“Kenapa setiap kali bayi menyusu, puting rasa sakit sangat?”
Kalau Mama baru melalui fasa breastfeeding, mungkin soalan ini pernah bermain di fikiran. Ada yang rasa pedih, ngilu, berdenyut atau sampai puting merekah dan luka. Nak berhenti menyusu pun sayang, nak teruskan pula setiap kali bayi melekap, Mama terpaksa tahan sakit.
Sebenarnya, rasa sedikit sensitif atau tidak selesa pada awal perjalanan penyusuan boleh berlaku ketika Mama dan bayi sedang belajar untuk mendapatkan posisi serta lekapan yang betul. Tetapi, kalau sakit berlaku setiap kali menyusu, berpanjangan atau semakin teruk, jangan anggap Mama perlu tahan sahaja.
Punca Puting Mama Sakit Ketika Menyusu
1. Lekapan Bayi Kurang Tepat
Antara punca yang biasa ialah latch atau lekapan bayi yang kurang baik.
Kalau bayi hanya melekap pada puting dan tidak memasukkan sebahagian kawasan areola ke dalam mulut, tekanan ketika menghisap boleh tertumpu pada puting. Sebab itu Mama mungkin rasa pedih, sakit atau puting menjadi luka selepas beberapa sesi penyusuan.
Secara umumnya, mulut bayi sepatutnya terbuka luas dan bayi melekap dengan baik pada payudara, bukan sekadar pada hujung puting.
Kalau setiap kali bayi mula menyusu Mama terus rasa sakit yang kuat, cuba perhatikan semula cara bayi melekap.
2. Posisi Menyusu Mungkin Kurang Sesuai
Kadang-kadang bukan bayi sahaja yang perlu disesuaikan, posisi Mama pun memainkan peranan.
Bila badan Mama terlalu membongkok, bayi terlalu jauh daripada payudara atau kepala dan badan bayi tidak berada dalam kedudukan yang selari, bayi mungkin sukar mendapatkan lekapan yang baik.
Akhirnya, puting pula yang menerima lebih banyak tekanan. Jadi, jangan takut untuk cuba beberapa posisi penyusuan sehingga Mama dan bayi sama-sama rasa lebih selesa.
3. Bayi Ada Masalah untuk Melekap
Ada keadaan tertentu yang menyebabkan bayi sukar melekap atau menghisap dengan efektif, termasuk sesetengah masalah pada struktur mulut seperti tongue tie.
Kalau bayi kerap terlepas daripada payudara, bunyi seperti ‘klik’ ketika menyusu, mengambil masa yang sangat lama untuk menyusu atau Mama tetap mengalami sakit walaupun sudah cuba membetulkan posisi dan lekapan, Mama boleh berbincang dengan doktor atau kaunselor laktasi.
Jangan terus membuat kesimpulan sendiri. Pemeriksaan oleh individu yang terlatih boleh membantu mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku.
4. Penggunaan Pam susu
Kalau Mama mengepam, sakit pada puting tidak semestinya berpunca daripada penyusuan secara terus sahaja.
Saiz flange yang tidak sesuai, tahap sedutan yang terlalu tinggi atau tempoh mengepam yang terlalu lama boleh menyebabkan puting menjadi sakit, bengkak atau melecet.
Mama mungkin fikir, “Lagi kuat pam, lagi banyak susu keluar.” Sebenarnya, lebih kuat tidak semestinya lebih baik.
Pam susu sepatutnya terasa selesa dan tidak menyebabkan kesakitan yang berlebihan. Kalau Mama sakit setiap kali mengepam, cuba semak semula saiz flange dan tetapan pam.
5. Puting Terasa Terbakar atau Berubah Warna Selepas Menyusu
Ada juga Mama yang mengalami sakit seperti terbakar, berdenyut atau mencucuk selepas bayi selesai menyusu. Dalam sesetengah keadaan, perubahan warna pada puting seperti menjadi pucat atau kebiruan juga boleh berlaku.
Salah satu kemungkinan ialah vasospasm, iaitu salur darah pada puting mengecut dan menyebabkan rasa sakit.
Keadaan seperti ini mempunyai punca dan pengurusan yang berbeza, jadi kalau simptom kerap berlaku, sebaiknya Mama dapatkan penilaian daripada doktor atau profesional laktasi.
6. Tanda Jangkitan atau Masalah pada Payudara
Kalau sakit pada puting datang bersama tanda lain seperti payudara menjadi merah, panas, bengkak, sangat sakit atau Mama mengalami demam dan rasa tidak sihat, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan pemeriksaan.
Ini mungkin menunjukkan masalah yang memerlukan penilaian dan rawatan perubatan. Menyusu sepatutnya tidak membuatkan Mama perlu menahan kesakitan yang semakin teruk seorang diri.
Jadi, Normal ke Puting Sakit ketika Menyusu?
Soalan ini memang selalu bermain di fikiran Mama.
Pada awal penyusuan, puting mungkin terasa lebih sensitif ketika tubuh sedang menyesuaikan diri. Tetapi kesakitan yang kuat, berterusan atau berlaku setiap kali bayi menyusu bukan sesuatu yang Mama perlu anggap sebagai “memang macam tu breastfeeding”.
Kalau sakit mengganggu penyusuan, puting luka atau berdarah atau Mama sudah cuba memperbaiki posisi dan lekapan tetapi masih sakit, dapatkan bantuan daripada doktor, jururawat atau kaunselor laktasi.
Kadang-kadang perubahan kecil pada posisi dan lekapan sahaja sudah boleh membuatkan pengalaman breastfeeding menjadi jauh lebih selesa.
Mama Tak Perlu Tahan Seorang Diri
Perjalanan penyususna setiap Mama berbeza. Ada Mama yang terus lancar sejak hari pertama. Ada pula yang mengambil masa untuk belajar tentang lekapan, posisi, rutin mengepam dan memahami keperluan si manja.
Jadi kalau Mama sedang mengalami puting sakit, jangan terus fikir Mama tak pandai menyusu atau badan Mama tak mampu menghasilkan susu.
Cari puncanya, dapatkan bantuan yang betul dan beri diri sendiri ruang untuk belajar.
Sebab penyusuan bukan pertandingan siapa paling lama boleh tahan sakit. Yang penting, Mama dan bayi sama-sama selesa, sihat dan mendapat sokongan yang diperlukan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Mama nak tahu lebih banyak lagi tentang ilmu penyususan? Klik di SINI.
