Perkongsian oleh Ketua Jururawat, Puan Norazizah Harun, semasa Kelas Antenatal HCTM, kolaborasi bersama KelabMama.
Bila dah makin dekat tarikh due, makin ramai Mama yang mula buat persiapan untuk bersalin terutamanya bagi Mama yang merancang untuk memilih Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) sebagai tempat bersalin. Hati mula berdebar, makin banyak pula soalan muncul dalam kepala Mama “Nak bersalin kat mana ya?”, “Macam mana nak daftar?”, “Siapa yang boleh temankan nanti?”.

Jangan risau, Mama! Mama Siti ada untuk bantu. Kali ni, Mama Siti nak kongsikan info lengkap dan penting yang Mama kena tahu, hasil daripada perkongsian Ketua Jururawat Puan Norazizah Harun sendiri mengenai prosedur bersalin di HCTM.
Kalau Mama dah pilih HCTM sebagai destinasi kelahiran si manja, pastikan Mama baca sampai habis. Lagi bersedia, lagi tenang perjalanan nanti, kan?
Step-by-Step untuk Mama Bersalin di HCTM
Kalau Mama tengah merancang nak bersalin di Klinik Obstetrik & Ginekologi (O&G) HCTM, ada beberapa perkara penting yang Mama kena tahu supaya semuanya berjalan lancar nanti.
Janji Temu Pertama: Jangan Datang dengan Tangan Kosong!
Bagi Mama yang ingin bersalin di HCTM, anda perlu membuat pra-pendaftaran terlebih dahulu. Ada beberapa langkah yang Mama perlu lakukan.
Janji temu awal ni untuk membolehkan doktor menilai keadaan Mama dan bayi serta merancang proses kelahiran yang sesuai untuk Mama.
Mama perlu dapatkan surat rujukan daripada pihak klinik atau hospital tempat Mama lakukan pemeriksaan antenatal. Surat ini diperlukan semasa Mama melakukan pendaftaran di HCTM.
Apa bila Mama buat janji temu dengan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HCTM, Mama jangan lupa untuk bawa bersama dokumen-dokumen berikut:
- Kad pengenalan
- Buku rekod kesihatan ibu (buku pink)
- Surat rujukan
- Surat jaminan (jika ada)
Tak boleh walk-in terus, ya Mama. Semua bakal Mama yang nak daftar sebagai pesakit baharu atau nak booking tempat bersalin di HCTM wajib buat pra pendaftaran.
Pemeriksaan Berkala (Follow-Up)

Apabila dah masuk trimester ketiga, Mama perlu datang untuk pemeriksaan kandungan. Ketika ini:
- Doktor akan pantau perkembangan bayi dan kesihatan Mama
- Jika ada komplikasi seperti GDM, darah tinggi atau posisi bayi songsang, doktor akan beri rawatan susulan
Pilih Kaedah Kemasukan: Bersalin Swasta atau Kerajaan (Subsidi)
HCTM menawarkan dua jenis servis:
- Pesakit subsidi (melalui KK atau klinik panel kerajaan)
- Pesakit swasta (bayar penuh dengan beberapa pilihan bilik doktor tertentu)
Mama boleh buat pilihan mengikut bajet dan keselesaan.
Booking Slot Bersalin (untuk Kes Swasta)
Kalau Mama pilih untuk bersalin secara swasta:
- Buat booking awal (biasanya selepas minggu ke-28)
- Pilih doktor pakar pilihan Mama
- Bayaran deposit mungkin diperlukan
Nota: Untuk kes kerajaan, tiada booking slot Mama akan terus masuk terus dewan bersalin bila dah tanda nak bersalin.
Proses Kemasukan dan Pemeriksaan Awal

