KelabMama

Kalau Ada Cara Kurangkan Sakit Bersalin, Kenapa Perlu Tolak, Kan? Pakar Jelaskan Tentang Epidural

penjelasan epidural

Bila sebut pasal bersalin, topik sakit mesti tak boleh lari. Tapi sekarang ni, ramai Mama dah tahu ada cara nak kawal kesakitan. Salah satunya, epidural yang semakin popular sampai ada yang selamba gelar sebagai cheat code sebab boleh hadapi contraction tanpa derita.

Dr. Khoo Eng Lea,
Pakar Perunding Anestesiologi

Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV)

Ada yang takut, ada yang rasa macam “tak aci” kalau guna bantuan ubat tahan sakit masa bersalin.

Tapi…kalau ada pilihan yang selamat dan disyorkan pakar, kenapa perlu tolak, kan?

Untuk jawab semua persoalan yang sering bermain di fikiran bakal Mama, Mama Siti dapatkan jawapan untuk persoalan ini bersama Dr. Khoo Eng Lea, Pakar Perunding Anestesiologi dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV).

Dr Khoo akan kongsikan tentang apa sebenarnya yang berlaku semasa prosedur epidural, siapa yang sesuai ambil dan kenapa ia bukan sekadar cheat code seperti yang disangka.

Jom baca sampai habis mana tahu, cheat code ini boleh bantu Mama bersalin dengan lebih tenang nanti.

1. Doktor, boleh tak terangkan secara ringkas apa itu epidural dan bagaimana ia berfungsi dalam proses kelahiran?

Kaedah suntikan epidural sebagai salah satu cara melegakan sakit bersalin (pain relief) adalah menggunakan suntikan ubat tahan sakit (lazimnya local anaesthetic & opioid) ke ruang epidural saraf tunjang untuk mengurangkan transmisi isyarat nyeri atau sakit melalui saraf-saraf yang terlibat.

Oleh itu, adalah biasa jika bakal ibu akan rasa kebas di bahagian kaki dan perut semasa mengambil suntikan epidural ini.

2. Apa beza epidural dengan jenis-jenis pain relief lain semasa bersalin, contohnya injection pethidine ke otot pinggul atau gas etonox?

Berbanding dengan kaedah pain relief lain, epidural adalah gold standard yang paling berkesan untuk menangani sakit bersalin. Akan tetapi, penting untuk tahu bahawa suntikan epidural hanya boleh dilakukan oleh Pakar Anestesiologi/Bius manakala injection pethidine atau gas boleh diberikan oleh jururawat.

3. Bilakah masa yang sesuai untuk Mama menerima epidural semasa proses bersalin?

Mama boleh menerima epidural semasa fasa aktif bersalin, lazimnya bila bukaan 3 cm ke atas atau apabila ubat augmentation kontraksi rahim telah diberikan.

4. Adakah semua Mama layak untuk mengambil epidural atau ada keadaan tertentu yang tak sesuai?

Semua Mama layak untuk mengambil epidural, kecuali mereka dengan keadaan berikut:

Namun begitu, Pakar Bius akan membuat penilaian keadaan mama terlebih dahulu sebelum mereka memberitahu bahawa mama boleh menerima epidural atau tidak.

5. Bagaimana cara doktor menilai keperluan Mama untuk mengambil epidural – adakah atas permintaan sendiri atau selepas perbincangan bersama?

Suntikan epidural bukan wajib diambil semasa proses melahirkan. Ia diberikan di atas pilihan dan permintaan Mama sendiri.

Akan tetapi, terdapat keadaan tertentu di mana epidural digalakkan untuk Mama, seperti apabila Mama ada penyakit darah tinggi, sesetengah penyakit jantung & peparu dan cuba bersalin secara normal selepas menjalani caesarean section semasa kelahiran sebelum ini.

Mama juga boleh mencuba kaedah yang lain terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk menerima suntikan epidural.

