KelabMama

Pakar Nutrisi Terangkan Kekeliruan Pemberian Susu VS Suplemen Tambahan Pada Anak-anak

nutritionist zhi ling menjawab persoalan susu dan suplemen

Adakah Mama dan Papa masih tertanya-tanya mengenai kebaikan minum susu kepada anak-anak atau kepentingan mengambil suplemen tambahan seperti vitamin bagi mengekalkan gaya hidup sihat mereka?

Atau mungkin ada kalangan Mama dan Papa berpendapat bagaimana jika ia diambil kedua-duanya sekali? Mungkin ia memberi fungsi yang lebih cepat, ataupun kaedah ini memberi kesan buruk untuk tumbesaran si anak?

Pakar Nutrisi, Zhi Ling Lee

Bagaimana pula dengan anak yang sukar minum susu akibat faktor tidak gemar atau allergy, pasti Mama tertanya bolehkah digantikan dengan suplemen sahaja?

Untuk mengurangkan kekeliruan para ibu bapa sekalian, Mama Siti berasa terpanggil untuk berkongsi ilmu mengenai topik nutrisi anak kita melalui tabiat minum susu dan pengambilan vitamin C.

Jom kita lihat pandangan seorang Pakar Nutrisi bertauliah, Ms Zhi Ling Lee yang juga merupakan pempengaruh di media sosial. Selain bergelar Nutritionist, beliau juga sering berkongsi resepi masakan yang simple dan sihat di Instagram @zhiling_nutrition.

Jom dengar perkongsian beliau.

1. Apakah kebaikan minum susu untuk anak-anak yang sedang membesar?

Susu adalah sumber kaya dengan kalsium dan vitamin D, dimana kedua-dua nutrisi ini penting dalam pertumbuhan tulang dan gigi yang sihat. Fungsi kalsium juga penting untuk perkembangan otak dan sistem saraf.

Selain itu, protein yang terkandung dalam susu turut menguatkan pertumbuhan otot kanak-kanak serta memperbaikinya.

2. Apakah terdapat perbezaan dari segi nutrisi dalam jenis susu yang berbeza (susu lembu, susu soya, susu kacang badam dan susu kambing)?

Jika ya, apakah jenis susu yang paling disyorkan untuk kanak-kanak?

Susu lembu mempunyi kunci yang sangat penting dalam keperluan kanak-kanak seperti kualiti protein yang tinggi, lemak, kalsium, fosforus dan vitamin D.

Kanak-kanak berusia setahun dan ke atas boleh memperoleh manfaat tersebut dengan mengamalkan minum susu dua hingga tiga gelas sehari.

Susu kambing yang telah dipasteur diperoleh daripada sumber selamat, boleh dijadikan alternatif kepada kanak-kanak yang tidak boleh minum laktosa. Bagaimanapun, pakar tidak mengesyorkan susu kambing sebagai pengganti.

Bagi mereka yang tidak boleh minum susu laktosa kerana masalah kesihatan, alahan sama ada daripada diri sendiri atau salah silah keluarga, ataupun pantang larang dalam agama; boleh menggantikan susu soya sebagai minuman kesihatan harian dimana ianya lebih kaya dengan kalsium dan vitamin D.

Namun harus ingat, pilih susu soya yang tidak berperisa atau tida mempunyai rasa manis.

Dapatkan pandangan doktor kanak-kanak mengenai alternatif lain sekiranya anda mahu menggantikan susu lembu kepada susu badam, susu oat, dan sebagainya.

Bagaimanapun, kaedah ini tidak membekalkan nutrisi yang cukup kepada seorang kanak-kanak berbanding tabiat minum susu lembu itu sendiri.

3. Sampai usia berapakah kanak-kanak harus minum susu?

Susu boleh diamalkan sepanjang hayat dan mengamalkan susu itu adalah bagus kerana kandungan kalsium dan vitamin D yang terdapat di dalam susu adalah baik bagi semua peringkat umur.

4. Apakah kebaikan suplemen seperti vitamin untuk kanak-kanak?

Sekiranya anak-anak anda mempunyai masalah dengan penyerapan nutrisi kerana masalah kesihatan seperti alahan, kurang berat badan atau terikat dengan diet sayuran, pengambilan suplemen tambahan mungkin membantu memberikan nutrisi yang seimbang dalam tubuh mereka.

Bagi kanak-kanak yang sentiasa mengambil pemakanan seimbang yang kaya dengan pelbagai nutrisi penting, pengambilan suplemen tambahan bukanlah faktor utama yang menjadikan kanak-kanak itu sihat.

5. Manakah yang lebih baik untuk perkembangan kanak-kanak—minum susu atau mengambil suplemen tambahan seperti vitamin?

Kanak-kanak yang mendapat nutrisi cukup melalui sumber makanan harian mereka tidak perlu lagi mengamalkan pengambilan vitamin atau mineral tambahan.

Kaedah terbaik adalah dengan memastikan juadah makanan mereka mengandungi nutrisi seperti protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan mineral yang mana semua ini juga terkandung dalam susu.

Bagaimanapun, kanak-kanak yang terikat dengan diet sayuran, mempunyai masalah kesihatan atau kurang selera makan mungkin memerlukan bantuan suplemen.

Tetapi, sila dapatkan nasihat dan pandangan doktor terlebih dahulu sebelum berikan sesuatu suplemen tambahan kepada anak anda.

6. Di usia berapakah kanak-kanak sesuai untuk diperkenalkan dengan vitamin?

Tiada usia yang khusus dalam memperkenalkan vitamin tambahan kepada kanak-kanak. Perkembangan anak anda perlulah diawasi oleh doktor terlebih dahulu sebelum anda memperkenalkan vitamin dan menjadikan ia makanan tambahan mereka.

7. Adakah vitamin ini boleh menjadi pengganti susu kepada kanak-kanak (bagi mereka yang tak gemar minum susu)?

Bagi kanak-kanak yang tidak gemarkan minuman susu, terdapat banyak cara untuk memperoleh nutrisi sama iaitu kalsium, vitamin D dan protein.

Antaranya bijirin yang diperkaya dengan kalsium, susu soya ataupun sayuran hijau yang mana ia mengandungi sumber kalsium yang baik!

Perlu diingatkan bahawa suplemen bukanlah pilihan pertama yang boleh anda amalkan kepada anak anda bagi menggantikannya dengan susu atau apa jua makanan yang berkhasiat.

8. Adakah mereka boleh dapat hasil berganda jika mengambil kedua-duanya sekali (susu & vitamin)?

Nutrition bukan macam tu Mama. Berlebihan bukan bermakna bagus.

Mengambil pemakanan seimbang yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan—bukan sahaja susu—adalah lebih dalam membantu anak Mama mencapai potensi pertumbuhan penuh mereka dan mengekalkan tahap tenaga mereka setiap hari.

#Kesimpulan

Semoga entri kali memberikan manfaat serta jawapan buat Mama dan Papa yang tertanya-tanya tentang kepentingan susu serta suplemen tambahan kepada kanak-kanak.

Bagi mereka yang jarang membeli susu di rumah, mungkin sebaiknya Mama dan Papa jadikan ia stok bagi menggalakkan minuman berkhasiat ini untuk anak-anak anda.

Ingat ya, dua hingga tiga gelas sehari untuk anak kita amalkan minum susu. Semoga anak-anak kita membesar sihat dan sempurna!


Ikuti pelbagai tips dan nasihat Pakar di SINI.