Setiap tahun, bila cuaca mula panas dan langit jadi mendung kelabu, ramai antara kita tahu musim jerebu dah tiba. Dan tahun ni, nampaknya keadaan kembali serius.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) di beberapa kawasan utama di Malaysia dah melepasi tahap tidak sihat, malah ada yang hampir ke paras tidak sihat.
Tapi yang paling merisaukan bukan sekadar langit kelabu atau bau asap yang masuk rumah yang paling membimbangkan ialah kesihatan anak-anak kita yang masih kecil dan rapuh.
Sebagai Mama Papa, kita mungkin dah terbiasa dengan jerebu ni setiap tahun. Tapi jangan sampai kerana dah “biasa”, kita jadi lalai. Anak-anak kecil kita ni masih belum cukup kuat sistem imun mereka, paru-paru mereka masih dalam proses tumbesaran.
Kalau kita tak jaga mereka betul-betul semasa jerebu, kesannya boleh jadi jangka panjang kepada anak-anak.
Kenapa Jerebu Bahaya kepada Anak-Anak?

Partikel halus dalam udara tercemar (seperti PM2.5) sangat kecil lebih kecil dari sehelai rambut! Ia boleh masuk terus ke paru-paru bila disedut. Bila udara penuh dengan partikel ni, kesannya boleh jadi serius:
- Masalah pernafasan – anak mula batuk, sesak nafas atau wheezing.
- Iritasi mata dan hidung – mata merah, berair dan pedih.
- Demam dan lemah badan – sistem imun cuba lawan pencemaran tapi kalah.
- Kurang fokus & letih – bila oksigen kurang, anak cepat lesu dan tak bermaya.
Bayangkan anak kita yang selama ni aktif bermain, tiba-tiba jadi tak bermaya, batuk tak berhenti dan perlu ulang-alik ke klinik. Semua ni boleh dielakkan kalau kita ambil tindakan dari awal.
Apa yang Mama Papa Boleh Buat Lindungi Anak daripada Jerebu? Ini Langkahnya!
1. Semak API Setiap Hari

Sebelum buat keputusan untuk keluar rumah atau hantar anak ke sekolah, biasakan diri untuk semak bacaan API di kawasan tempat tinggal. Bacaan ini boleh diperoleh secara percuma melalui laman web rasmi APIMS atau aplikasi seperti MyIPU, AirVisual, atau IQAir.
- Bacaan API antara 0–50 adalah baik.
- 51–100 sederhana.
- 101 ke atas, udara dah dikira tidak sihat dan ketika ini, elakkan anak keluar rumah!
2. Kurangkan Aktiviti Luar Rumah

Anak-anak biasanya aktif dan suka bermain di luar di taman, padang, atau berbasikal keliling rumah. Tapi bila jerebu melanda, semua aktiviti luar harus ditangguhkan.
Walaupun mereka tak mengadu apa-apa, sedutan partikel halus ke dalam paru-paru boleh menyebabkan keradangan, batuk, atau kesukaran bernafas.
Gantikan dengan aktiviti dalam rumah yang menyeronokkan seperti melukis, permainan papan atau indoor treasure hunt untuk kekal aktif dan menggelakan mereka rasa bosan.
3. Pastikan Rumah Sentiasa Tertutup Rapat

Udara luar yang tercemar mudah masuk ke dalam rumah jika pintu atau tingkap dibiarkan terbuka, terutama waktu pagi atau malam.
Walaupun rumah terasa panas, lebih baik biarkan tertutup untuk halang habuk jerebu masuk. Gunakan kipas atau pendingin hawa dengan fungsi air recirculation untuk mengekalkan udara bersih dalam rumah.
4. Gunakan Penapis Udara (Air Purifier) Jika Ada

Penapis udara dengan teknologi HEPA filter sangat berkesan untuk menapis partikel halus seperti PM2.5 daripada udara dalam rumah.
Kalau Mama tidak ada penapis udara, boleh letakkan tuala basah di tingkap atau pintu untuk kurangkan kemasukan habuk. Sederhana, tapi membantu.
5. Pastikan Anak Memakai Face Mask

Topeng kain biasa tidak mencukupi untuk menapis partikel halus jerebu. Untuk anak-anak, sekurang-kurangnya gunakan face mask atau lebih baik lagi, mask N95 khas untuk kanak-kanak.
Pastikan topeng muka dipakai dengan betul, menutupi hidung dan mulut sepenuhnya. Mama perlu tukar topeng jika sudah lembap atau kotor, dan elakkan daripada menggunakannya berulang kali kerana ia tidak lagi berkesan.
6. Galakkan Anak Minum Air yang Mencukupi

Udara yang kering dan berhabuk boleh menyebabkan dehidrasi serta kerengsaan pada tekak. Air membantu mencairkan kahak dan menyingkirkan toksin dari badan.
Beri anak air kosong secara kerap, bukan hanya bila mereka haus. Boleh juga sediakan air dalam botol comel agar mereka lebih teruja untuk minum.
7. Mandikan Anak dan Tukar Pakaian Selepas Balik dari Luar
Jangan biarkan anak duduk terus di dalam rumah selepas balik dari sekolah atau aktiviti luar. Habuk dan partikel jerebu boleh melekat pada kulit, rambut dan pakaian.
Mandikan anak secepat mungkin dan tukarkan kepada pakaian bersih. Ini bukan saja untuk kesihatan kulit, tapi juga mengurangkan risiko jangkitan.
8. Kenal Pasti Gejala Awal Masalah Pernafasan atau Alergi

Sebagai Mama Papa, kita kena sentiasa peka dengan perubahan kecil pada anak. Tanda-tanda seperti:
- Batuk berterusan
- Nafas berbunyi atau susah bernafas
- Mata merah atau berair
- Demam ringan tapi berpanjangan
- Anak nampak lesu dan kurang aktif
Semua ini boleh jadi tanda tubuh mereka sedang bertindak balas terhadap pencemaran udara.Jangan tunggu-tunggu terus bawa anak ke klinik jika gejala tidak reda dalam sehari dua.
Paru-paru anak kita masih muda dan setiap pendedahan kepada udara tercemar boleh beri kesan jangka panjang yang tidak dapat dilihat sekarang.
Jerebu adalah satu bentuk pencemaran yang kita tak dapat kawal. Tapi Mama Papa boleh lindungi anak daripada jerebu dengan langkah-langkah mudah ini, Mama Papa sebenarnya memainkan peranan besar dalam melindungi kesihatan anak-anak.
Banyak lagi info parenting menarik yang Mama Papa boleh explore di SINI.