Latih anak tidur asing bukanlah sesuatu yang mudah, tapi ia penting untuk perkembangan emosi dan kebebasan mereka. Waktu anak masih bayi, memang normal dia tidur di sebelah Mama.
Tapi bila anak dah mula membesar masih tidur dengan Mama, kadang-kadang timbul persoalan “Sampai bila nak biar anak tidur sekatil dengan Mama ni?”. Lebih-lebih lagi bila ramai orang sekeliling mula tanya atau sindir-sindir, “Eh, dah besar panjang pun masih tidur dengan Mama lagi ke?”.
Sebenarnya, tidur bersama anak yang sudah besar bukanlah satu kesalahan, tapi ada beberapa perkara yang kita sebagai Mama kena faham baik dari segi perkembangan emosi anak, mahupun usaha nak bantu mereka lebih berdikari secara berperingkat.
Kalau Mama tengah fikir macam mana nak ajar anak tidur sendiri tanpa buat dia rasa terabai, ini Mama Siti kongsikan beberapa langkah yang Mama boleh cuba.
Kenapa Anak Masih Nak Tidur dengan Mama?
1. Anak Rasa Selamat Bila Ada Kita

Salah satu sebab utama anak masih nak tidur dengan kita adalah kerana mereka rasa paling selamat dan tenang bila ada Mama di sisi. Bagi anak kecil, dunia ini masih luas dan menyeramkan.
Bunyi kipas, bayang-bayang di dinding, bunyi anjing menyalak luar rumah semua itu boleh jadi menakutkan bagi mereka.
Bila anak tidur dengan Mama, mereka tahu mereka dilindungi. Bau Mama, suara Mama, pelukan sebelum tidur semua itu bagi mereka adalah ‘ubat penenang’ yang buat mereka mudah lena.
2. Perubahan dalam Hidup

Kalau tiba-tiba anak yang sebelum ini tidur sendiri, tiba-tiba nak tidur dengan kita balik, cuba perhati ada tak perubahan besar yang sedang berlaku dalam hidup dia? Contohnya:
- Baru masuk sekolah baru
- Baru berpindah rumah
- Dapat adik baru
- Mama semakin sibuk dan kurang masa bersama
Perubahan macam ni kadang-kadang buat anak rasa tak stabil. Waktu malam jadi satu-satunya masa dia dapat rasa kembali ‘tersambung’ dengan Mama. Jangan marah, tapi lihat itu sebagai isyarat dia perlukan sokongan emosi lebih sikit waktu tu.
3. Anak Masih Perlukan Emotional Refueling

Walaupun anak Mama nampak lasak, petah bercakap dan macam ‘dah besar’, hakikatnya dari segi emosi mereka masih lagi dalam proses membina keyakinan diri. Waktu tidur adalah waktu paling sunyi dan ini boleh buat anak rasa takut atau cemas.
Tidur bersama kita bantu mereka ‘isi semula tangki emosi’ rasa disayangi, diterima dan dilindungi. Ini bukan kelemahan, tapi satu bentuk keperluan yang akan hilang sendiri bila mereka rasa cukup yakin nanti.
Macam Mana Mama Nak Ajar Anak Tidur Sendiri?
1. Mula dengan Teman Anak di Bilik Sendiri

Kalau anak belum berani tidur sendiri, Mama boleh mula dengan teman dia dulu di bilik sendiri. Bacakan buku cerita, nyanyikan lagu atau temankan dia sampai lena.
Lama-lama, bila dia dah yakin dan rasa selamat dengan ruang bilik sendiri, dia akan okay tidur tanpa Mama.
Kalau anak jenis susah tidur tanpa pelukan Mama, boleh cuba beri objek kesayangan sebagai ‘peneman’. Contohnya patung lembut, bantal busuk atau selimut kegemaran mereka.
Benda-benda ni boleh jadi simbol keselesaan dan buat anak rasa macam Mama ada dekat, walaupun Mama dah keluar bilik. Ini bantu sangat dari segi sokongan emosi bila dia belajar tidur sendiri.
2. Cipta Rutin Waktu Tidur yang Konsisten

Anak-anak ni sebenarnya suka pada rutin yang sama setiap malam sebab ia beri rasa selamat. Bila mereka tahu lepas mandi akan gosok gigi, pakai baju tidur, baca buku, peluk dan baca doa.
Ini membuatkan badan dan minda mereka pun bersedia untuk tidur. Bila rutin ni konsisten, anak lebih mudah lelap tanpa drama sebab dia tahu apa yang nak dijangka setiap malam.
3. Berikan Galakan dan Pujian Ikhlas

Setiap kali anak berjaya tidur sendiri walaupun cuma setengah malam, jangan lupa puji usaha dia. Cakap macam, “Mama bangga sangat adik cuba tidur sendiri malam tadi”.
Ucapan kecil macam ni sangat besar kesannya pada anak. Kalau nak, boleh buat reward chart cukup lima malam tidur sendiri, boleh pilih mainan kecil atau aktiviti istimewa dengan Mama Papa.
Perlu Ke Risau Kalau Anak Masih Tidur dengan Kita?

Sebenarnya tak perlu risau sangat tapi bila mereka dah makin besar, eloklah Mama mula ajar mereka tidur sendiri, perlahan-lahan ikut keselesaan mereka.
Tujuannya bukan semata-mata nak asingkan tempat tidur, tapi membantu anak jadi lebih berdikari dan pada masa sama menjaga privasi Mama Papa. Anak yang membesar semakin peka dengan sekeliling, jadi penting untuk elakkan mereka nampak perkara yang tak sesuai.
Ingat Mama, latih anak tidur asing ni bukan usaha semalaman. Memang ambil masa, kadang naik turun, kadang berjaya satu malam tapi esoknya balik semula ke bilik Mama Papa. Tak apa, itu semua sebahagian daripada proses. Yang penting, kita konsisten, sabar dan terus beri kasih sayang.
Sampai satu masa nanti, anak kita sendiri yang akan tutup pintu bilik dan kata, “Mama, malam ni adik nak tidur sendiri ya”. Masa tu nanti, Mama akan termenung depan pintu bilik dia sambil senyum-senyum sorang.
Untuk baca lebih banyak artikel menarik tenatng dunia keibubapaan, klik di SINI.