KelabMama

Bimbang Susu Badan Drop Kerana Berpuasa? Petua Saya Amalkan Bagi Memastikan Susu Badan Mencukupi Sepanjang Ramadan

Ramadan tahun 2022 merupakan satu lembaran baharu dalam hidup saya. Ketika itulah Lina menjalani ibadah puasa sebagai seorang ibu.

Takut? Sudah semestinya. Teruja? Tentu sekali! Pelbagai perasaan menerjah fikiran kerana bergelar ibu ketika di luar waktu Ramadan pun terasa lelahnya. Apatah lagi menjaga anak sambil bekerja online di rumah dan perlu menunaikan kewajipan berpuasa.

Sebagai seorang breastfeeding mom, Lina terfikir juga bagaimana jika anak bangun ketika bersahur. Mamai mencari susu.

Sebab anakku sejenis bayi yang aktif menyusu badan meskipun ketika tidur. Jika ibunya tiada di sisi, daripada mamai akan terus bangun dan merengek kerana keperluan dicari tak ditemui. Bila dah terbangun, dia akan terus segar untuk bermain.

Namun, yang lebih digeruni sebenarnya adalah macam mana kalau susu badan drop kerana berbelas jam tak makan.

Ditambah pula dengan ketika itu anakku masih berusia empat bulan yang mana hanya susu saja sumber utama minuman dan makanannya.

Si kecil memang tolak mentah-mentah minum susu dalam botol. Bukan tak berusaha, dah habis idea fikir apabila segala puting bermacam harga, bermacam jenis diberikan tapi ditolak.

Malah, si kecil sanggup berlapar atau haus selagi tak dapat susu badan. Pengalaman menghantar si kecil pada pengasuh sememangnya membelenggu Lina sebagai ibu.

Kerana inilah, anak hanya diletakkan di pengasuh untuk separuh hari saja iaitu 8 pagi hingga 12 tengahari. Sebab masa tu Lina dapati si kecil akan minum susu daripada botol untuk dua ke tiga kali sedutan selama dia berada di sana.

Ya, hanya sekadar menghilangkan dahaga. Sudahnya, segala pek susu badan dibekalkan semuanya dibuang.

Jadi, berbalik pada kejadian puasa pertama Lina sebagai ibu. Lina tiada pilihan kecuali berusaha memastikan susu tak drop.

Sekiranya ia berlaku, mungkin ku terpaksa berhenti berpuasa bagi memastikan anak sentiasa ada sumber makanannya. Inilah yang paling dibimbangkan sebenarnya.

Justeru, atas faktor inil, Lina mulai mengumpul pelbagai tips dan info dari Facebook. Pengalaman dikongsi ibu-ibu menyusu semuanya dibaca dengan teliti sehinggalah akhirnya, Lina faham satu konsep dalam menjaga susu meskipun tiada pemakanan diambil untuk tempoh kira-kira 16 jam.

Apa amalan tu? Mari Lina kongsikan!

#Tips Yang Diamalkan

1. Minum air kosong dengan banyak

Ini paling penting Mama. Semua ibu yang menyusu pun mesti mengaku yang tubuh terasa cepat haus. Lebih-lebih lagi ketika anak masih fully menyusu.

Menurut perkongsian blog oleh Pegawai Perubatan Senior di Kumpulan Perubatan Penawar, Dr. Zubaidi Ahmad, punca seorang ibu menyusu itu terasa haus adalah kerana peningkatan kandungan hormon oxytocin.

Ini berlaku apabila bayi mula menghisap susu ibunya menyebabkan kepekatan hormone oxytocin meningkat dalam darah dan seterusnya menyebabkan rasa haus pada ibu dan menggalakkan mereka untuk minum lebih banyak air.

Malah, hormon ini juga merangsang pengeluaran garam sodium daripada dalam ginjal menyebabkan wanita menyusukan anak mudah mengumpul air kencing di pundi kencing dan berasa kerap mahu buang air.

Ekoran inilah menyebabkan Mama mudah haus kerana kepekatan darah yang berlaku serta kekerapan buang air kecil menyebabkan tubuh Mama mudah dehydrate.

Justeru, pada bulan Ramadan, Mama digalakkan minum air kosong lebih banyak daripada biasa. Misalnya, Mama selalu minum sebanyak 2 liter, pada bulan Ramadan, tingkatkan kuantiti kepada 2.3 liter.

Macam pengalaman Lina, bekalan air kosong diisi dalam bekas yang ada sukatan isi padu. Jadi, caranya Lina minum kira-kira dua gelas sebelum makan hidangan utama ketika berbuka puasa.

Selesai berbuka dan solat Maghrib, Lina teguk lagi air dalam botol tadi. Kemudian lepas solat Isyak pun minum. Setiap kali selesai terawih akan teguk sedikit hinggalah masuk waktu tidur pukul 11 malam.

Air dalam botol masih ada lagi, jadi Lina akan minum semula ketika bangun untuk menyusukan anak sehinggalah menjelangnya sahur. Masa sahur barulah habiskan baki air dalam botol dan biasanya time ni lebih banyak teguk daripada malam tadi.

Kiranya dua keadaan yang Lina akan minum air kosong dengan banyak adalah pada waktu berbuka dan sahur.

Itu cara Lina nak pastikan tubuh tetap hydrate dan susu mampu dihasilkan secara optimum.

2. Ambil makanan tinggi protein

Ini juga sangat penting Mama. Tahukah anda, pengambilan protein berupaya menghasilkan susu yang lebih berkualiti sekaligus merangsang pertumbuhan si manja dengan lebih baik.

