KelabMama

Penjagaan Mata Orang Dewasa: Mata Kering & Rabun Dari Muda Boleh Membawa Kepada Masalah Mata Kronik!

Dr Shobana Nadarajah tentang penjagaan mata orang dewasa

Mata merupakan salah satu organ yang paling berharga sekali. Sebab itu, kesihatan mata ni pun kita perlu jaga. Penjagaan mata ni penting supaya kita dapat menikmati penglihatan yang baik.

Kalau sebelum ni Dr. Shobana Nadarajah, Pakar Oftalmologi dari KPJ Damansara Specialist Hospital ada kongsikan mengenai penjagaan mata untuk kanak-kanak; dalam entri kali ini, beliau menjawab pula persoalan tentang penjagaan mata kita yang lebih dewasa.

Jadi, mari kita baca perkongsian eksklusif daripada Dr. Shobana Nadarajah tentang penjagaan mata orang dewasa ini.

1. Adakah perlu untuk orang dewasa memakai kaca mata anti UV?

Adalah disarankan untuk memakai kaca mata UV ini apabila seseorang itu keluar waktu siang hari. Walaupun hari mendung, cahaya UV masih lagi ada dan anda disyorkan untuk menggunakan kaca mata UV.

2. Adakah perokok tegar berkemungkinan untuk mengalami masalah mata?

Ya. Nikotin yang terdapat di dalam rokok boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit. Ini akan mengakibatkan perjalanan darah dan oksigen ke sel-sel saraf mata atau retina akan terjejas.

Jika sel-sel tersebut telah rosak, ia boleh mengakibatkan buta (bergantung kepada sel-sel yang telah rosak).

3. Bagi orang dewasa, berapa kali dalam setahun mereka perlu melakukan pemeriksaan mata?

Secara umumnya, seseorang individu dewasa yang tidak mempunyai masalah penglihatan perlu berjumpa dengan pakar sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua atau tiga tahun.

4. Pada pandangan doktor perlu atau tidak sebenarnya untuk mengambil suplemen tambahan untuk mata?

Pada pandangan saya, jika seseorang itu mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang tidak perlu untuk mengambil sebarang suplemen mata.

5. Apakah nasihat doktor buat individu yang memakai kanta lekap atau contact lens? Apakah pemeriksaan mata bagi pengguna kanta lekap di kedai optik (seperti penambahan masalah rabun mata) sudah cukup?

Pemeriksaan mata oleh Optometrist di kedai cermin mata sudah mencukupi. Kepada pemakai kanta lekap atau contact lens, anda dinasihatkan untuk mengikuti arahan semasa memakai kanta lekap dan kebersihan kanta lekap amatlah mustahak.

6. Apakah nasihat doktor kepada individu yang memakai kata lekap yang bukan dari kedai optik?

Jangan berbuat sedemikian! Pengguna kanta lekap haruslah menggunakan dan mendapatkan kanta lekap yang dijual di kedai optik sahaja.

7. Apakah teknik senaman mata yang sering disyorkan?

Senaman badan secara keseluruhan adalah mencukupi untuk mata kerana senaman secara keseluruhan dapat membantu pengaliran darah dan oksigen ke mata. Senaman seperi yoga mata juga boleh dilakukan.

8. Adakah mata kering juga boleh menyebabkan seseorang mempunyai masalah penglihatan mata dalam jangka masa panjang?

Ya. Mata kering akan menyebabkan padangan menjadi kabur, jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kekaburan mata kekal.

9. Selain menggunakan ubat titis mata untuk mengekalkan keselesaan mata, apakah terdapat cara lain yang lebih sesuai?

Mendapatkan vitamin C dalam bentuk tablet atau minum air lemon atau makan buah-buahan yang mengandungi vitamin C yang tinggi.

10. Sekiranya individu tersebut menghadap laptop terlalu lama, adakah ia juga boleh menyebabkan berlakunya masalah mata?

Menghadap skrin terlalu lama juga boleh menyebabkan ketegangan mata dan tekanan kepada otot mata dan penglihatan. Ia boleh menyebabkan sindrom penglihatan komputer atau computer vision syndrome.

11. Bagi orang dewasa, tahap kehilangan penglihatan mata kebiasaannya dipengaruhi oleh penyakit mata yang bagaimana?

Penyakit mata yang biasanya boleh mempengaruhi penglihatan mata ialah penyakit kencing manis. Penyakit ini berpotensi untuk merosakkan mata sehingga menyebabkan buta.

Sangat penting bagi sesorang itu untuk mengawal kencing manis sebelum ia merosakkan saraf mata atau retina. Selain itu, metabolic syndrome juga boleh menjejaskan penglihatan seperti darah tinggi dan kolestrol.

12. Apakah individu yang mempunyai masalah rabun dari usia muda boleh membawa kepada masalah katarak?

Kredit Gambar: Hermina Hospitals

Individu yang mempunyai masalah rabun yang sangat tinggi, biasanya 600 ke atas mempunyai risiko untuk mendapat katarak mata lebih awal.

Bagi Mama Papa yang mempunyai masalah rabun atau masalah mata kering, sering tak selesa dan sebagainya, jangan lupa untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pakar.

Jangan main gosok je mata tu tau! Kalau boleh, dapatkan pemeriksaan secara berkala supaya dapat detect lebih awal apa sahaja simptom dan penyakit mata yang sedang dialami.

Amalkan pemakanan sihat dan jagalah mata anda.


Jom baca perkongsian pakar mengenai pelbagai topik kesihatan lain di SINI.