Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) adalah “ancaman dalam diam” yang melarat tanpa disedari sehingga kerosakan menjadi tahap lanjut.
Prevalensi CKD di seluruh dunia menunjukkan wanita menghidapi penyakit ini pada kadar 11.8%, manakala lelaki pada kadar 10.4%[i]. Data di Malaysia turut menunjukkan trend yang sama di mana kadar prevalensi 14% buat wanita, sedikit lebih tinggi berbanding lelaki pada 12%[ii].
Menurut Dr Rosnawati Binti Yahya, Pakar Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), jurang antara jantina ini tidak selalunya jelas dalam praktis harian.
“Secara konsisten, kita dapati bahawa faktor utama CKD masih lagi didorong oleh masalah metabolik seperti diabetes dan hipertensi, dan ini menjejaskan lelaki dan wanita dalam jumlah yang hampir sama,” katanya.
Diabetes dan Hipertensi Merupakan Punca Utama
Sebanyak 86% daripada kes CKD di Pusat Buah Pinggang berpunca daripada masalah metabolik. Data Malaysian Dialysis and Transplantation Registry 2023 menunjukkan bahawa diabetes dan hipertensi adalah punca utama kegagalan buah pinggang, masing-masing menyumbang sebanyak 56% dan 30% daripada keseluruhan kes[iii].
Kedua-dua keadaan ini terjadi secara senyap dan merosakkan buah pinggang sedikit demi sedikit selama bertahun-tahun tanpa disedari oleh pesakit.
Apa yang membimbangkan adalah ramai individu hanya menyedari masalah buah pinggang mereka apabila sudah terlambat. Ramai menyedari apabila fungsi buah pinggang telah merosot dengan ketara, malah ada yang hanya mengetahuinya apabila rawatan dialisis sudah perlu dilakukan dengan segera.
“Inilah sebabnya mengapa pemeriksaan awal sangat penting. Tiga peringkat pertama CKD biasanya tidak menunjukkan simptom. Jika anda menunggu sehingga munculnya simptom, anda sebenarnya sudah terlambat,” tegas Dr Rosnawati.
Perbezaan Jantina dalam Faktor Autoimun
Penyakit buah pinggang tidak mengenal mangsa, namun wanita menunjukkan risiko yang lebih tinggi terhadap penyakit buah pinggang yang berpunca daripada faktor autoimun.
Antara yang paling lazim ialah nefritis lupus, iaitu komplikasi daripada penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE). Walaupun jarang berlaku pada golongan lelaki, simptom dan kerosakan buah pinggang biasanya lebih teruk apabila ianya berlaku.
“SLE kebanyakannya menjejaskan wanita, dengan nisbah wanita berbanding lelaki setinggi 9 kepada 1[iv]. Apabila ia melibatkan buah pinggang, kebanyakan kes masih lagi terdiri daripada wanita,” kata Dr Rosnawati.
Simptom yang Sering Disalah Tafsir
Dr Rosnawati berkongsi bahawa salah satu sebab CKD sukar dikesan awal bagi kaum wanita, adalah kerana simptomnya mudah diketepikan. Simptom-simptom sering kali disalah anggap sebagai kesan kehidupan harian atau perubahan hormon, seperti:
- Keletihan berpanjangan yang biasanya dianggap sebagai kesan kesibukan menguruskan rumah tangga, kerja, atau penjagaan anak.
- Kelesuan yang sering dianggap sebagai anemia, simptom haid, atau sekadar kepenatan.
- Kekerapan membuang air kecil pada waktu malam, yang mana sesetengah wanita mengaitkannya dengan kelemahan otot lantai pelvik selepas bersalin.
- Bengkak pada kaki, buku lali atau muka, yang mungkin dianggap sebagai takungan air biasa (water retention).
“Wanita sering menganggap simptom ini sebagai perkara biasa. Mereka menyangka ia berpunca daripada stres, faktor penuaan, atau hormon, dan bukannya penyakit buah pinggang,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau berkongsi beberapa tanda-tanda amaran (red flags) seperti perubahan pada air kencing (kekerapan, warna, atau air kencing berbuih), hilang selera makan atau loya, serta tekanan darah tinggi yang sukar dikawal.
Keputusan ujian darah juga boleh mengelirukan, terutamanya bagi wanita. Tahap kreatinin, iaitu penunjuk utama fungsi buah pinggang, dipengaruhi secara langsung oleh jisim otot. Beliau menggesa wanita agar tidak bergantung kepada angka semata-mata, sebaliknya bertanya kepada doktor tentang maksud sebenar angka tersebut untuk diri mereka.
