Bayangkan saat anak tiba-tiba jatuh sakit di tengah malam. Suhu badan naik mendadak, anak mula menggigil, atau tiba-tiba bernafas laju sampai dada turun naik. Dalam keadaan panik, Mama Papa selalunya akan keliru “Nak bawa anak ke klinik 24 jam dulu, atau terus ke hospital?” Situasi begini sangat biasa, tapi keputusan yang dibuat boleh memberi kesan besar kepada nyawa si kecil.
Dengan adanya, Pusat Kecemasan Kanak-kanak Sunway Medical Centre (SMC) sangat bermakna untuk Mama Papa. Dibuka pada 18 Mei 2023 di Tower D, Sunway City, pusat ini adalah yang pertama di hospital swasta Malaysia.
Ia bukan sekadar satu unit kecemasan, tetapi dibina khusus untuk bayi, kanak-kanak dan remaja dengan kepakaran, fasiliti, dan suasana yang semuanya berpaksikan keperluan mereka.
Pusat Kecemasan Kanak-kanak di Sunway Medical Centre
1. Zon Triage yang Cepat dan Fokus kepada Kanak-kanak

Salah satu keistimewaan terbesar pusat ini ialah sistem zon triage yang teratur. Kanak-kanak yang dibawa ke sini tidak dilayan dengan cara yang sama rata, tetapi dinilai mengikut tahap kecemasan mereka.
- Zon Hijau untuk kes ringan seperti demam biasa, batuk, selesema, sakit tekak. Walaupun nampak remeh, ia tetap ditangani segera dengan perhatian pediatrik.
- Zon Kuning pula untuk kes sederhana seperti dehidrasi, muntah-muntah berterusan, atau sakit perut yang kuat. Pesakit dalam zon ini mungkin perlukan rawatan lebih teliti, seperti drip atau pemeriksaan tambahan.
- Zon Merah ialah untuk kes kritikal. Contohnya anak sawan, sesak nafas teruk, cedera akibat kemalangan, atau tidak sedarkan diri. Di sinilah setiap saat sangat penting, dan pusat ini dilengkapi dengan peralatan resusitasi moden untuk memastikan rawatan pantas dapat menyelamatkan nyawa.
Bagi Mama Papa, sistem zon ini memberi ketenangan kerana kita tahu anak-anak akan dinilai dan diberi rawatan mengikut tahap kecemasan sebenar, bukan sekadar ikut giliran.
2. Klinik Subkepakaran Pediatrik

Anak-anak bukan sekadar memerlukan rawatan kecemasan, kadangkala mereka juga perlukan rawatan susulan dengan pakar tertentu.
Mama Papa boleh dapatkan rawatan terus dengan pakar pediatrik dalam pelbagai sub-pakar daripada jantung, buah pinggang, saraf, paru-paru, hingga ke pemakanan kanak-kanak.
Ini sangat memudahkan kerana selepas anak distabilkan di kecemasan, mereka boleh terus dirujuk kepada pakar yang relevan, tanpa perlu berpindah ke hospital lain.
Pendek kata, semuanya ada di bawah satu bumbung dari rawatan awal, pemeriksaan menyeluruh, hingga rawatan lanjutan.
3. Ujian & Radiologi, Semuanya Lengkap Bawah Satu Bumbung

Satu perkara yang sering melelahkan bila bawa anak ke hospital ialah perlu bergerak ke banyak tempat serperti dari bilik kecemasan, ke radiologi, ke klinik lain. Ia bukan sahaja ambil masa, tetapi menambah tekanan kepada anak yang sedang sakit.
Di Pusat Kecemasan Kanak-kanak SMC, semua ini dipermudahkan. Mereka menyediakan kemudahan radiologi lengkap dalam bangunan yang sama termasuk X-ray, CT scan, ultrasound, malah MRI 3 Tesla. Ini bermakna, kalau doktor syak ada masalah serius, ujian boleh dilakukan serta-merta tanpa perlu pindah tempat.
Bayangkan kalau anak alami kecederaan kepala akibat jatuh. Doktor boleh terus buat imbasan CT atau MRI untuk pastikan tiada pendarahan otak. Cepat, tepat, dan dapat mengurangkan risiko komplikasi.
Kenapa Mama Papa Perlu Tahu Tentang Pusat Kecemasan Kanak-kanak?

Mama Siti percaya, setiap Mama Papa mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Bila mereka sakit, kita mahukan rawatan cepat, selamat, dan dirawat oleh pakar yang faham keperluan kanak-kanak. Dengan adanya pusat kecemasan khas ini, Mama Papa tak perlu lagi rasa keliru atau membuang masa.
Kalau anak Mama Papa tiba-tiba:
- Sawan atau tidak sedarkan diri
- Sukar bernafas
- Cedera teruk akibat jatuh atau kemalangan
- Atau demam terlalu tinggi sehingga menggigil
Mama Papa boleh bawa terus ke Pusat Kecemasan Kanak-kanak Sunway Medical Centre. Di sinilah anak-anak akan dirawat dengan pantas, segera, dan jika perlu terus dirujuk kepada pakar berkaitan.
Kewujudan Pusat Kecemasan Kanak-kanak Sunway Medical Centre adalah satu langkah besar dalam penjagaan kesihatan pediatrik di Malaysia. Ia membuktikan bahawa rawatan untuk anak-anak bukan sekadar “tambahan” dalam perkhidmatan hospital, tetapi memerlukan perhatian khusus, kepakaran mendalam, dan fasiliti yang benar-benar mesra kanak-kanak.
Mama Papa mungkin belum terfikir tentang soal kecemasan sekarang. Tapi dengan mengetahui kewujudan pusat ini, sekurang-kurangnya Mama Papa akan lebih bersedia jika berlaku sebarang kecemasan, kerana sudah tahu ke mana perlu dituju.
Saat genting nanti, kita pasti lebih tenang bila tahu ada tempat yang sedia membantu anak-anak dengan pantas, selamat, dan penuh kepakaran.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Mama Papa nak tahu apa lagi yang menarik di KelabMama? Klik di SINI.