Kit penyelamat musim hujan semakin menjadi keperluan penting untuk anak-anak sekolah di Malaysia, lebih-lebih lagi bila cuaca sekarang susah nak dijangka.
Pagi cerah macam nak pergi picnic, tengah hari tiba-tiba ribut guruh siap angin kuat. Mama paling risau bila anak balik sekolah apa lagi kalau dia berjalan kaki, naik van sekolah, atau transit. Kadang kita dah siap bagikan payung dan baju hujan, tapi ada je benda tak cukup. Rambut basah, kasut lencun, buku terlipat sebab kena air.
Sebab itu Mama Papa kena sediakan kit penyelamat musim hujan, satu set barang kecil yang tak berat, tak makan ruang, tapi sangat membantu bila anak terperangkap dalam hujan di sekolah.
Jom kita tengok 5 barang wajib yang patut ada dalam beg sekolah mereka.
Item Wajib dalam Survival Kit Musim Hujan Anak
1. Tuala Kecil atau Tuala Mikrofiber

Tuala kecil adalah penyelamat utama setiap kali anak terperangkap dalam hujan. Walaupun kecil dan ringan, fungsinya sangat besar. Anak boleh menggunakannya untuk mengelap rambut, muka, tangan, atau bahagian pakaian yang basah akibat tempias hujan.
Lebih-lebih lagi kalau mereka perlu berlari dari perhimpunan ke kelas, pastinya banyak bahagian badan yang basah. Tuala mikrofiber sangat sesuai kerana ia cepat menyerap air, cepat kering, tidak berat dan tidak memakan ruang beg.
Dengan adanya tuala ini, anak boleh segera mengurangkan rasa sejuk sebelum kelas bermula.
2. Sarung Kasut Kalis Air

Sarung kasut kalis air adalah item yang ramai tak terfikir, tapi sebenarnya sangat berguna semasa musim hujan. Kawasan sekolah selalunya banyak lopak air, dan bila kasut basah, anak bukan sahaja rasa tidak selesa, malah boleh menyebabkan kaki melecet dan berbau.
Sarung kasut kalis air membolehkan anak berjalan dengan lebih yakin walaupun lantai licin dan basah. Ia juga boleh dilipat dengan sangat kecil, jadi mudah disimpan dalam beg tanpa mengambil ruang.
Bila kasut kekal kering, anak dapat belajar dan bergerak dengan lebih selesa sepanjang hari.
3. Plastik Cover atau Beg Kalis Air

Plastik cover atau beg kalis air memang nampak simple, tapi inilah penyelamat sebenar bila hujan turun tanpa amaran. Selain melindungi buku latihan dan buku teks daripada basah, ia juga penting untuk simpan barang lain seperti kad akses atau nota kecil supaya tak rosak terkena air.
Mama boleh sediakan satu beg ziplock ataupun pouch kalis air yang ringan dan mudah dimasukkan dalam beg sekolah anak. Bila anak dah biasa guna, mereka sendiri akan tahu cara selamatkan barang sebelum masuk kelas tak adalah drama buku berkedut atau basah meleleh bila sampai rumah nanti.
Ia juga sangat berguna sebagai pelindung sementara untuk barang elektronik anak jika perlu.
4. Stoking Spare

Stoking spare adalah penyelamat mood anak sepanjang hari. Semua orang tahu betapa tidak selesanya memakai stoking basah kaki sejuk, lembap, gatal dan mudah melecet.
Bila anak ada stoking spare dalam beg, mereka boleh terus tukar sebaik tiba di kelas. Perubahan kecil ini memberi kesan besar pada keselesaan mereka.
Anak akan lebih tenang, lebih fokus belajar, dan tidak merungut sepanjang hari. Pilih stoking yang nipis dan mudah dilipat supaya tidak buatkan beg rasa penuh.
5. Tisu Basah dan Tisu Kering

Musim hujan selalu mendatangkan situasi kecil yang tak dijangka kasut terkena lumpur, meja kantin basah, atau beg terkena tempias hujan. Di sinilah gabungan tisu basah dan tisu kering memainkan peranan penting.
Tisu basah boleh digunakan untuk membersihkan kotoran dengan cepat, manakala tisu kering membantu memastikan permukaan kembali kering dan selesa.
Dengan adanya dua jenis tisu ini, anak dapat mengurus banyak situasi kecemasan kecil tanpa perlu bergantung kepada cikgu atau Mama Papa.
Kit penyelamat musim hujan ni persediaan bijak yang membantu anak menghadapi cuaca tidak menentu tanpa rasa cemas atau tidak selesa.
Bukan saja memastikan anak kekal kering dan sihat, tetapi juga membantu mereka lebih berdikari dan yakin mengurus keperluan diri sendiri.
Bila anak sudah lengkap dengan kit penyelamat ni, Mama Papa pun lebih tenang melepaskan mereka ke sekolah walaupun langit nampak gelap.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubapaan untuk Mama Papa di SINI.
