KelabMama

Ptosis: Apa Itu Masalah Kelopak Mata Jatuh?

Masalah Kelopak Mata Jatuh

Seiring dengan penerimaan meluas terhadap prosedur kosmetik dan kecantikan, ramai kini lebih peka dengan peranan mata dalam membentuk keanggunan wajah, sama ada untuk mendapatkan wajah yang kelihatan simetri mahupun penampilan yang lebih segar. Namun, tidak semua perubahan yang berlaku pada mata berkaitan dengan kecantikan semata-mata. Tatkala prosedur kosmetik mata semakin mendapat perhatian, rawatan pembetulan kelopak mata jatuh atau ptosis tampil dengan tujuan yang berbeza.

Ia bukan sekadar memperbaiki penampilan, malah merawat masalah kelopak mata yang boleh mengganggu penglihatan, menjejaskan keselesaan serta menyukarkan aktiviti harian.

Berbeza dengan isu estetik yang lain, ptosis boleh menjejaskan lebih daripada sekadar penampilan diri. Apabila kelopak mata atas berada pada kedudukan yang lebih rendah daripada sepatutnya, ia boleh menghalang penglihatan, serta menyebabkan ketegangan mata dan rasa tidak selesa semasa melakukan aktiviti harian.

Ptosis juga kerap berlaku di kalangan warga emas, dengan penemuan Tinjauan Mata Kebangsaan III menunjukkan bahawa sekitar 13.5% orang dewasa, terutamanya mereka yang berumur lebih 60 tahun, mungkin mengalami ptosis. Ini menunjukkan keperluan untuk mendapatkan penilaian yang tepat pada masanya apabila kelopak mata jatuh mula menjejaskan penglihatan, keselesaan atau fungsi harian.1

Dr Nazila Ahmad Azli,
Pakar Perunding Oftalmologi dan

Pakar Bedah Okuloplastik di
Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV
)

Menurut Dr Nazila Ahmad Azli, Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Okuloplastik di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), ptosis merupakan satu keadaan kelopak mata yang agak sering ditemui, di mana ia merangkumi kira-kira 8% hingga 12% daripada keseluruhan kes kelopak mata yang dikendalikan beliau.

Walaupun pada mulanya ia mungkin kelihatan seperti sekadar isu estetik, Dr Nazila menegaskan bahawa penilaian yang betul amat penting kerana masalah kelopak mata jatuh ini boleh menjejaskan fungsi otot kelopak mata, fungsi saraf, mahupun menjadi petanda kepada penyakit yang lain.

Memahami Ptosis: Mengapa Kelopak Mata Jatuh Perlu Diberi Perhatian?

Kelopak mata atas disokong oleh mekanisma mengangkat dan menutup mata yang berkoordinasi untuk memastikan mata berfungsi dengan baik sepanjang hari.

Menurut Dr Nazila, otot levator palpebrae superioris, yang berfungsi mengangkat kelopak mata atas, membolehkan mata terbuka.

Manakala, otot orbicularis oculi pula berfungsi menutup kelopak mata. Kedua-dua otot ini dikawal oleh saraf kranial yang spesifik, iaitu saraf yang menghantar isyarat daripada otak untuk mengawal pergerakan kelopak mata.

“Secara ringkasnya, ptosis bermaksud keadaan kelopak mata atas yang layu atau jatuh. Kelopak mata atas berfungsi melalui otot yang mengawal pergerakan buka dan tutup mata, dan ptosis berlaku apabila sama ada otot atau saraf tersebut yang menghubungkannya gagal berfungsi dengan baik,” jelas Dr Nazila.

Bergantung kepada punca utamanya, ptosis boleh menjejaskan sebelah atau kedua-dua belah kelopak mata atas, dan perkara boleh terjadi sejak lahir atau berlaku di kemudian hari. Ptosis kongenital (sejak lahir) biasanya berkait rapat dengan perkembangan otot pengangkat kelopak mata yang tidak sempurna.

Manakala ptosis yang berlaku di kemudian hari pula sering dikaitkan dengan faktor kelemahan otot akibat penuaan, kecederaan, kesan pembedahan mata terdahulu, penggunaan kanta lekap yang berpanjangan, tabiat kerap menggosok mata, atau keadaan perubatan tertentu yang menjejaskan fungsi saraf mahupun otot.

Perbezaan ini penting, kerana ptosis juga boleh disalah anggap sebagai kelopak mata yang secara semula jadi menutupi lipatan mata (naturally hooded eyelids) kulit kelopak mata yang berlebihan, atau keletihan mata secara umum.

