KelabMama

Kebaikan Dan Keburukan Pil Perancang Dalam Mencegah Kehamilan

Sumber: istockphoto

Antara cara yang terbaik untuk mencegah kehamilan ialah dengan mengambil pil perancang. Kaedah ini telah terbukti berkesan pada ramai wanita dan ia sangat sinonim dengan mereka yang sudah berkahwin.

Apakah Itu Pil Perancang?

Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, pil perancang adalah pil yang mengandungi hormon-hormon sintetik khusus untuk mencegah kehamilan.

Kesesuaian jenis pil perancang dan cara pengambilannya adalah berbeza ya untuk setiap wanita. Pil perancang yag sesuai untuk wanita dalam keluarga anda belum tentu sesuai untuk anda.

Apakah Jenis Pil Perancang Yang Ada Dalam Pasaran?

Secara umumnya, terdapat dua jenis pil perancang di pasaran:

1. Pil progestin

Pil progestin adalah pil perancang yang mengandungi hormon progesteron sahaja. Menurut Sarawak General Hospital, antara contoh pil perancang jenis ini ialah Cerazette, Micronor dan Norethindrone.

Ia sesuai untuk ibu yang sedang menyusu bayi kerana formulasinya tidak akan mengurangkan susu badan ibu.

2. Pil kombinasi

Manakala pil perancang kombinasi pula adalah pil perancang yang mengandungi gabungan hormon progesteron dan estrogen. Contoh pil perancang kombinasi ialah Mercilon, Marvelon dan Yaz.

3. Pil perancang kecemasan

Selain pil perancang progestin dan kombinasi, terdapat sejenis lagi pil perancang iaitu pil perancang kecemasan.

Pil perancang kecemasan sebenarnya termasuk dalam pil perancang progestin juga tetapi ia secara amnya dikenali sebagai pil perancang kecemasan kerana fungsinya untuk mencegah kehamilan sejurus selepas berlakunya hubungan intim yang tidak dirancang.

Biasanya, pengambilannya adalah 72 jam selepas ia berlaku.

Apakah Faedah Pil Perancang?

Sumber: istockphoto

Sememangnya fungsi utama pil perancang adalah untuk mencegah dan menjarakkan kehamilan. Namun ia sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan ibu-ibu dan digunakan secara meluas untuk masalah kewanitaan yang lain. Antaranya adalah:

  1. Membetulkan kitaran haid wanita
  2. Mengurangkan sakit senggugut
  3. Mencegah masalah kurang darah
  4. Mencegah dari penyakit endometriosis
  5. Melindungi dari kanser rahim dan ovari
  6. Mencegah kehamilan ektopik (luar rahim)
  7. Mengelakkan jangkitan pelvik
  8. Merawat masalah jerawat
  9. Membantu wanita merancang bilangan anak
  10. Memelihara mutu kesihatan wanita
  11. Mengurangkan risiko masalah kesihatan ketika hamil
  12. Mengurangkan risiko kanser usus

Apakah Kesan Sampingan Pil Perancang?

Pil perancang telah diformulasikan khas untuk mencegah proses ovulasi iaitu pengeluaran telur dari ovari, merangsang penghasilan lendir yang pekat di pangkal rahim untuk menyukarkan pergerakan sperma memasuki rahim dan membuatkan rahim anda tidak sesuai untuk proses fertilization.

Tetapi apabila hormon-hormon di dalamnya bertindak pada badan anda, sesetengah wanita mungkin akan mengalami beberapa kesan sampingan. Berdasarkan perkongsian dari Sarawak General Hospital, kebanyakkannya adalah kesan yang kurang serius seperti:

  1. Kembung perut
  2. Loya / Rasa nak muntah
  3. Payudara terasa tegang / sakit
  4. Migrain
  5. Sakit kepala
  6. Perubahan pada kulit seperti jerawat
  7. Haid tidak teratur / haid keluar sedikit
  8. Tekanan darah meningkat
  9. Berat badan bertambah
  10. Timbul ketulan di payudara
  11. Gangguan emosi seperti ‘moody’
  12. Perubahan selera makan

Kesan sampingan pil perancang adalah berbeza tau untuk setiap wanita. Ada yang tidak mengalaminya, ada yang mengalaminya sekejap sahaja dan ada juga yang mengalami kesan sampingan yang lebih serius seperti:

  1. Betis terasa kebas atau sakit
  2. Sukar bernafas
  3. Darah beku

Tapi janganlah risau ya ibu-ibu. Kes kesan sampingan yang serius ini amat jarang berlaku pada kebanyakkan wanita.

Tapi disebabkan itu jugalah anda harus berjumpa dengan pakar kesihatan terlebih dahulu supaya keadaan dan tahap kesihatan anda dapat dianalisa dengan lebih terperinci. Berdasarkannya, mereka akan menyarankan jenis pil perancang yang sesuai dan selamat untuk anda.

Elakkan dari membeli pil perancang sendiri di farmasi tanpa panduan dan nasihat dari doktor ya. Terutamanya jika anda menyusu atau merokok, ini boleh mempengaruhi kesan sampingan pil perancang pada badan anda tau.

Cara Untuk Makan Pil Perancang

Sumber: istockphoto

Cara makan pil perancang adalah berbeza untuk pil kombinasi dan progestin. Tapi sebelum itu, anda haruslah pastikan keadaan anda sesuai untuk mengambilnya. Terdapat beberapa faktor yang anda mesti telitikan:

Ini penting dalam menentukan jenis dan cara pengambilan pil perancang yang sesuai untuk anda ya.

1. Waktu yang sama setiap hari

Menurut Nurul Nasrah Mohd Ariffin, pil perancang haruslah diambil pada waktu yang sama setiap hari. Pilihlah satu waktu yang anda tidak sibuk dan mudah untuk ingat. Untuk selamat, bawalah sekali setiap kali anda keluar rumah ya.

2. Pil perancang 21 biji

Untuk pil perancang yang mengandung 21 biji, 21 biji ini perlu diambil sebiji setiap hari sehingga 21 hari. Manakala tempoh 7 hari yang berlebihan dalam bulan itu adalah waktu rehat sebelum anda mulakan pek pil perancang yang baru.

3. Pil perancang 28 biji

Untuk pil perancang yang mengandungi 28 biji pula, cara pengambilannya adalah sebiji setiap hari selama 28 hari berterusan sama ada haid ataupun tidak. Pek seterusnya akan diteruskan sehabis sahaja pek sebelumnya.

Dengan cara pengambilan yang betul dan konsisten, keberkesanan pil perancang untuk mencegah kehamilan adalah 99% tau. Yang penting, anda berdisiplin ya.

Pilihlah yang terbaik untuk anda

Sumber: istockphoto

Dapatkanlah pandangan doktor tentang kesesuaian pil perancang untuk anda. Sebagai contoh, untuk mereka yang ada penyakit jantung, mungkin kaedah pencegahan yang lain adalah lebih baik. Apapun, bergantung kepada keadaan anda, para wanita haruslah utamakan kesihatan anda terlebih dahulu ya?