Perancangan keluarga tidak lagi dianggap sebagai isu sensitif atau tabu. Dengan mengambil kira kos sara hidup yang kian mencabar serta tuntutan gaya hidup moden, semakin ramai pasangan memilih untuk merancang jarak kehamilan demi menjaga kesihatan Mama dan menjamin kestabilan institusi keluarga.
Tahukah Mama (atau bakal Mama), selain pil dan implan, terdapat juga satu lagi kaedah perancangan keluarga iaitu tampalan kontraseptif (contraceptive patch). Seperti kaedah lain, kesesuaiannya bergantung kepada keperluan individu dan nasihat profesional kesihatan.
Namun, tahap pemahaman terhadap perancangan keluarga dalam kalangan masyarakat masih berbeza-beza, dan sebahagiannya masih ragu-ragu terhadap penggunaannya, termasuk dari sudut pandangan dan kefahaman agama dalam kalangan umat Islam.
Jangan risau, Dr. Nora Asyikin yang merupakan Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Pantai Hospital Manjung akan menjawab pelbagai persoalan yang sering bermain di fikiran orang ramai mengenai isu perancang keluarga ini.
1. Mengapa perancang keluarga penting dari sudut kesihatan Mama?
Perancang keluarga adalah suatu kaedah untuk mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang. Ia adalah satu langkah yang penting untuk memastikan kesejahteraan keluarga dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan mental selain meningkatkan kualiti hidup wanita, anak dan keluarga.
Kepentingan utama perancang keluarga dari sudut kesihatan Mama meliputi:
i. Pemulihan Fizikal dan Nutrisi
Sewaktu dalam tempoh mengandung, bersalin dan menyusu, Mama terdedah kepada kekurangan nutrien yang penting di dalam badan, terutamanya kalsium, zat besi dan vitamin.
Justeru, Mama disarankan mengekalkan diet yang seimbang, mengambil makanan bernutrisi, dan mendapatkan suplemen yang sesuai untuk memberi ruang untuk tubuh Mama pulih sepenuhnya selepas kelahiran, sebelum mengambil keputusan untuk mengandung semula.
Secara purata, ibu akan mengalami pertambahan berat badan antara 11.5 hingga 16 kg semasa hamil. Justeru, adalah penting untuk memberi masa yang secukupnya kepada tubuh bagi kembali mencapai berat badan asal atau ideal sebelum hamil semula.
ii. Mengurangkan Risiko Kematian dan Komplikasi
Penggunaan kaedah perancang keluarga yang berkesan dapat membantu golongan wanita berisiko termasuk wanita berusia, wanita yang telah mempunyai bilangan anak yang ramai, serta wanita dengan masalah kesihatan kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang kronik, untuk mengelakkan kehamilan yang berpotensi mengancam nyawa.
Tempoh perancangan keluarga juga boleh dimanfaatkan lagi mengoptimumkan kawalan penyakit yang sedia ada serta mempersiapkan keadaan fizikal Mama dengan lebih baik sebelum mempertimbangkan kehamilan seterusnya.
Selain itu, kehamilan yang tidak dirancang boleh mendorong kepada pilihan pengguguran yang tidak selamat, yang dikenal pasti sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kematian ibu.
Menurut kajian, penggunaan kaedah perancangan keluarga yang efektif berpotensi mengurangkan sehingga hampir 75% kadar kematian ibu yang berkaitan dengan komplikasi semasa kehamilan dan proses kelahiran.
iii. Kesihatan Mental dan Emosi
Acap kali Mama mengeluh rasa kepenatan selepas melalui proses melahirkan anak serta cabaran membesarkan bayi kecil yang memerlukan perhatian berterusan.
Penjarakan kehamilan memainkan peranan penting dalam membantu menstabilkan emosi si ibu dengan menyediakan ruang untuk pemulihan fizikal dan mental di samping mengurangkan risiko keletihan melampau, serta kemurungan selepas bersalin.
Selain itu, jarak kehamilan yang sesuai membolehkan Mama memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan diri dan bayi yang sedia ada, seterusnya menyokong kesejahteraan dan kesihatan mental secara keseluruhan.
iv. Penjarakan Kelahiran yang Ideal
Apakah yang dimaksudkan dengan penjarakkan kelahiran yang ideal? Tempoh yang disarankan oleh pakar adalah di antara 2 hingga 3 tahun.