Bila Mama sampai:
- Jururawat akan buat CTG, periksa bukaan, tekanan darah dan rekod sejarah kesihatan
- Kalau sesuai, Mama akan dimasukkan ke dalam wad bersalin (labour room)
Untuk kes biasa, suami dibenarkan menemani sehingga ke saat kelahiran (bergantung pada SOP semasa).
Selepas Bersalin – Rehat di Wad dan Pemantauan Bayi
Lepas bersalin, Mama akan dipindahkan ke wad postnatal. Di sini:
- Doktor akan pantau luka bersalin, tekanan darah dan kesihatan umum Mama
- Jururawat akan bantu Mama menyusu bayi dan uruskan penjagaan awal
Waktu melawat dan SOP mungkin berubah ikut situasi semasa.
Discharge dan Bayaran

Discaj hanya dibenarkan bila semua ni dah selesai:
- Mama dan bayi sihat, tiada komplikasi
- Pemeriksaan bayi lengkap
- Bayi dah buang air kecil dan besar
- Mama boleh menyusukan dan jaga bayi dengan yakin
- Vaksin seperti BCG, Hep B, dan Vitamin K dah diberi
- Ujian darah G6PD & TSH selesai
- Ujian pendengaran (OAE) pun dah lepas
Lepas tu Papa akan diminta buat bayaran di Kaunter Bayaran, tunjuk resit pada staf wad, barulah Mama dan baby boleh balik rumah.
Boleh Tak Ada Peneman Dalam Dewan Bersalin?
Of course boleh, tapi ada peraturannya:
- Papa boleh temankan Mama, tapi perlu dapatkan Pas Menunggu di Kaunter Keselamatan (Tingkat 1).
- Kalau Papa tak dapat hadir, Mak Mama jadi keutamaan.
- Saudara perempuan hanya dibenarkan kalau Papa dan Mak tak ada atau mesti atas permintaan daripada Mama sendiri.
Soalan ‘Wajib Tahu’ untuk Bakal Mama Yang Ingin Bersalin di HCTM

1. “Perlu ke booking bersalin?”
Ya, wajib. Mama kena jumpa doktor di sini sekurang-kurangnya 2 kali terlebih dahulu.
2. “Kat mana nak pergi kalau dah rasa sakit nak bersalin?”
Terus ke PAC/OGAC, berdekatan dengan Jabatan Kecemasan.
3. “Apa nak bawa masa ada tanda nak bersalin?”
Kad pengenalan, buku antenatal, kad janji temu, surat jaminan (kalau ada), duit deposit, barang keperluan Mama & baby.
4. “Kalau susu badan belum keluar, macam mana?”
Normal je tu Mama. Lepas bersalin, teruskan penyusuan dalam 1 jam pertama untuk bantu rangsang susu. Jangan tunggu-tunggu ya.
5. “Susah nak menyusu, siapa boleh bantu?”
Hubungi Klinik O&G dan minta bercakap dengan Kaunselor Penyusuan Susu Ibu. Mama juga boleh minta brosur dari Kumpulan Sokongan Penyusuan. Di setiap wad ada kaunselor terlatih yang boleh bantu juga.
Dan kalau Mama ada apa-apa yang nak ditanya, jangan malu-malu untuk terus hubungi kaunter atau tanya pada kaunselor penyusuan yang memang ada untuk bantu Mama.
Bersalin di HCTM memang perlukan sikit persediaan, tapi bila Mama dah tahu apa nak buat dari awal, semua jadi lebih mudah dan tak serabut. Yang penting, Mama kena tahu prosedur awal dan sediakan siap-siap dokumen penting. Bila semua dah ready, barulah urusan jadi lancar dan hati pun rasa tenang.
Kalau Mama dah ada tanda-tanda nak bersalin, terus ke Dewan Bersalin di Tingkat 1, Blok Wanita & Kanak-Kanak (WCH). Jangan tunggu terlalu lama ya Mama, lagi cepat Mama sampai lagi cepat staf dapat bantu.
Semoga urusan bersalin nanti dipermudahkan dan jadi kenangan terindah buat Mama sekeluarga. Jangan lupa share info ni dengan geng-geng yang tengah countdown juga. Good luck Mama!
Nak tahu lebih banyak ilmu dan tip berguna tentang penyusuan susu ibu? Klik di SINI.