6. Macam mana proses penyediaan sebelum suntikan epidural tu dilakukan? Sakit ke masa kena cucuk?

Posisi Mama semasa menerima suntikan epidural ialah sama ada secara duduk atau baring mengiring. Mama perlu bertenang dan melembutkan badan supaya bukaan ruang antara tulang vertebra adalah lebih luas untuk laluan jarum epidural.

Sebelum epidural dilakukan, kulit akan disuntik dengan bius setempat terlebih dahulu dan ini mungkin akan menyebabkan sedikit rasa sakit.

7. Kalau ambil epidural, berapa lama kesannya tahan? Adakah boleh menganggu proses meneran atau bonding awal dengan bayi? Dan ada tak risiko pada bayi sendiri?

Semasa suntikan epidural, satu tiub halus akan dimasukkan ke ruang epidural untuk infusi ubat dan ini boleh bertahan sehingga selesai bersalin.

Jika Mama tidak dapat merasa sakit contraction walaupun bukaan sudah terbuka penuh, Mama harus mengikut arahan jururawat bila perlu meneran.

Risiko epidural pada bayi adalah amat rendah (negligible) kecuali jika tekanan darah Mama terlalu rendah.

8. Ada tak Mama yang tiba-tiba tak rasa kesan epidural walaupun dah disuntik? Apa puncanya dan apa langkah susulan?

Situasi ini boleh berlaku. Punca paling utama ialah apabila tiub epidural telah terkeluar dan jika ini disahihkan setelah diperiksa, maka suntikan epidural mungkin perlu diulangi semula.

9. Kalau tiba-tiba tak sempat ambil epidural sebab bukaan dah besar, apa pilihan lain untuk kawal kesakitan?

Seperti dinyatakan di atas suntikan pethidine ke otot pinggul atau gas etonox boleh diberikan kepada Mama sebagai alternatif pain relief yang lain.

10. Tak dinafikan, sebenarnya Mama risau ambil epidural sebab takut lumpuh atau kesan jangka panjang seperti sakit pinggang atau sakit belakang. Betul ke epidural boleh menyebabkan komplikasi macam tu?

Banyak kajian saintifik yang telah dijalankan menunjukkan tiada kaitan epidural dengan sakit pinggang atau belakang. Risiko untuk mengalami kecederaan saraf yang menyebabkan lumpuh pula adakah sangat rendah (antara 1 dalam 80,000 – 320,000 kes).

11. Ramai Mama rasa bersalah kalau ambil epidural sebab takut dianggap ‘tak tahan sakit’. Apa pandangan doktor tentang perkara ni?

Mama perlu tahu bahawa Pain Relief is a Human Right, di mana pain relief adalah hak asasi manusia. Oleh itu, Mama tidak perlu rasa bersalah jika mengambil suntikan epidural.

Lagipun, Mama boleh memilih kaedah selain epidural seperti suntikan pethidine dan gas etonox atau kaedah non-pharmacology seperti hypnosis, pernafasan relaksasi dan lain-lain.

12. Akhir sekali, apa pandangan doktor tentang epidural sebagai cheat code semasa bersalin?

Dalam dunia perubatan moden ini, banyak kaedah rawatan baru telah diperkenalkan untuk memberikan hasil rawatan yang lebih baik. Jadi, tiada istilah cheat code kerana setiap proses kelahiran itu merupakan sebuah pengorbanan dari Mama itu sendiri.

Kaedah suntikan epidural sebenarnya telah wujud lama di negara Barat dan merupakan norma untuk rawatan sakit bersalin. Walau apapun, epidural bukan wajib dan merupakan pilihan Mama sendiri.

Walau apapun pilihan Mama, saya nasihatkan Mama bincang dengan pakar Obstetrik mereka dulu dan apa yang yang penting proses bersalin itu biar berjalan lancar supaya Mama dan bayi kedua-duanya sihat.


Banyak informasi yang lebih menarik di KelabMama untuk Mama Papa, klik di SINI.