KelabMama

Preeklampsia VS Darah Tinggi Semasa Mengandung – Pakar Terangkan Perbezaan Kedua-duanya Dengan Lebih Lanjut

preeklampsia

Preeklampsia merupakan salah satu komplikasi yang sering ‘menyerang’ ibu-ibu semasa mengandung. Namun, adakah preeklampsia semasa mengandung adalah sama dengan darah tinggi yang dialami ibu hamil?

Ikuti temu bual eksklusif bersama Dr. Thinakaran Malapan, Consultant Obstetrician & Gynaecologist, Fertility Specialist di TMC Fertility Centre yang menjawab persoalan mengenai Preeklampsia Semasa Mengandung.

Dr. Thinakaran Malapan, Consultant Obstetrician & Gynaecologist, Fertility Specialist di TMC Fertility Centre

1. Boleh doktor terangkan dengan lebih mendalam mengenai penyakit preeklampsia semasa mengandung?

Preeklampsia menjejaskan 5% tahap kehamilan dan ditakrifkan secara klasik sebagai permulaan baharu tekanan darah tinggi dan kehadiran protein dalam air kencing atau proteinuria selepas minggu ke-20 kandungan.

2. Selain tekanan darah tinggi, apakah ada simptom yang lain?

Simptom lain mungkin termasuk sakit kepala, gangguan penglihatan, sakit epigastrik, berat badan bertambah, dan bengkak muka, kaki dan tangan.

3. Adakah preeklampsia dan darah tinggi semasa hamil merupakan penyakit yang sama? Boleh doktor terangkan?

Kedua-duanya adalah berbeza. Tekanan darah tinggi semasa mengandung juga dipanggil sebagai Gestational Hypertension.

Ia didiagnosis apabila bacaan tekanan darah lebih tinggi daripada 140/90 mm/hg pada wanita yang mempunyai tekanan darah normal sebelum 20 minggu dan tidak mempunyai proteinuria (lebihan protein dalam air kencing).

Preeklampsia didiagnosis apabila seorang wanita yang menghidap hipertensi semasa hamil, dan terdapat peningkatan protein dalam dalam air kencingnya.

4. Pada minggu ke berapakah preeklampsia boleh terjadi?

Ibu mengandung boleh mendapat preeklampsia selalunya selepas kandungan berusia 20 minggu.

Kredit Gambar: Semen Padang Hospital

5. Apakah faktor yang menyebabkan preeklampsia berlaku?

Punca sebenar masih tidak diketahui, tetapi besar kemungkinan, ia adalah disebabkan oleh perkembangan plasenta yang tidak normal, faktor genetik , pemakanan dan persekitaran.

Faktor risiko lain termasuk nulliparity, kehamilan berganda, obesiti (BMI lebih 30), hipertensi kronik, penyakit buah pinggang, diabetes mellitus (kencing manis), assisted reproductive technology, ibu hamil yang berusia 35 dan ke atas, dan sebagainya.

6. Preeklampsia mempunyai berapa jenis?

Ia boleh terdiri daripada dua jenis:

Preeklampsia ringan iaitu tekanan darah tinggi dengan lebihan protein dalam air kencing tetapi tanpa simptom dan sebarang bukti disfungsi/kerosakan organ.

Preeklampsia teruk pula adalah tekanan darah tinggi dengan simptom (sakit kepala, penglihatan kabur, sakit epigastrik, loya & muntah), dan juga terdapat organ yang rosak atau tidak dapat berfungsi dengan baik seperti buah pinggang yang tidak normal, fungsi hati, dan kiraan platelet rendah.

7. Adakah ibu-ibu berisiko untuk mendapat preeklampsia semasa mengandung bagi kehamilan seterusnya?

Secara amnya, risiko para ibu mendapat preeklampsia semasa mengandung semasa kehamilan seterusnya adalah lebih kurang 10% sahaja.

8. Apakah ada cara untuk mencegah preeklampsia bagi kehamilan seterusnya?

Kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan aspirin dos rendah (75mg) boleh memberi manfaat jika dimulakan selepas 12 minggu kehamilan bagi wanita yang mempunyai sejarah preeklampsia atau dengan faktor risiko untuk preeklampsia.

Strategi lain ialah memastikan indeks jisim badan (BMI) normal sebelum memulakan kehamilan.

9. Ibu mengandung yang ada preeklampsia boleh bersalin secara normal atau tidak?

Sudah tentu! Sekiranya ibu mengandung yang menghidap preeklampsia semasa hamil boleh bersalin secara normal, melainkan terdapat masalah pada ibu itu sendiri atau tanda-tanda masalah pada janin yang memerlukan bersalin secara pembedahan.

10. Adakah penyakit ini boleh memberi kesan kepada kandungan?

Ya, terutamanya dalam preeklampsia yang teruk, ia boleh menjejaskan kesihatan bayi semasa dalam perut ibu dan selepas kelahiran.

Masalah biasa yang boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan termasuk:

  1. Sekatan pertumbuhan dalam rahim – bayi tidak membesar dengan berat dan saiz normal.
  2. Placental abruption – pemisahan plasenta dari dinding rahim sebelum kelahiran.
  3. Bersalin pramatang – melahirkan bayi sebelum 37 minggu.
  4. Keadaan perkembangan – gangguan pembelajaran atau ketidakupayaan intelek yang lain.

11. Bagaimana dengan pemakanan? Apakah ada makanan yang tidak boleh dimakan oleh ibu?

Tiada makanan khusus yang perlu dielakkan tetapi secara amnya, penting untuk mengutamakan pemakanan yang sihat dan seimbang. Hadkan pengambilan makanan yang berproses tinggi natrium seperti sup dalam tin, makanan ringan yang dibungkus dan makanan segera.

Natrium yang berlebihan boleh menyumbang kepada pengekalan cecair dan tekanan darah tinggi. Hadkan makanan yang diproses dan bergula kerana ia boleh menyumbang kepada penambahan berat badan yang membawa kepada obesiti.

12. Sekiranya ibu didiagnosis preeklampsia, apakah komplikasi yang boleh dihadapinya?

Komplikasi kepada ibu sekiranya tidak dirawat termasuklah:

  1. Kerosakan organ – seperti buah pinggang, hati dan otak. Ia boleh menyebabkan masalah buah pinggang (termasuk kegagalan buah pinggang), disfungsi hati (sindrom HELLP) dan komplikasi saraf (seperti sawan atau eklampsia).
  2. Risiko kardiovaskular – wanita yang mempunyai sejarah preeklampsia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok.

Dapatkan info kesihatan tentang Mama Papa dan anak-anak di SINI.