Tempoh tersebut sekaligus dapat memberi ruang untuk Mama melengkapkan proses penyusuan susu Mama yang disyorkan selama 2 tahun dan mengeratkan hubungan Mama dengan bayi yang sedia ada.
Mama juga boleh mengamalkan kaedah perancang keluarga untuk tempoh yang lebih lama sekiranya masih tidak lagi bersedia untuk hamil semula.
v. Kesihatan Jangka Panjang
Kaedah perancang keluarga yang efektif membolehkan Mama menumpukan perhatian kepada penjagaan diri, anak dan keluarga, sekaligus meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan untuk membina hubungan kekeluargaan yang harmoni.
2. Apakah pilihan kaedah kontraseptif yang sedia ada dan kelebihannya?
Pada masa kini, terdapat pelbagai kaedah kontraseptif yang boleh dipertimbangkan, sama ada kaedah jangka pendek, jangka panjang atau kaedah yang bersifat kekal.
Bagi Mama moden yang sibuk dan aktif, pemilihan kaedah biasanya bergantung kepada keselesaan, tempoh penggunaan, serta keberkesanan kaedah tersebut.
i. Pil Perancang
Kaedah ini sesuai untuk Mama-mama yang berdisiplin diri tinggi kerana pil perlu diambil setiap hari pada waktu yang sama. Mama akan terus kembali subur setelah memberhentikan pengambilan pil perancang.
Selain dari itu, pil perancang juga berupaya untuk melancarkan kitaran haid dan ia adalah satu kelebihan kepada wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak teratur sebelum ini.
ii. Tampalan Hormon
Ditampal pada kulit dan diganti setiap minggu, tidak memerlukan rutin pengambilan pil setiap hari.
Ia juga menawarkan faedah selain kontraseptif iaitu mengurangkan jerawat dan mengurangkan gejala pra haid (PMS).
iii. Suntikan Depo
Kaedah ini melibatkan suntikan yang diberikan setiap tiga bulan dan menyediakan perlindungan kontraseptif untuk tempoh jangka sederhana.
Penggunaannya dalam jangka masa panjang lazimnya tidak digalakkan kerana ia boleh dikaitkan dengan penurunan kepadatan tulang, yang meningkatkan risiko osteoporosis.
Selepas pemberhentian suntikan, masa yang diperlukan untuk kesuburan pulih sepenuhnya adalah di antara 4-12 bulan.
vi. Alat dalam rahim (IUCD)
Alat yang diletakkan dalam rahim, berkesan di antara 3-5 tahun (bergantung kepada jenis) dan tidak mengganggu penyusuan susu Mama.
v. Implan
Ia merupakan peranti kecil yang dimasukkan di bawah kulit lengan dan mengandungi hormon progestin. Kaedah ini berkesan untuk tempoh sehingga tiga tahun.
Ia sering dipertimbangkan oleh individu yang mungkin menghadapi kesukaran untuk mengambil pil perancang secara konsisten.
3. Apakah hukum merancang keluarga dalam Islam?
Hukum merancang keluarga (tanzim al-nasal) dalam Islam adalah harus jika bertujuan menjarakkan kehamilan atas faktor kesihatan, pendidikan anak, atau alasan munasabah lain, dengan persetujuan bersama pasangan, serta menggunakan kaedah sementara.
Ia menjadi haram jika bertujuan menolak zuriat secara mutlak, memandulkan diri, atau takut miskin. Kaedah ini diharuskan denga syarat-syarat:
- Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
- Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
- Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.
Kesimpulannya, setiap kehamilan perlulah dirancang dengan sebaiknya. Pilihan yang terbaik bergantung pada kesihatan dan kecenderungan individu.
Bagi yang ingin merancang kehamilan dan buntu untuk menggunakan perancang keluarga yang sesuai, anda disarankan untuk mendapat nasihat pakar di klinik berdekatan atau lebih mudah, hanya melalui platform Alpro e-consultation hari ini.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!
