Mama Siti percaya, dalam setiap keluarga, kasih sayang itu jadi pengikat utama. Tak kira sesibuk mana Papa bekerja, atau sepenat mana Mama uruskan rumah dan anak-anak kita semua buat sebab cinta. Tapi kadang-kadang, dalam tak sedar, ada tabiat kecil Papa yang boleh jejaskan orang yang Papa paling sayang—ya, Mama dan anak-anak.
Itulah sebabnya bila Mama Siti dengar pasal satu operasi terbaru dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mama Siti rasa macam “Yes! Inilah kesedaran yang kita perlukan sekarang.”
Kempen tu dinamakan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa Untuk Selamatkan Mama), yang akan mula dilaksanakan pada 1 Ogos 2025. Ia bukan sekadar operasi penguatkuasaan, tapi satu mesej penting untuk Papa yang masih belum nampak betapa bahayanya asap rokok dan vape terhadap keluarga sendiri.
Apa Itu Ops Selamat Papa Untuk Selamatkan Mama?

Dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, operasi ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah digubal bagi mengawal penjualan, pengiklanan, promosi dan penggunaan produk tembakau termasuk rokok elektronik (vape).
Kempen ini digerakkan dengan dua pendekatan utama:
1. Penguatkuasaan Undang-Undang
- Pemeriksaan dan tindakan terhadap premis yang menjual produk tembakau atau vape secara haram.
- Kawalan ketat terhadap penjualan kepada golongan bawah umur.
- Tindakan terhadap promosi tidak sah di media sosial dan platform e-dagang.
2. Pendidikan dan Kesedaran Awam
- Menekankan peranan Papa sebagai pelindung keluarga, bukan pembawa risiko.
- Menggalakkan perubahan sikap dan normalisasi kehidupan bebas asap dalam rumah tangga.
- Menggalakkan Papa mendapatkan rawatan atau sokongan berhenti merokok melalui klinik berhenti merokok KKM.

Dalam masyarakat kita, merokok masih dianggap sebagai satu tabiat peribadi. Namun kesan yang ditinggalkan tidak berhenti pada si perokok sahaja. Asap rokok dan wap dari vape sebenarnya mengandungi lebih 7,000 bahan kimia, dan sebahagian daripadanya bersifat toksik dan karsinogenik (boleh menyebabkan kanser).
Yang lebih membimbangkan ialah:
- Asap rokok pasif (secondhand smoke) – disedut oleh orang sekeliling perokok.
- Asap rokok ketiga (thirdhand smoke) – sisa bahan kimia yang melekat pada pakaian, rambut, langsir, sofa, dan permukaan lain di rumah.
Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 600,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat terdedah kepada asap rokok pasif, dan sebahagian besar mangsa ialah wanita dan kanak-kanak yang tinggal serumah dengan perokok.
Rokok Tu Papa Je Hisap Tapi Mama dan Anak-anak yang Tanggung!
Asap rokok bukan berhenti pada hujung jari Papa. Bila Papa merokok, asap tu masuk ke dalam udara, baju, rambut, kereta dan semua tu akan terhidu oleh Mama dan anak-anak, walaupun mereka tak pernah pegang sebatang pun.
1. Mama Mengandung

- Risiko keguguran dan kelahiran pramatang meningkat.
- Bayi berisiko dilahirkan kurang berat badan.
- Asap rokok boleh mengganggu perkembangan janin dan menyebabkan komplikasi semasa bersalin.
2. Mama Menyusu

- Kandungan bahan kimia dari rokok boleh dipindahkan melalui susu badan.
- Sistem imun bayi boleh terjejas.
3. Kanak-Kanak

- Risiko jangkitan paru-paru, asma dan bronkitis meningkat dengan ketara.
- Pertumbuhan paru-paru terganggu.
- Risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS) lebih tinggi bagi bayi yang tinggal bersama perokok.
Semua risiko ini boleh berlaku walaupun Mama dan anak tidak merokok, tetapi hanya kerana mereka tinggal serumah dengan Papa yang merokok atau vape menyebabkan mereka menjadi perokok pasif.
Jadi persoalannya: kalau Papa sayang, kenapa bahayakan diri dan orang sekeliling kan?
Kadang-kadang, bahaya bukan datang dari luar rumah, tapi dari orang yang paling kita sayang tanpa sedar. Sebatang rokok mungkin nampak kecil, tapi kesannya boleh kekal bertahun-tahun dalam paru-paru anak dan isteri.
Ops Selamat Papa Untuk Selamatkan Mama bukan untuk menyalahkan sesiapa, tapi untuk beri ruang dan harapan. Ruang untuk berubah. Harapan untuk sembuh. Sebab Papa masih berpeluang jadi pelindung sebenar bukan sekadar dari segi nafkah, tapi juga dari segi kesihatan dan keselamatan keluarga.
Dan bila Papa ambil langkah pertama untuk berhenti, itu bukan kelemahan. Itu kekuatan. Itu bukti kasih yang sebenar.
Kesihatan Mama Papa, tanggungjawab bersama. Dapatkan info berguna dan menarik di KelabMama, klik SINI.