KelabMama

10 Minuman dan Makanan Yang Dilarang Ketika Hamil

Sumber: istockphoto

Bila disahkan hamil je, mesti banyak persoalan yang bermain di fikiran para ibu kan? Selain dari tertanya-tanya tentang aktiviti dan gaya hidup yang sesuai, tentu anda terfikir tentang makanan apa yang boleh dimakan dan makanan apa yang harus dielak atau dikurangkan. Yelah, risau juga kalau tersalah makan dan minum apa-apa yang boleh membahayakan si comel dalam kandungan.

Jom, kita senaraikan minuman dan makanan yang dilarang ketika hamil atau dengan erti kata lain, lebih baik untuk dielakkan semasa mengandung:

10 Makanan Dan Minuman Yang Perlu Dielakkan Ketika Hamil

Dalam membekalkan nutrisi yang cukup kepada bayi melalui pemakanan, ada beberapa yang anda harus elakkan tau. Antaranya adalah:

1. Minuman berkarbonat

Sumber: istockphoto

Selalu je, terutamanya ketika cuaca panas, terasa nak minum air sejuk yang menyegarkan. Ibu hamil mesti faham rasanya macam mana kan? Maklumlah, suhu badan kan lebih tinggi apabila mengandung.

Antara yang kebiasaannya menjadi pilihan ramai adalah air berkarbonat. Ini kerana gas di dalam air berkarbonat dapat memberi rasa yang menyegarkan, lebih-lebih lagi jika diminum ketika ia masih sejuk.

Tapi air berkarbonat sebenarnya tak sesuai ya untuk ibu hamil. Rata-rata, air berkarbonat mempunyai kandungan gula yang tinggi. Ini boleh membahayakan kesihatan ibu dan bayi.

Oleh itu, cari alternatif lain ya. Banyak lagi tau minuman yang menyegarkan yang sihat dan sesuai untuk ibu hamil seperti jus buah. Masam, manis atau berlemak; pilihlah sendiri buah-buahan yang dapat memberi rasa yang anda inginkan!

2. Telur mentah

Sumber: istockphoto

Masyarakat kita gemar bersarapan dengan telur separuh masak kan? Ditambah pula dengan serbuk lada sulah dan titisan kicap, sememangnya ia sarapan yang enak yang dapat membekalkan tenaga untuk memulakan hari. Tapi tahukah anda, telur mentah mengandungi bakteria Salmonella?

Bakteria ini boleh menyebabkan anda demam, cirit-birit dan banyak lagi. Tetapi jika anda hamil, kesannya mungkin lebih teruk kerana imun sistem badan anda akan lebih rendah.

Jadi elakkan dari memakan telur yang tidak masak sepenuhnya ya. Khasiat telur memang bagus untuk anda dan bayi tetapi pastikan ia benar-benar masak tau.

3. Susu mentah

Sumber: istockphoto

Selain daripada telur mentah, susu mentah pun berbahaya untuk ibu dan bayi ya. Ia mengandungi pelbagai bakteria yang boleh menjejaskan kesihatan anda malah boleh menyebabkan keguguran.

Mungkin ada yang berfikir bahawa susu lembu dan kambing yang segar adalah elok untuk ibu dan kandungan kerana kesegarannya. Tapi sebenarnya ibu hamil tidak sesuai untuk minum susu segar macam tu je.

Pastikan susu segar tersebut dipasteur terlebih dahulu dan jika anda ingin membeli susu di pasaraya, semak dahulu ya label pada susu tersebut. Pilihlah susu yang sudah dipasteurkan sahaja.

Namun janganlah risau, khasiatnya masih sama.

4. Minuman berkafein

Sumber: istockphoto

Selain air berkarbonat, minuman yang mengandungi kafein seperti kopi dan teh pun tidak sesuai untuk ibu hamil ya. Ini kerana kafein boleh diserap dengan cepat ke dalam kandungan tetapi bayi anda tidak mempunyai enzim untuk memprosesnya.

Jadi jika anda mengambil minuman berkafein secara banyak dan berterusan, ini boleh menjejaskan perkembangan bayi anda. Namun ia mungkin sukar untuk sesetengah ibu, terutamanya untuk mereka yang sememangnya penggemar kopi, teh dan minuman bercoklat.

Menurut kajian ini, anda sebenarnya boleh mengambil minuman berkafein ketika hamil tetapi hanya pada kuantiti kurang dari 200mg setiap hari.

