KelabMama

Vitamin C Untuk Ibu Mengandung – Cadangan Pengambilan dan Suplemen Yang Disyorkan

Sumber: healthline.com

Semua ibu tahu keperluan nutrisi semakin meningkat ketika ibu mengandung termasuklah vitamin C untuk menyokong perkembangan bayi dalam rahim dan dalam masa yang sama mengekalkan kesihatan ibu. Apatah lagi apabila kita mengandung, bayi menyerap zat-zat daripada ibu dengan banyak. Sebab tu ramai antara kita yang mak-mak ni mula menjaga pemakanan apabila tahu diri sedang hamil bukan? Kebahagiaan untuk melindungi si kecil di dalam rahim sebaiknya.

Biasanya pengambilan micronutrient seperti folate, zinc, kalsium dan sebagainya dalam pemakanan harian sebelum hamil adalah rendah dengan gaya hidup masa kini. Penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan secara komersial semakin mengurangkan zat-zat yang terkandung di dalamnya. Maka kita memerlukan lebih lagi khasiat seharian apabila kita hamil.

Kali ni Mama Siti nak kongsi tips tentang vitamin C yang tak asing lagi ni untuk ibu mengandung.

Tahukah ibu, vitamin C tidak dapat dihasilkan oleh badan, maka kita perlu ambil daripada sumber luar sama ada pemakanan mahupun suplemen.

Mengapa Vitamin C Penting untuk Ibu Mengandung?

Antioksidan

Sifat vitamin C adalah sejenis antioksidan, iaitu nutrien yang menghalang kerosakan dilakukan oleh free radicals. Ibu-ibu biasa kan dengar tentang free radical? Radikal bebas ni terbina apabila badan kita menghadam makanan atau apabila kita terdedah kepada asap rokok contohnya. Jadi sifat ini sekaligus melindungi ibu hamil daripada toksin dan jangkitan.

Sifat ini membuatkan vitamin C boleh meningkatkan daya tahan tubuh kita kepada penyakit. Biasa kita tahu kan, ibu hamil lebih mudah jatuh sakit. Inilah sebabnya, kita lemah kerana badan kita perlu lebih nutrisi tetapi pengambilan vitamin C seharian tidak mencukupi. Ada satu terma yang kita panggil oxidative stress, yang menurut kajian institut ini akan membuatkan ibu hamil terdorong mendapat masalah preeclampsia ataupun darah tinggi ketika hamil. Jadi vitamin bersifat antioksidan seperti vitamin C dan E membantu sebagai langkah pencegahan.

Penghasilan collagen

Mama semua pasti biasa dengar collagen kan? Penghasilan collagen sangat memerlukan vitamin C. Keperluan badan kita kepada komponen penting dalam collagen iaitu glycine, meningkat mendadak ketika hamil. Jadi kita perlu lebih vitamin C untuk memastikan badan dapat menjana collagen dengan baik.
Maka luka dan parut lebih mudah sembuh. Kulit juga lebih elastik, contohnya stretch marks tidak akan begitu jelas dan lebih mudah hilang selepas bersalin nanti. Vitamin C ni penting untuk membina kulit, tendon, ligament dan juga salur darah. Apabila salur darah ke plasenta lebih sihat, maka oksigen supply juga cukup untuk bayi.

Rambut dan kuku ibu juga akan lebih sihat dengan pengambilan vitamin C yang cukup. Kebaikan vitamin C ini dalam memulihkan dan menyihatkan rawan, tulang dan gigi, telah sekaligus menjadi sangat penting untuk perkembangan badan bayi. Jadi ibu dapat manfaat, bayi juga sama!

Membantu Menyerap Zat Besi

Bagi setiap nutrien, ia pasti memerlukan bahan lain untuk berkerja bersama-sama, saling melengkapi dalam memastikan penyerapan optimum. Kajian ini mendapati vitamin C dapat menjadi penggalak kepada kadar penyerapan zat besi yang baik di dalam badan kita.

Ramai orang mengambil zat besi namun ia tidak dapat diserap dengan baik ke dalam sel tubuh. Kalau Mama perasan, banyak sangat bahan makanan di pasaraya yang kita nampak di labelnya bertulis ‘enrinched with iron’ tetapi masih ramai kekurangan zat besi. Inilah sebabnya – kerana zat besi tidak boleh berkerja sendiri. Ia memerlukan vitamin C untuk membantu menyerap ke dalam tubuh badan kita.

Bagus untuk Hormon Wanita

Hormon adalah nadi kehidupan kita. Apatah lagi bagi wanita yang kehidupan berkitar dengan perubahan naik turun hormon kewanitaan yang berbeza-beza. Ketika hamil, hormon seperti progestron pula contohnya banyak mengambil alih. Maka, vitamin C ini sangat diperlukan untuk penghasilan hormon wanita yang seimbang. Kehamilan yang sihat bergantung kepada paras hormon yang baik, jadi pengambilan vitamin C yang cukup mestilah dijaga.

Membantu Sistem Penghadaman

Oleh kerana penghasilan progestron meningkat ketika hamil, maka sembelit kerap berlaku. Apabila kita makan buah-buahan tinggi serat untuk meningkatkan pengambilan sumber vitamin C badan, secara tidak langsung sistem penghadaman menjadi lebih mudah.

Mama Siti akan kongsikan senarai dan tips pemakanan di bawah nanti.

