KelabMama

Sepeket Mee Segera, Jadi Punca Pelbagai Penyakit Kronik

“Mee segera – Ia tidak berkhasiat dan menyebabkan kanak kanak mengalami masalah kekurangan zat makanan, kegemukan dan kurang berat badan”.

Itu kenyataan dari pakar UNICEF yang jalankan kajian pemakanan dan status nutrisi bagi kanak kanak di Asia Tenggara.

Sedap dan murah, siapa saja yang tak meminati hidangan ni? Mama Siti pun dulu peminat tegar mee segera tau! Penyelamat waktu belajar dulu-dulu. Sebut saja brand Maggi, Mi Sedaap, PAMA, Ruski semua kita balun! Bak kata orang mee segera ni diminati semua lapisan masyarakat, tua dan muda.

Populariti mee segera juga terbukti apabila hampir 95 bilion mi dimakan oleh penduduk seluruh dunia, setiap tahun!

Pernah ada yang bertanya pada Mama Siti, “Anak saya umur 5 tahun, boleh ke dia makan maggi?”. Aik, tak ada makanan lain ke nak bagi? Itulah persoalan yang timbul di minda apabila berdepan dengan pertanyaan macam tu. Hakikatnya, kanak-kanak mengambil hidangan ini secara berlebihan dan ia bukan saja berlaku di Malaysia malah Indonesia dan Filipina juga.

Walaupun ia tak berkhasiat, namun kanak kanak gemarkannya berikutan kandungan perasa dan garam yang tinggi. Ibu bapa juga lebih selesa untuk hidangkan mee segera berbanding makanan ruji konvensional seperti nasi kerana ia pantas dan mengenyangkan.

Faktor Kemiskinan, Mee Segera Jadi Pilihan

Faktor kemiskinan merupakan antara faktor mengapa mee segera dijadikan pilihan. Bukan itu saja, harga pun murah, jualan yang meluas dan promosi hebat produk mee segera ni membuatkan ia menjadi pilihan keluarga.

Makanan ini sangat popular di kalangan orang bujang mahupun golongan yang sedang “kekeringan” poket.

Namun begitu, mama tahu tak di sebalik kesedapan dan keenakan mee segera yang mempunyai pelbagai perisa tu, tak elok sebenarnya kurang sihat kalau dimakan dalam kuantiti yang banyak dan secara berterusan. Bayangkan kandungan MSG dan garam yang ada dalam bahan perencah mee tu. Boleh darah tinggi tau!

Bahan perisa ni boleh berikan kesan negatif kepada kesihatan terutama terhadap fungsi buah pinggang. Kajian menunjukkan bahawa individu yang alah kepada MSG mengalami panas dada, perubahan warna wajah dan sakit kepala yang melampau setelah mengambil produk yang mengandungi MSG yang tinggi.

Bayangkan kalau mama asyik bagi anak mama makan maggi setiap hari? Buah pinggang mereka pun masih muda, tak mampu nak proses makanan macam ni kalau dimakan setiap hari!

Risiko Kanser Melalui Pek Pembungkusan

Selain itu, kandungan dioxin dan plasticizers yang terkandung dalam pek pembungkusan (biasanya dalam bentuk mangkuk atau cawan) juga dikatakan mampu meningkatkan risiko serangan kanser di kalangan pengguna. Bahan kimia yang terlarut dalam air panas akan menjadi bahaya sekiranya di makan dari mangkuk secara terus.

Wax memberikan tekstur “licin” pada permukaan mi.

Jangan lupakan juga teknik memasak mee segera anda. Mama tahu tak, kandungan wax yang menyelaputi mee segera ambil masa 4-5 hari untuk badan mencernanya. Bagaimana pula dengan kesan terhadap ibu mengandung dan kanak-kanak?

Ada yang kata, “Tak apa, saya rebus maggi tu dulu kemudian buang air dia. So, kira okay kut kalau nak bagi anak makan.”

Mama Siti hanya boleh geleng kepala saja. Bagus tindakan mama tu tapi seeloknya tak payah bagi langsung makanan ni ni pada kanak-kanak. TAK ELOK!

Mee Segera Bukan Solusi Masalah Kurang Zat Makanan

Kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun akan mengalami masalah penyerapan nutrisi sekiranya dia makan mee segera lebih dari 3 kali seminggu. Ibu mengandung juga boleh mengalami keguguran atau menganggu proses pertumbuhan janin jika ambil produk ni secara berlebihan.

 Jadi, buat para wanita yang sedang mengandung tu, cubalah elakkan mengidam mee segera ya. Gantikan dengan makanan lain yang lebih berkhasiat.

Jika kanak-kanak makan bahan kimia ini, ia boleh berkumpul di jantung, hati dan buah pinggang lalu merosakkan organ.

Mee segera bukan solusi kepada masalah kekurangan zat makanan. Ia sebenarnya memburukkan lagi keadaan. Kanak kanak yang mengambil hidangan ni secara berlebihan boleh alami masalah kegemukan dan kurang berat badan.

Kalau mama rasa, anak mama gemuk sebab zat-zat makanan yang dia terima hasil pemakanan yang dia ambil, fikir lagi sekali mama. Yes, anak mama gemuk tapi dia tak dapat nutrien yang penting untuk pertumbuhan. Nutrien paling ketara adalah zat besi dan vitamin. Kekurangan zat besi akan menjejaskan perkembangan otak. Ini yang mama patut ambil perhatian!

Kesimpulannya, ibu bapa sekalian, mee segera tak patut ada di rak stok makanan anda. Kalau boleh, elakkan dari hidangkan makanan ni kepada anak anak.

Sumber: Public Health Malaysia

BACA JUGA SEDAP TAK SEMESTINYA KENA MASIN! INI 10 MAKANAN PALING TINGGI GARAM

Pesan Mama Siti:

Ha… Jadi, lepas ini kalau mama nak masak mi segera untuk anak-anak atau pasangan, fikir dulu tentang kesan sampingan makanana ni untuk kesihatan, okay? Jaga kesihatan mama dan keluarga. Tubuh badan yang sihat menjamin kehidupan yang bahagia!