Setiap hari kita akan dengar kes melibatkan pelajar ada yang dibuli, bergaduh, malah sampai meragut nyawa. Dan seperti biasa, bila berita tu tersebar, tularlah perdebatan di media sosial, “Mama Papa tak pandai didik anak!” “Sekolah gagal kawal pelajar!”
Tapi persoalan yang lebih besar, antara mak ayah atau sekolah, siapa sebenarnya salah? Adakah kesilapan terletak pada Mama Papa yang terlalu memanjakan anak, atau sistem pendidikan yang semakin longgar dari segi disiplin?
Isu ni bukan sekadar tentang siapa yang salah atau betul. Ia tentang bagaimana hubungan antara rumah dan sekolah dah mula renggang. Dan bila dua institusi utama dalam pembentukan anak ni tak sehaluan anak-anak yang akhirnya jadi mangsa.
Rumah: Sekolah Pertama dan Guru Pertama Anak

Sebelum masuk tadika, sebelum kenal huruf dan nombor , anak-anak dah lama belajar tentang emosi, marah, dan hormat dari rumah. Anak-anak ni macam span, apa yang mereka serap dari Mama Papa, itu jugalah yang mereka bawa keluar.
Kalau di rumah dia biasa dengar Mama Papa bercakap kasar, bergaduh depan anak, atau selalu menyalahkan orang lain bila berlaku masalah jadi cara anak-anak bertindak di luar rumah pun akan terpengaruh.

Bila cikgu tegur, dia mungkin anggap itu satu ancaman, sebab dia tak pernah diajar menerima teguran dengan terbuka.
Sebaliknya, kalau dari kecil anak dah diajar tentang adab, hormat orang lebih tua, dan cara untuk kawal perasaan sendiri. Jadi, mereka akan tahu batas walaupun di luar pandangan Mama Papa.
Sebab tu orang selalu kata, anak ni cermin Mama Papa. Apa yang kita tanam di rumah, itu yang tumbuh di sekolah.
Sekolah Bukan Sekadar Belajar, Ia Membentuk Jiwa
Ramai yang fikir tugas cikgu cuma mengajar padahal tanggungjawab mereka jauh lebih besar. Mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu, tapi juga mengasuh akhlak, membentuk disiplin, dan memupuk nilai-nilai kemanusiaan dalam diri pelajar.
Namun, realitinya tak semudah itu. Seorang cikgu perlu mengawal 30-40 murid dalam satu kelas, setiap seorang dengan latar belakang, perangai, dan cabaran berbeza.

Bila cikgu menegur, ada pula Mama Papa yang cepat melenting kononnya anak mereka diperlakukan kasar. Akhirnya, cikgu pun jadi serba salah nak tegas pun takut, nak biar pun tak kena.
Sampai bila kita nak biarkan cikgu-cikgu tertekan di tengah-tengah antara “takut buat silap” dan “terpaksa diam”? Sedangkan dalam masa sama, kita harapkan mereka mendidik anak jadi insan berdisiplin.
Anak-Anak: Mangsa atau Cermin Didikan Kita?

Kadang-kadang bila berlaku kes buli, kita cepat nak menuding jari. Tapi kalau kita pandang lebih dalam, anak-anak ni sebenarnya refleksi kepada dunia orang dewasa.
Kalau dunia kita dipenuhi dengan kata-kata kesat, budaya menyalahkan orang lain, dan kurang empati jangan pelik bila anak-anak membesar dengan cara yang sama.
Mereka meniru lebih cepat daripada mereka memahami. Jadi bila anak marah dan menjerit, jangan terus marah tapi Mama Papa tanya dulu, dari mana dia belajar reaksi tu? Dari televisyen, kawan atau mungkin dari kita sendiri?
Jadi… Sebenarnya Siapa yang Salah?

Sebenarnya bukan soal salah mak ayah atau sekolah, tapi siapa yang berhenti memainkan peranan. Mama Papa kadang terlalu sibuk, sekolah pula kekurangan tenaga dan sokongan. Masing-masing ada alasan, tapi akhirnya anak-anak yang kehilangan arah.
Sedangkan mendidik anak bukan tugas satu pihak saja. Rumah ajar nilai, sekolah ajar disiplin, dan masyarakat bantu membentuk karakter. Kalau salah satu longgar, hasilnya juga takkan sempurna.
Sebab tu, bila ada masalah di sekolah, elakkan budaya tuding jari. Sebaliknya, Mama Papa duduk semeja, cari jalan bersama. Mungkin kita tak boleh ubah semua, tapi kita boleh ubah cara kita bekerjasama.
Anak Kita, Tanggungjawab Bersama

Mama Siti selalu cakap, “Anak-anak ni harapan masa depan negara.” Tapi harapan takkan jadi kenyataan kalau hari ni pun kita sibuk menuding jari antara satu sama lain.
Kunci utama bukan mencari siapa salah, tapi bagaimana kita boleh bantu antara satu sama lain. Bila Mama Papa dan sekolah saling menyokong, anak-anak akan rasa lebih selamat, dihargai, dan didengar. Itulah asas kepada pembentukan sahsiah yang kuat.
Jadi sebelum kita marah cikgu, atau kecewa dengan sekolah, cuba tanya dulu diri sendiri apa yang aku dah buat untuk bantu anak aku belajar jadi manusia yang baik, bukan sekadar pandai?
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Apa lagi tips keibubapaan yang Mama Papa perlu tahu? Klik di SINI.