Memetik laporan Harian Metro menemubual Pegawai Sains Pemakanan dan juga Kanselor Laktasi, Adibah Zakaria berkata, kualiti susu ibu tidak terjejas meskipun ketika berpuasa.

Ini berdasarkan kajian antara pemakanan ibu dan juga susu adalah membabitkan kuantiti susu jika si ibu tadi mengalami kekurangan zat lebih dari tiga bulan ke atas.

Katanya, penghasilan susu ini sebenarnya boleh dibantu menerusi pengambilan makanan seimbang terutama sumber protein. Ketika bersahur, sumber makanan diambil perlulah merangkumi panduan sajian seimbang terutama protein yang menjadi antara elemen paling penting dalam diet mereka.

Kata beliau, bagi ibu menyusu baik yang berpuasa ataupun tidak, protein antara sumber penting dalam penghasilan susu apatah lagi yang menyusu bayi di bawah enam bulan.

Tambah pakar itu lagi, persiapan bersahur lain termasuklah pengambilan air mencukupi selain pengambilan karbohirat kompleks.

Justeru, kaedah ini Lina amalkan dengan menjaga jumlah protein diambil untuk pastikan ia tak berkurang. Contohnya menu sahur pada ketika itu adalah sambal telur dan sayur goreng, Lina akan makan sepinggan sesenduk nasi bersama dua biji telur sambal dan sayur goreng agak banyak.

Kiranya nasi dalam segenggam, tapi lebih kepada lauk pauk. Begitu juga dengan ayam dan ikan. Biasanya untuk berbuka dan sahur, memang Lina makan paling banyak untuk ayam dan ikan berbanding ahli keluarga yang lain sebab nak pastikan protein mencukupi.

Nasi pun tak bertambah sebab bila portion protein dah banyak, ia dah cukup mengenyangkan. Ditambah pula dengan tegukan air kosong sebelum makan tadi, juadah sebegini sememangnya cukup untuk tubuh yang menyusu.

3. Makan makanan berkhasiat

Bila kita cuba jaga protein, secara tak langsung Mama akan perasan makanan yang kita ambil lebih kepada makanan berkhasiat. Sepanjang hari berpuasa, nak berbuka air boba nanti takut kurang minum air kosong pula.

Nak makan pizza nanti, kurang ambil protein pula. Jadi, tentunya makanan dan minuman seumpama ini Mama elak demi nak jaga nutrisi penghasilan susu.

Bila Mama amalkan makanan seimbang seperti banyak minum air kosong, nasi putih segenggam dan sayur-syuran serta lauk protein yang sihat, Mama sendiri akan rasa tubuh lebih ringan dan aktif.

Jika Mama komited untuk pastikan kuantiti susu mencukupi, kurangkan air manis kerana ia hanya mampu menghilangkan dahaga, namun tubuh tidak mendapat pengambilan cecair mencukupi.

Senang kata, minum secawan pun dah rasa kenyang sebab kandungan gula. Tetapi bahayanya adalah, tubuh sebenarnya masih memerlukan air untuk kekal hydrate.

Keadaan ini sekaligus boleh mengundang kepada dehydration dan pastinya dikhuatiri menganggu penghasilan susu Mama.

4. Jaga waktu menyusu

Disebabkan anak hanya bergantung pada susu badan, maka, pengalirannya sentiasa dirangsang. Jadi, ini juga antara sebab susu badan Lina tak drop meskipun berpuasa.

Bagi Mama yang bekerja, sebaiknya, pump susu ikut sesi yang ditetapkan. Jika susu mulai drop, cuba untuk rangsang dengan melakukan pumping session atau feeding si kecil.

Sebenarnya terdapat beberapa tips lain yang breasfeeding mom boleh cuba. Namun, empat point ini Lina yang dikongsikan ini adalah amalan Lina sepanjang Ramadan tahun 2022. Kemudian, Lina teruskan kaedah sama pada Ramadan 2023.

Tapi masa ni kebimbangan dah berkurangan sebab anak dah boleh makan. Alhamdulillah, anak berjaya mendapat susu badan sehingga usia dua tahun tanpa consume formula milk.

Bukan setakat berpuasa, hari biasa pun Lina banyak cari bahan bacaan tentang penyusuan ibu. Banyak ilmu penting diperoleh sejak bergelar ibu juga.

Walaupun mungkin ada sebahagian Mama merasakan sedikit sukar mengamalkan kesemuanya dengan disiplin, tapi pendapat Lina adalah jangan skip point pertama dan kedua tu! Itu yang paling penting!

Jika sesekali Mama rasa nak makan fast food or whatsoever, pastikan pengambilan air kosong dan makanan berprotein juga tak berkurangan. Semoga tips ini bermanfaat untuk para mommies semua!

Penafian: Ini hanya pendapat peribadi Lina, jika berkemampuan dan tiada masalah kesihatan untuk Mama dan bayi, dialu-alukan untuk mengamalkannya. Namun, jika tiada keupayaan, tak berdosa pun sekiranya Mama terpaksa membatalkan puasa.

Sebaiknya, berbincang dengan doktor, pakar laktasi atau mereka yang berkaitan untuk sebarang masalah dan kekeliruan yang Mama hadapi.

I would like to wish good luck to all breastfeeding moms and Selamat Berpuasa juga kepada semua pembaca Kelab Mama yang beragama Islam!


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Jika Mama mempunyai pelbagai persoalan dan kekeliruan berkaitan kehamilan serta penyusuan, bolehlah rujuk di SINI!