5. Makanan laut yang kurang masak atau mentah

Sumber: istockphoto

Buat para ibu yang menggemari makanan laut yang tidak masak atau separa masak seperti sushi, anda hendaklah menukar tabiat pemakanan anda ketika mengandung ya.

Ini kerana makanan laut yang tidak atau kurang masak masih mengandungi pelbagai bakteria, virus dan parasit yang hidup di dalamnya. Ini semua boleh menyebabkan pelbagai jangkitan yang boleh membahayakan nyawa bayi anda.

Mungkin untuk ibu, kesannya tidaklah serius sangat tetapi untuk bayi dalam kandungan, mungkin boleh menyebabkan keguguran. Seperti bakteria Listeria, ia boleh memasuki plasenta dan menyebabkan kelahiran pramatang dan keguguran. Walaupun ibu tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan, kesannya agak parah untuk bayi ya.

Terutamanya makanan laut yang bercengkerang seperti kerang, anda mestilah lebih berhati-hati ya.

6. Ikan yang tinggi merkuri

Sumber: istockphoto

Ikan yang besar dari laut dalam seperti ikan tuna, lebih berisiko untuk tercemar dengan merkuri. Merkuri adalah berbahaya untuk manusia dan boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti gangguan pada sistem saraf dan imun.

Seeloknya, para ibu elakkanlah dari mengambil jenis-jenis ikan ini ketika hamil ya:

Sebagai alternatif, pilihlah jenis-jenis ikan ini yang dipercayai lebih selamat:

7. Daging yang kurang masak

Sumber: istockphoto

Bukan sahaja ikan ya, malah daging yang kurang masak juga mengandungi pelbagai bakteria dan parasit. Menurut Adda Bjarnadottir, jika daging itu adalah satu bahagian yang tidak dipotong seperti sirloins dan ia masak sepenuhnya pada permukaannya, ia mungkin tidak mengapa.

Tapi jika daging itu telah dipotong seperti daging kisar dan hotdog, anda mestilah memasaknya sehingga benar-benar masak. Ini untuk pastikan semua bakteria dan parasit di dalamnya telah mati ya.

8. Sayur taugeh mentah

Sumber: istockphoto

Eh, sayur pun ada yang dilarang untuk ibu hamil? Walaupun sayur taugeh banyak khasiatnya dan enak dimakan mentah-mentah, ia tidak sesuai ya untuk ibu mengandung.

Sayur ini memerlukan kelembapan yang tinggi untuk hidup dan dalam masa yang sama, bakteria Salmonella juga membiak dengan jayanya.

Walaupun dibasuh, ia tidaklah hilang macam tu je. Tetapi jika dimasak, mungkin ia selamat untuk dimakan ibu hamil ya.

Selain taugeh, alfalfa dan lobak pun sama ya.

9. Buah nanas

Sumber: istockphoto

Walaupun nanas kaya dengan nutrien penting untuk kesihatan, namun ramai yang akan mengingatkan anda untuk tidak makan buah nanas sebaik sahaja tahu tentang kehamilan anda. Sebab itulah walaupun mengidam, ramai para ibu yang cuba untuk mengelak dari memakannya.

Ia mungkin wajar kerana nanas mengandungi bromelain yang dipercayai dapat menyebabkan keguguran. Betul ke?

Ada sesetengah wanita berpendapat ia benar manakala ada juga yang pernah memakannya berkali-kali ketika hamil dan tiada apa yang tidak diingini pun berlaku.

Tapi untuk langkah berjaga-jaga, seeloknya para ibu elakkanlah ya dari memakannya, terutamanya pada awal kehamilan dan trimester pertama.

10. Minuman beralkohol

Sumber: istockphoto

Minuman beralkohol sememangnya tidak boleh diambil langsung ketika hamil ya! Inilah antara minuman atau makanan yang dilarang ketika hamil, tak kira agama dan bangsa.

Tiada kesan positif pada anda dan kandungan malah pengambilannya boleh menjejaskan kesihatan anda dan bayi. Walaupun pada kuantiti yang sedikit, ia tetap tidak disarankan.

Amalkanlah Pemakanan Yang Sihat Dan Bersesuaian

Ketika hamil, ada masanya Mama mengidam itu dan ini, namun, fikirkan dahulu mengenai diri sendiri dan bayi. Elakkan makan makanan yang dilarang ketika hamil seperti yang disenaraikan di atas.

Cuba ubah tabiat makan anda dari sebelum mengandung lagi dalam usaha untuk bersedia menimang cahaya mata supaya kelak, anda dapat menikmati tempoh kehamilan dengan gembiranya.