Sumber Vitamin C dalam Buah-buahan dan Sayur-sayuran

Amalan terbaik adalah ibu-ibu dapat makan whole food kerana ia mengandungi nutrien pelengkap penuh. Semua zat dan mineral ada sekali dalam pemakanan seharian yang pelbagai daripada daging, ayam, kentang, ubi dan lain lain. Di sini Mama Siti kongsikan dahulu sumber buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi vitamin C.

Buah-buahan Citrus

Buahan citrus ni adalah buah yang berkulit tebal serta mempunyai isi berjus bila diperah. Rasanya masam manis dan mempunyai haruman segar. Contohnya adalah buah oren, limau nipis, limau kasturi, buah mandarin, lemon dan sebagainya. Untuk pengetahuan ibu-ibu, secawan jus oren akan memberikan 124mg vitamin C.

Buah tomato

Sewaktu Mama Siti hamil dulu, Mama Siti tanam sendiri buah tomato di rumah. Jadi kita dapat petik sendiri buah tomato dengan tangkainya terus. Cara ini akan preserve zat dan mineral dalam buah tomato tadi. Ini tips yang Mama Siti dapat daripada doktor yang merawat. Bila kita nak simpan dan makan kemudian pun, nutrisi dia masih segar. Pengambilan buah tomato ni sedikit sebanyak dapatlah top up keperluan vitamin C harian ibu hamil.

Lada benggala

Ini fakta yang menarik. Lada benggala yang selalu kita tumis atau makan mentah bersama pasta dan sebagainya mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi. Mama Siti sangat sarankan pengambilan lada benggala pelbagai warna untuk manfaat optimum. Kan ada lada benggala warna kuning, merah dan hijau serta oren. Pernah tengok kan? Sekarang mudah untuk didapati, malah rasanya yang sedap. Sebagai penaik rasa dan selera.

Buah tropika

Buah betik, jambu batu dan kiwi sangat tinggi vitamin C. Begitu juga bunga roselle yang sedap sekali dibuat air. Buah betik ni memang soothing untuk penghadaman kan di kala hamil. Inilah antara buah-buahan tempatan yang mudah dicari malah dengan faktor tambahan tinggi vitamin C walaupun tidak lah masam. Menarik kan? Pengambilan seharian boleh dibuat dengan bertukar-tukar buah. Barulah Mama lebih berselera!

Suplemen Vitamin C yang Boleh Dicuba

VitaHealth Vitamin C with Zinc+

Selain mengandungi ascorbic acid dan zinc, jenama vitamin C VitaHealth ini juga mengambil ekstrak buah bergamot dan buah oren sebagai penambah unsur nutrisi daripada whole food. Buahan ini juga membantu penyerapan vitamin C yang lebih berkesan. Produk juga mengandungi komponen buah bernama rutin yang bagus sebagai antioksidan tambahan.

Amla C daripada OMX

Brand Amla C ni menggunakan ekstrak serbuk buah Indian Gooseberry organik, yang kemudiannya dikapsulkan. Buah ini tinggi kandungan vitamin C dan banyak digunakan dalam perubatan Ayurveda.

VitaHealth Liveli

Sumber: Motherhood.com.my

Produk VitaHealth Liveli adalah minuman yang berasaskan buah jujube segar. Sebenarnya jujube sangat tinggi vitamin C namun untuk dapatkan buahnya di Malaysia amatlah sukar. Maka minuman tonik ini sangat bagus, dengan tambahan dos vitamin C di dalamnya, juga buah epal serta tumbuhan artichoke yang tinggi kandungan vitamin C.

VitaHealth Elderberry Plus 90’s

Buah elderberry juga sangat tinggi vitamin C namun sukar didapati di Malaysia. Jenama VitaHealth Elderberry Plus 90’s mengambil buah elderberry dari Eropah dan diekstrak menjadi tablet.

Cadangan Resepi Pengambilan Vitamin C untuk Ibu Mengandung

Jus oren bermineral

Caranya ialah, jus oren diperah daripada sebiji buah dan ditambah jumlah air kelapa yang sama banyak. Letakkan sedikit garam himalaya berwarna pink untuk menambah rasa serta elektrolit yang diperlukan. Selain mendapat dos vitamin C, Mama juga dapat mengurangkan kebarangkalian kejang otot sewaktu hamil dengan pengambilan elektrolit yang cukup.

Cadangan sarapan

Memandangkan vitamin C akan berfungsi dengan lebih baik jika dimakan bersama protein, Mama Siti cadangkan menu ini buat Mama.

Mula-mula, Mama ambil telur dan goreng hancur. Sebaiknya telur ayam untuk mendapatkan nutrisi yang tinggi terutamanya choline. Choline ni bagus untuk perkembangan otak serta spinal cord baby.

Kemudian taburkan garam himalaya di atasnya. Tambah potongan betik sebagai pelengkap dos vitamin C. Nampak sedap bukan?

Sumber: medicalnewstoday.com

Kepelbagaian Makanan Seimbang bagi Ibu Mengandung

Ibu-ibu tidak perlu risau sangat berapa mg dos yang perlu diambil. Selain daripada suplemen di atas, Mama jangan lupa amalkan pengambilan vitamin C melalui whole food, mengikut keperluan diri macam kita biasa makan hari-hari. Boleh mula perlahan-lahan kemudian tambah lagi mengikut kesesuaian.

Akhir sekali, Mama Siti sarankan ibu-ibu yang sedang mengandung jangan untuk lupa mengamalkan pemakanan seimbang untuk melengkapkan keperluan nutrisi yang meningkat berganda kerana berbadan dua. Apabila kita sihat, kehamilan kita insyaAllah akan dipermudahkan daripada sebarang komplikasi. Mama dan bayi dalam kandungan pun pasti akan lebih ceria!