KelabMama

Ketahui Khasiat Buah-buahan & Sayuran Mengikut Warna

warna buah-buahan

Warna seringkali dikaitkan dengan jiwa. Selain fesyen, makanan yang berwarna juga mempengaruhi kesihatan. Tahukah anda bahawa warna bukan hanya sekadar melekat di jiwa malah mempunyai kaitan yang kuat dengan kesihatan diri. Kenali warna buah dan sayuran kegemaran anda.

MERAH

Buah/Sayur: Tomato, Grapefruit atau sejenis buah limau masam berwarna merah jambu dan Tembikai.

Khasiat: Kesemua buah-buahan dari golongan ini mengandungi ‘lycopene’ yang tertumpu di kelenjar prostat bagi lelaki dan berupaya melindungi DNA. Warna merah juga disebabkan oleh kandungan likopena ini, iaitu karotenoid atau sebatian semulajadi yang memberikan warna merah kpada tomato dan pelbagai khasiat kebaikan antioksidan semulajadi yang baik untuk kesihatan badan. Bahan likopena ini juga mengurangkan risiko beberapa jenis kanser dan penyakit jantung.

KUNING/HIJAU

Buah/Sayur: Avokado, Bayam, Lobak Hijau atau Turnip, Kacang Pis dan Tembikai Susu.

Khasiat: Golongan buah dan sayuran ini mengandungi ‘lutein dan ‘zeaxanthin’, sejenis karotenoid yang berupaya menyihatkan mata. Malah kekurangan mengambilnya juga dikatakan berisiko tinggi menghadapi katarak mata. Masalah penglihatan juga akan lebih tinggi berlaku di kalangan orang-orang tua dan yang mengalami masalah kabur mata. Jadi, berusaha melebihkan sumber sayur dan buah warna ini.

OREN

Buah/Sayur: Mangga, Ubi Keledek, Lobak, Aprikot, Tembikai dan Labu.

Khasiat: Biasanya buah dan sayuran kategori ini mengandungi alpha dan juga beta karotena jenis antioksida. Beta karotena secara semula jadinya berubah menjadi vitamin A di dalam badan. Bagaimanapun jika berlebihan, vitamin A boleh menjadi toksik, tetapi badan kita secara semulajadi mengubah vitamin A yang secukupnya sahaja dari beta karotena. Ini membuatkan sumber vitamin A yang selamat tersimpan di dalam badan.

HIJAU

Buah/Sayur: Brokoli, Brussels Sprouts (sejenis sayur seperti kubis hijau kecil) dan Kubis

Khasiat: Sayur-sayuran ini mengandungi ‘sulforaphane’, ‘isothiocyanate’ dan ‘indoles’ yang berupaya merangsang gen-gen di kawasan hati. Seterusnya akibat rangsangan ini, hati akan berupaya mengeluarkan enzim-enzim yang boleh menghancurkan kimia-kimia yang menyebabkan barah di dalam badan.

MERAH/UNGU

Buah/Sayur: Anggur, Jus Anggur, Prun Cranberry, Blueberry, Blackberry, Strawberry dan Epal Merah.

Khasiat: Buah-buahan ini mengandungi ‘anthocyanins’ yang merupakan antioksida (bahan yang boleh melindungi sel-sel daripada radikal oksigen yg merosakkan). Kandungan dengan ‘anthocyanins’ ini sebenarnya mengelakkan darah beku.

OREN/KUNING

Buah/Sayur: Pic, Betik, Semua jenis Limau dan Jus Limau.

Khasiat: Buah-buahan ini membekalkan khasiat karotenoid, satu famili kimia yang mempunyai beta karotena. Malah buah-buahan seperti oren mengandungi serat yang tinggi di samping pembekal vitamin C dan E yang tinggi. Kesemua sayur dan buah-buahan ini baik untuk kesihatan kulit. Betik pula pembekal vitamin A yang sihat untuk mata secukupnya sahaja dari beta karotena. Ini membuatkannya sumber vitamin A yang selamat tersimpan di dalam badan.

PUTIH/HIJAU

Buah/Sayur: Daun Saderi, Bawang Putih dan juga Buah Pear.

Khasiat: Pokok-pokok dalam golongan famili bawang mengandungi ‘allicin’ yang didapati boleh mengelakkan tumor atau ketumbuhan. Makanan ini juga kaya dengan sumber flavonoids termasuk ‘quercetin’ dan ‘kaempferol’ yang semuanya tergolong dalam kategori antioksida. Daripada semua antioksida yang terdapat dalam buah dan sayur, flavonoids adalah kumpulan terbanyak yang kita makan, sehingga jumlahnya satu gram setiap hari.

Sumber:  THRgegar.com