Columbia Asia Hospital Puchong (CAHP) dengan penuh rasa syukur dan bangga meraikan ulang tahunnya yang ke-18 dengan tema “18 Years of Caring, Connecting, and Celebrating”. Sambutan ini akan berlangsung dari 6 hingga 11 Oktober 2025, merangkumi program enam hari yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan komuniti, sokongan keusahawanan tempatan, pendidikan kesihatan dan penglibatan keluarga.
Ulang tahun ini bukan sekadar menandakan perjalanan hospital ini sejak 2007, tetapi berfungsi sebagai platform terbuka untuk merapatkan lagi hubungan dengan komuniti setempat iaitu pesakit, keluarga, usahawan tempatan, rakan kerjasama dan kakitangan yang menjadi tulang belakang hospital.
Sepanjang 18 tahun beroperasi, kami telah berusaha menyediakan rawatan berkualiti, selamat dan mudah diakses oleh masyarakat. Ulang tahun ini bukan sekadar menyelusuri perjalanan kami sejak 2007, tetapi juga menzahirkan penghargaan kami kepada pesakit, komuniti setempat, rakan kerjasama dan kakitangan yang sentiasa menjadi tulang belakang hospital.
Sambutan ini dirancang sebagai wadah untuk memberikan manfaat kepada orang ramai melalui pemeriksaan kesihatan, promosi gaya hidup sihat, aktiviti interaktif serta sokongan kepada peniaga tempatan.
Program Utama Sepanjang Sambutan
1. Edutainment Days (6–7 Oktober, 9 pagi – 3 petang)

Untuk dua hari pertama, kami melibatkan penyertaan dari semua jabatan dalam institusi kami, dari jabatan kesihatan hinggalah ke jabatan sokongan bagi memberikan pendedahan tentang peranan jabatan mereka kepada orang awam.
Kami menampilkan siri aktiviti pendidikan interaktif yang sesuai untuk keluarga, termasuk beberapa bengkel DIY, permainan deria, CPR Race, dan booth kebersihan tangan. Orang awam juga berpeluang berinteraksi serta mengenali dengan lebih dekat operasi di sebalik tabir hospital, yang bukan sahaja digerakkan oleh doktor dan jururawat, tetapi turut melibatkan pelbagai pasukan sokongan lain.
2. Jom Support Lokal (8 Oktober, 9 pagi – 3 petang)

Sebagai sokongan kepada usahawan tempatan, kami menganjurkan bazar komuniti dengan penyertaan pelbagai jenama tempatan. Antara yang terlibat ialah ClairOrganic Aromatherapy, Bambambakes, Gramps Asia, Cravings Café, Cavenut Spread, Bliss Tea Shop, jualan snek, aksesori telefon dan produk gaya hidup. Kami percaya sokongan terhadap perniagaan tempatan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami demi memacu ekonomi komuniti setempat.
3. Your Health, Your Power (9 Oktober, 9 pagi – 3 tengah hari)

Kami menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung, termasuk pemeriksaan tekanan darah, ujian glukosa, analisis In-body, saringan mata dan pemeriksaan payudara yang dibawa khas oleh Breast Cancer Welfare Association (BCWA). Perkhidmatan Personalized AI Skin Analysis turut disediakan untuk membantu individu memahami keadaan kulit mereka dengan lebih tepat menggunakan teknologi terkini. Fokus utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan penyakit tidak berjangkit dan kepentingan pengesanan awal.
Sempena ulang tahun ini, kami menawarkan Pakej Kombo RM18 untuk ujian kolesterol dan asid urik. Tawaran ini bertujuan menggalakkan masyarakat menjalani pemeriksaan asas sebagai langkah awal mencegah penyakit berkaitan gaya hidup. Langkah sebegini amat penting kerana ramai yang tidak menyedari risiko kesihatan sehingga gejala menjadi serius.
4. Wellness & Wonders (10 Oktober, 9 pagi – 3 tengah hari)

Pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan kesihatan dan kreativiti ditawarkan kepada pengunjung pelbagai peringkat umur. Antaranya ialah Bike Blender, Dietitian Game yang menggabungkan senaman dan pemakanan sihat, serta aktiviti sulaman seperti Kid Wool Embroidery dan Needle Punch Embroidery. Permainan kesihatan seperti Yakult Spin & Win turut memberi peluang kepada peserta untuk belajar sambil berhibur.
Pada hari ini, kami turut meraikan majlis perasmian ulang tahun ke-18 dalam suasana penuh gembira dan penuh makna. Acara bermula dengan upacara pemotongan kek sebagai simbol rasa syukur atas perjalanan kami selama hampir dua dekad, diikuti light brunch yang menceriakan para tetamu dan warga kerja. Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif kami, Puan Ong Gait Cheng, bersama Ketua Perkhidmatan Perubatan, Dr. Mohamed Kamal Mohamed Hisa.
5. Columbia Kids Club Day (11 Oktober, 9 pagi – 12 tengah hari)

Hari khas ini khusus untuk kanak-kanak dan keluarga bagi menggalakkan tabiat sihat dari usia kecil. Aktiviti berunsur pendidikan dan kesedaran kesihatan diadakan bagi memastikan kanak-kanak terlibat secara aktif dan ceria. Kami mahu generasi muda memahami kepentingan penjagaan diri, pemakanan sihat serta kebersihan dalam suasana yang menyeronokkan.
Kanak-kanak berpeluang menyertai aktiviti DIY Music Box dan Medical Pool, serta meraikan kemunculan maskot Zoey, (maskot rasmi Columbia Kids Club) dan Clown Balloonist bagi menambah keceriaan sepanjang program. Objektif utama segmen ini adalah untuk menjadikan ilmu kesihatan lebih mudah difahami dan menyeronokkan untuk kanak-kanak, iaitu generasi yang akan datang.
Komitmen Kami kepada Komuniti
Sambutan ulang tahun ini bukan hanya acara tahunan, tetapi simbol hubungan erat antara hospital dan masyarakat. Kami yakin bahawa kesihatan adalah tanggungjawab bersama, dan hospital berperanan sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan yang dipercayai masyarakat. Penganjuran pelbagai aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan awal, mendidik masyarakat dan menyediakan platform komunikasi dua hala dengan orang awam.
“Selama 18 tahun, kami telah menyaksikan perubahan dalam landskap kesihatan dan keperluan komuniti. Apa yang tidak berubah ialah tekad kami untuk terus memberikan penjagaan terbaik kepada setiap pesakit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia Hospital Puchong Puan Ong Gait Cheng. Beliau menambah, “Sambutan enam hari ini adalah peluang kami untuk reconnect dengan komuniti yang dekat dengan hati kami. Kami mahu CAHP dilihat bukan sekadar sebuah hospital, tetapi rakan komuniti yang memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan secara proaktif.”
Beliau turut menambah bahawa penglibatan keluarga, kanak-kanak, usahawan tempatan dan masyarakat dari setiap peringkat umur dalam program sambutan ini menggambarkan pendekatan menyeluruh hospital terhadap kesihatan awam. “Kami bukan sekadar merawat pesakit, tetapi memberi inspirasi kepada individu untuk menjaga kesihatan mereka secara proaktif,” ujarnya.
Aspirasi 18 Tahun dan Seterusnya

Menjelang tahun ke-19 beroperasi, kami akan terus memperluaskan perkhidmatan, menaik taraf kemudahan serta memperkukuh kepakaran pelbagai disiplin perubatan. Fokus kami merangkumi keupayaan untuk memberi perkhidmatan, kepakaran pakar, teknologi digital serta pendekatan holistik yang memenuhi keperluan pesakit moden.
Ulang tahun ke-18 ini menjadi titik tolak untuk perjalanan jangka panjang yang lebih inklusif – meneruskan hubungan erat dengan komuniti, demi kesihatan hari ini dan masa depan.
Kami juga komited untuk meningkatkan inisiatif kesedaran kesihatan melalui kerjasama strategik, kempen komuniti dan program pendidikan awam. Sambutan ulang tahun ini menjadi titik permulaan kepada perancangan jangka panjang yang lebih inklusif dan berimpak.
Sekalung penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dan sudah tentunya kepada setiap yang hadir memeriahkan sambutan ulangtahun kami yang berlangsung selama 6 hari ini. Sampai kita berjumpa lagi di tahun hadapan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Ada banyak lagi event dan berita terkini yang boleh Mama Papa baca di SINI.