KelabMama

Perut Mengeras Ketika Hamil, Bahaya Ke?

Sumber: istockphoto

Kebanyakkan ibu mengandung akan mengalami rasa perut mengeras ketika hamil. Kadang-kadang ia terasa hanya pada kawasan abdomen dan ada juga sehingga ke pinggul dan ari-ari. Mesti Mama tertanya-tanya apabila ia terjadi, normal ke sakit macam ni?

Bila Perut Mama Akan Menjadi Keras Ketika Hamil?

Sebenarnya, situasi perut mengeras ketika hamil tidak boleh dikhususkan pada waktu tertentu. Menurut Debra Rose Wilson, perut Mama yang hamil boleh mengeras pada beberapa fasa ketika sepanjang tempoh kehamilan.

Ya, ia boleh terjadi pada ketiga-tiga trimester kehamilan tau. Untuk setiap trimester yang berbeza, ia boleh disebabkan oleh faktor-faktor yang berbeza juga.

Punca Perut Mengeras Ketika Hamil

Selalunya yang menjadi kerisauan mak-mak ialah, situasi perut mengeras ini menandakan bahawa anda bakal mengalami keguguran.

Walaupun itu boleh menjadi salah satu penyebabnya, tetapi sebenarnya terdapat banyak lagi punca lain yang boleh menyebabkan perut Mama mengeras ketika hamil. Jom kita tengok beberapa daripadanya:

1. Rahim yang sedang membesar

Ia sememangnya normal untuk merasakan perubahan pada badan ketika rahim anda sedang membesar. Maklumlah, janin di dalam kandungan sedang terbentuk dan membesar kan. Jadi rahim anda akan berkembang dan membesar untuk menampung tumbesarannya.

Ini boleh menimbulkan rasa kurang selesa di kawasan perut seperti rasa ia mengeras kerana otot-otot di kawasan itu sedang meregang ya. Selain itu, anda juga mungkin mengalami sakit perut yang lain ketika hamil.

2. Keguguran

Jika kandungan anda telah mencecah beberapa minggu dan anda tiba-tiba terasa perut anda mengeras, itu boleh menandakan bahawa kandungan anda sedang mengalami keguguran.

Situasi ini berbeza untuk setiap wanita ya. Ada yang mengalami simptom lain juga seperti pendarahan dan ada juga yang tidak.

Jika situasi ini tidak reda dan anda mengalami simptom-simptom yang lain juga terutamanya, wajib untuk anda segera berjumpa dengan doktor ya?

3.  Round ligament tegang

Sumber: myhealthalberta

Berdasarkan perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad di blognya, terdapat round ligament di sisi kiri dan kanan rahim wanita di kawasan perut bahagian bawah. Ligamen ini berfungsi untuk memastikan rahim anda kekal pada kedudukannya.

Selain itu, round ligament ini akan menyerap sebarang tekanan yang dialami oleh rahim wanita dengan menegang dan mengendur.

Ketika hamil, perubahan yang dialami pada rahim akan menyebabkan round ligament ini berkerja keras dan boleh menyebabkan perut anda rasa mengeras ya. Oleh itu, elakkanlah dari melakukan pergerakan dan perubahan posisi yang tiba-tiba.

Tetapi janganlah risau. Ia tidak berbahaya dan akan reda jika anda berehat secukupnya.

4. Kontraksi Braxton-Hicks

Selain dari itu, perut ada juga mungkin mengeras kerana disebabkan kontraksi Braxton-Hicks. Ini boleh terjadi pada kandungan anda seawal bulan ke-4 kehamilan tau.

Ia bukanlah sakit contraction yang betul tetapi lebih dikenali sebagai ‘false contraction’ atau ‘practice contraction’. Rasanya membuatkan anda terfikir ini mungkin petanda anda hendak bersalin tetapi sebenarnya tidak. Kerana itulah ia dipanggil false labor.

Perut anda akan rasa tidak selesa dan mengeras, terutamanya jika anda lakukan aktiviti seperti bersukan. Kebiasaannya, jika anda berehat dan minum air secukupnya, rasa kontraksi ini akan menghilang.

5. Irritable uterus

Irritable uterus adalah kontraksi yang hampir sama dengan Braxton-Hicks tetapi ia lebih kuat dan kerap. Berbeza dengan kontraksi Braxton-Hicks, ia tidak boleh dilegakan dengan rehat dan pengambilan air yang secukupnya.

Otot rahim anda menegang pada ketika ini dan perut anda terasa mengeras. Ia boleh menjadi bahaya dan juga tidak. Ini kerana berdasarkan kajian ini, irritable uterus boleh menyebabkan kelahiran pramatang.

Jika anda sedang mengalaminya, cubalah atasi dengan pengambilan air yang mencukupi dan ubah kedudukan dan posisi anda ya. Ia boleh mengurangkan sakit kontraksi dan perut anda yang mengeras itu.

Namun perhatikanlah pattern kontraksi itu ya. Jika ia semakin kerap dan semakin lama dan kuat, segeralah rujuk ke hospital supaya doktor anda boleh menangani situasi itu sewajarnya.

6. Tanda hendak bersalin

Sumber: istockphoto

Jika perut anda terasa mengeras di hujung-hujung kehamilan, ini mungkin menunjukkan tanda hendak bersalin. Ini terutamanya apabila ia berlaku dalam selang waktu yang sama dan semakin bertambah waktu, semakin lama tempoh setiap kontraksi dan rasa perut yang menegang itu.

Namun Braxton-Hicks contraction boleh juga terjadi sekitar waktu ini ya. Untuk menilai sama ada anda perlu ke hospital terus ataupun tidak, jika kontraksi berlaku selama 4 hingga 6 kali sejam, dapatkanlah rawatan secepatnya ya.

Tambah-tambah jika air ketuban telah pun pecah, sama ada anda terasa sakit kontraksi dan perut mengeras ataupun tidak, segeralah ke hospital.

Perlukah Mama Risau Sekiranya Perut Anda Mengeras?

Perut ibu hamil yang mengeras boleh disebabkan oleh pelbagai punca. Secara umum, ia adalah normal dan berlaku hanya untuk beberapa ketika.

Kebiasaannya, ia boleh diredakan dengan rehat yang mencukupi, perubahan kedudukan dan posisi dan pengambilan air yang secukupnya.

Ada juga yang cuba mandi air suam dan berurut ringan untuk melegakan otot-otot rahim dan di sekitarnya. Kaedah ini juga membantu untuk melegakan rasa perut anda yang mengeras itu.

Namun dalam sesetengah situasi, ia boleh menjadi warning kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Jadi apabila ia terjadi, perhatikanlah tempoh dan kekerapannya. Jika keadaan semakin teruk, dapatkanlah rawatan secepatnya ya.

Peka Dengan Keadaan Anda Dan Jangan Teragak-Agak Untuk Meminta Bantuan

Sumber: istockphoto

Tindakan yang pantas boleh memudahkan urusan doktor untuk merawat anda sebaiknya. Janganlah teragak-agak untuk ke hospital jika anda terasa ada sesuatu yang tidak kena ya. Tidak kiralah pada awal ataupun akhir kehamilan, kesihatan anda dan bayi mestilah diutamakan sentiasa.