“Memandangkan wanita secara amnya mempunyai jisim otot yang kurang berbanding lelaki, tahap kreatinin yang ‘normal’ mungkin boleh menyembunyikan masalah buah pinggang yang berada di peringkat awal. Bacaan 90 mungkin baik bagi lelaki berbadan besar, tetapi bagi wanita yang bertubuh kecil, ia mungkin menandakan fungsi simpanan buah pinggang mula menyusut,” jelas Dr Rosnawati.
Kesan Fasa Kehidupan Wanita Terhadap Kesihatan Buah Pinggang
Kehamilan dan menopaus adalah dua fasa kehidupan yang boleh meningkatkan risiko masalah buah pinggang bagi wanita.
Komplikasi seperti preeklampsia dan diabetes gestasi menunjukkan isu vaskular atau metabolik yang berterusan, meningkatkan risiko hipertensi, proteinuria, dan CKD sebanyak dua hingga empat kali ganda.
Selepas menopaus, tahap estrogen yang lebih rendah mengurangkan lagi perlindungan pada buah pinggang dan saluran darah, yang boleh mempercepatkan lagi perkembangan penyakit.
“Selain itu, sindrom ovari polikistik (PCOS) kini muncul sebagai faktor risiko yang signifikan tetapi kurang diberi perhatian. Ia berkait rapat dengan rintangan insulin, obesiti, dan sindrom metabolik. Ia juga boleh menyebabkan diabetes dan tekanan darah tinggi pada usia lebih muda, yang mana kedua-duanya adalah punca utama kerosakan buah pinggang dalam jangka masa panjang,” tambah Dr Rosnawati.
Dr Rosnawati menekankan kepentingan melakukan ujian tekanan darah dan gula dalam darah setiap tahun.
“Walaupun tekanan darah atau gula dalam darah anda sudah stabil, ia tidak bermakna risiko itu hilang. Wanita memerlukan pemeriksaan berkala yang berterusan, walaupun mereka merasa sihat,” katanya.
Jangan Leka, Buatlah Ujian
Bagi wanita, terutamanya mereka yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi, obesiti, penyakit autoimun, atau mempunyai sejarah komplikasi kehamilan, pemeriksaan awal untuk penyakit buah pinggang bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan.
Hanya tiga ujian mudah diperlukan untuk mengesan masalah dengan lebih awal iaitu:
- Ujian darah untuk fungsi buah pinggang.
- Ujian protein dalam air kencing (paling tepat menggunakan nisbah albumin-ke-kreatinin air kencing).
- Pemeriksaan tekanan darah.
“Protein dalam air kencing adalah salah satu tanda awal kerosakan buah pinggang, namun banyak ujian dipstick gagal mengesannya. Pengesanan awal membawa perbezaan yang besar kerana terdapat banyak pilihan rawatan. Dengan rawatan yang betul, kemerosotan fungsi buah pinggang juga boleh diperlahankan secara ketara,” kata Dr Rosnawati.
“Matlamat kami adalah pemeliharaan fungsi buah pinggang. Jika kita dapat mengurangkan kemerosotan fungsi daripada 10% setahun kepada hanya 2%, ramai pesakit mungkin tidak akan memerlukan dialisis,” jelas beliau.
Tanpa simptom awal, CKD sering dikesan apabila sudah berada di peringkat serius. Oleh itu, pengesanan awal dan tindakan segera adalah kunci untuk menyelamatkan buah pinggang anda. Buat wanita yang menjadi tunjang kekuatan keluarga, mengutamakan kesihatan diri sendiri bukan bermakna anda mementingkan diri. Anda perlu kekal sihat demi keluarga.
“Walaupun anda merasa sihat, lakukanlah pemeriksaan. Jangan tunggu simptom muncul. Jika ujian darah anda kelihatan ‘normal’ tetapi anda merasa ada sesuatu yang tidak kena, tanyalah doktor anda mengenai kesihatan buah pinggang anda,” ujar Dr Rosnawati.
Rujukan:
[i] https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2157171621000666
[ii] https://nkf.org.my/wp-content/uploads/2018/09/nkf-may13_1.pdf
[iii] https://msn.org.my/nrr/wp-content/uploads/2024/12/FinalChapter-2_HooiChoo-Najdah-Jasmine-v2_ong28-Oct-2024_v5.pdf
[iv] https://www.openaccessjournals.com/articles/epidemiology-of-systemic-lupus-erythematosus-prevalence-incidence-and-risk-factors.pdf
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubapaan bersama pakar-pakar ternama di SINI.
