marina turut sama berlari bersama orang ramai, menyerlahkan semangat kebersamaan.
Kreativiti Peserta Menyerikan Acara
Mengikut tema ‘Mask’, ramai peserta hadir dengan kostum kreatif dan berwarna-warni walaupun cuaca panas. Ada yang tampil dengan topeng penuh gaya dan memenangi Anugerah Pakaian Terbaik. Pemenang kategori lelaki ialah Zairulaswadi Zulkapli dan kategori wanita dimenangi Hasliza Abdul Hamed. Kedua-duanya menerima hadiah bernilai RM300, manakala peserta lain menerima hadiah bernilai RM100 hingga RM200.
Setiap peserta yang menamatkan larian menerima pingat dan beg cenderamata dengan barangan tajaan rakan runcit AEON.
Acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, dengan para peserta dijemput ke pentas untuk menerima pelbagai hadiah.

Sambutan yang baik
Acara berakhir sekitar pertengahan pagi, meninggalkan para peserta dengan rasa puas dan bersemangat, menandakan permulaan kukuh kepada tradisi komuniti tahunan yang ingin diteruskan oleh penganjur pada masa hadapan.
Columbia Asia Hospital Cheras dan AEON Cheras Selatan merakamkan penghargaan kepada semua peserta, keluarga, rakan kerjasama, sukarelawan dan penaja yang menjayakan acara ini sebagai satu sambutan bermakna tentang kesihatan, kebersamaan dan semangat komuniti.


