KelabMama

Payudara Sakit Semasa Hamil: Ini 10 Cara Paling Mudah Untuk Mengatasinya

sakit payudara

Kredit gambar: www.sitarambhartia.org

Semasa hamil, tubuh wanita akan mengalami pelbagai perubahan dan juga akan merasai pelbagai kesakitan yang tidak dirasakan sebelum disahkan hamil. Salah satu sakit yang sering berlaku kepada ibu hamil adalah rasa sakit payudara. Sakit payudara ini terjadi apabila payudara menjadi lebih sensitif semasa hamil kerana perubahan hormon yang berlaku di dalam badan.

Oleh sebab ramai Mama yang mengadu dan ingin tahu bagaimana cara terbaik kurangkan sakit payudara semasa hamil ini, dalam perkongsian di bawah, Mama Siti kongsikan beberapa cara untuk hilangkan sakit payudara yang Mama semua boleh cuba. Jom lihat!

Cara Mudah Kurangkan Sakit Payudara Semasa Hamil

Kredit gambar: www.pregnancymagazine.com

Berikut adalah 10 cara untuk membantu mengurangkan rasa payudara sakit semasa hamil.

#1. Gunakan Pakaian Dalam atau Bra yang Sesuai untuk Kurangkan Sakit Payudara

Cara yang pertama untuk mengurangkan rasa sakit payudara semasa hamil ialah penggunan bra atau pakaian dalam yang sesuai. Semasa hamil, payudara akan mengalami sedikit perubahan dari segi saiz. Payudara akan membesar dari saiz sebelum mengandung.

Oleh itu, pemilihan pakaian dalam yang sesuai amatlah penting. Pastikan saiz pakaian dalam Mama sesuai dengan ukuran payudara Mama.

Material pakaian dalam juga memainkan peranan penting dalam memberikan keselesaan kepada ibu mengandung.

#2. Elakkan Penggunaan Baju Dalam atau Bra yang Mempunyai Dawai

Kredit gambar: www.thirdlove.com

Bra yang mempunyai dawai boleh menyebabkan tekanan berlebihan pada payudara Mama dan ini akan menyebabkan rasa sakit pada payudara Mama semakin memburuk.

Gunakan bra tanpa dawai atau sports bra yang dapat memberikan sokongan tambahan kepada payudara Mama.

#3. Elakkan Pakai Pakaian yang Terlalu Ketat

Tahukah Mama, pakaian yang ketat juga boleh menyebabkan rasa sakit pada bahagian buah dada semakin memburuk?

Pakaian yang terlalu ketat boleh menyebabkan ketidakselesaan dan rasa sakit menjadi lebih buruk. Oleh itu, elakkan pakai pakaian dan bra yang terlalu ketat.

#4. Tidur dengan Bra

Kredit gambar: mom.com

Jika sebelum ini, ramai yang berpesan untuk tidur tanpa bra, tetapi bagi mengurangkan rasa sakit payudara semasa hamil Mama boleh cuba untuk tidur dengan mamakai bra. Ini akan membantu mengurangkan rasa sakit yang dihadapi.

Tetapi Mama perlu pastikan bahawa bra yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh mengganggu peredaran darah.

#5. Gunakan Breast Pad Mampu Kurangkan Sakit Payudara

Breast pad sering digunakan oleh wanita selepas bersalin untuk mengurangkan rasa sakit pada bahagian puting buah dada.

Kesakitan payudara semasa hamil menjadikan puting sangat sensitif. Bukan sahaja sensitif pada sentuhan malah juga sensitif apabila terkena fabrik pakaian dalam.

Lebih-lebih lagi jika material yang digunakan adalah dari lace. Letakkan breast pad pada bahagian puting untuk melindunginya dari tergesel dengan bra.

#6. Terapi Air Panas antara Cara Kurangkan Kesakitan Buah Dada

Kredit gambar: www.verywellfamily.com

Selain itu, Mama juga boleh kurangkan kesakitan yang dirasai dengan air panas. Tetapi pastikan air tersebut tidak terlalu panas. Air suam adalah amat sesuai untuk mengurangkan rasa sakit.

Mama boleh berendam dalam air bersuhu sederhana atau menggunakan tuaman panas pada bahagian yang sakit.

#7. Gunakan Tuaman yang Sejuk Untuk Hilangkan Sakit Payudara

Di samping tuaman panas, tuaman sejuk juga boleh membantu mengurangkan rasa sakit yang dihadapi. Semasa mengandung, aliran darah akan meningkat dan ini akan meningkatkan suhu di bahagaian payudara meningkat.

Oleh itu, tuaman sejuk sangat sesuai untuk membantu Mama kurangkan rasa sakit yang dialami.

#8. Elakkan Penggunaan Bahan yang Menyebabkan Iritasi

Kredit gambar: www.thebump.com

Penggunaan sabun mandi dan sabun basuh baju boleh menyebabkan iritasi kulit di bahagian payudara berlaku.

Oleh itu, elakkan penggunaan sabun di bahagian tersebut sebaliknya pilih krim yang mempunyai calendula dan chamomile untuk melegakan ketidakselesaan tersebut.

Malah minyak kelapa dara juga boleh membantu untuk kurangkan rasa sakit tersebut.

#9. Jangan Kerap Menyentuh Payudara

Sebolehnya elakkan dari menyentuh buah dada Mama sekiranya ia terasa sakit. Ini termasuklah dalam aktiviti seks bersama pasangan. Pastikan Papa tahu cara yang betul untuk menyentuh payudara.

#10. Minum Air dengan Secukupnya Mampu Kurangkan Payudara Sakit

Kredit gambar: parenting.firstcry.com

Pastikan Mama minum air secukupnya. Ianya bukan sahaja baik untuk bayi Mama tetapi baik untuk bantu kurangkan rasa buah dada sakit yang dialami.

Payudara sakit semasa hamil adalah perkara normal yang berpunca daripada perubahan hormon semasa kehamilan.

Sebahagian besar wanita akan merasakan perubahan ini akan mula berkurangan selepas trimester pertama, tetapi beberapa wanita mungkin mengalami akan berterusan mengalami buah dada sakit atau bahasa pasarnya “tetek sakit” sehingga ke trimester ketiga.

Namun, jika Mama ada kebimbangan atau ketidakselesaan yang berlebihan, Mama Siti syorkan Mama semua untuk berbincang dengan pakar kesihatan untuk mendapatkan nasihat dan penjagaan yang sewajarnya.


Dapatkan pelbagai lagi info dan panduan kehamilan serta kesihatan menarik yang lain di SINI!