Walaupun ptosis menyebabkan kelopak mata atas jatuh, dermatochalasia, iaitu keadaan yang sering disalah anggap sebagai hooded eyes, berlaku apabila terdapat lebihan kulit atau lemak yang melipat dan menutupi kelopak mata, sedangkan kedudukan sebenar kelopak mata masih normal. Keadaan ini boleh menyebabkan kelopak mata kelihatan seolah-olah jatuh walaupun ia bukan ptosis sebenar. Keadaan ini dikenali sebagai pseudoptosis atau ptosis palsu.

Bukan Sekadar Prosedur “Eye Lift”: Memahami Perbezaan Antara Rawatan Perubatan dan Estetik

Memandangkan ptosis boleh kelihatan seperti hooded eyelids atau lebihan kulit pada kelopak mata, keadaan ini juga menjadi antara sebab mengapa masalah kelopak mata tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut estetik. Walaupun pembetulan ptosis dan pembedahan kosmetik kelopak mata sama-sama melibatkan kawasan mata serta boleh memperbaiki penampilan, kedua-duanya menangani masalah yang berbeza.

Blepharoplasty, atau lebih dikenali sebagai pembedahan kelopak mata, biasanya bertujuan membuang atau menyusun semula lebihan kulit, lemak atau tisu pada kelopak mata bagi mempertingkatkan penampilan. Pembetulan ptosis pula memberi fokus untuk mengembalikan kedudukan serta fungsi mengangkat kelopak mata atas dengan membaiki otot atau struktur sokongan yang terlibat.

Persamaan pada rupa luaran ini menyebabkan pembedahan ptosis kadangkala disalah anggap sebagai pembedahan kosmetik kelopak mata. Menurut Dr Nazila, “Ramai yang mungkin menganggap pembedahan pembetulan ptosis sama seperti pembedahan kosmetik kelopak mata kerana kedua-duanya boleh memperbaiki penampilan seseorang. Namun, kedua-dua prosedur ini membetulkan struktur kelopak mata yang berbeza. Dalam sesetengah keadaan, kedua-dua pembedahan ini boleh saling melengkapi dan perlu dilakukan secara serentak bagi mencapai hasil yang optimum.”

Perkara inilah yang membuatkan pemeriksaan teliti sangat penting sebelum sebarang prosedur kelopak mata dilakukan, biarpun pada awalnya ia hanya melibatkan isu penampilan. Menurut Dr Nazila, pembedahan yang dilakukan tanpa mengenal pasti punca sebenar ptosis berisiko menyebabkan keadaan tersebut berulang atau tidak mencapai hasil yang diinginkan.

Oleh itu, keutamaan adalah untuk memastikan sama ada ptosis berpunca daripada penyakit yang lebih serius atau tidak, agar pesakit dapat menerima rawatan yang tepat, sesuai dan selamat mengikut keperluan mereka.

Daripada Penilaian Kepada Rawatan: Pulihkan Fungsi Mata, Bukan Sekadar Penampilan

Apabila masalah ptosis disyaki, pemeriksaan biasanya bermula dengan penilaian sejarah perubatan secara terperinci serta ujian klinikal bagi mengenal pasti punca, tahap keseriusan, dan langkah rawatan seterusnya.

Langkah ini merangkumi ujian ukuran kelopak mata, penilaian fungsi otot pengangkat, pemeriksaan anak mata, penilaian pergerakan mata, serta analisis medan penglihatan jika perlu bagi memahami sejauh mana masalah kelopak mata jatuh itu menjejaskan penglihatan dan rutin harian.

Tindakan mengenal pasti punca ptosis adalah sangat penting kerana ptosis boleh berlaku secara berperingkat atau dalam sesetengah kes, perkara tersebut berlaku secara tiba-tiba. Perubahan berperingkat biasanya dikaitkan dengan faktor penuaan, penggunaan kanta lekap, sejarah pembedahan mata, atau faktor sampingan yang lain.

Bagaimanapun, masalah ptosis yang berlaku secara mengejut harus dianggap sebagai tanda amaran perubatan yang serius dan bukannya isu kelopak mata biasa.

“Ptosis yang berlaku secara tiba-tiba memerlukan perhatian perubatan segera. Keadaan ini boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti aneurisma otak (bahagian salur darah di otak yang lemah atau membonjol), strok atau diseksi arteri karotid (koyakan pada dinding salah satu arteri utama di leher yang membekalkan darah ke otak),” jelas Dr Nazila.

Kaedah rawatan seterusnya akan bergantung kepada punca dan tahap yang dihidapi oleh pesakit. Sebagai contoh, kes yang ringan mungkin hanya memerlukan pemantauan berkala, manakala ptosis yang lebih teruk memerlukan pembedahan pembetulan bagi memulihkan semula paras kelopak mata, memperbaiki fungsi penglihatan, serta memberikan paras rupa yang lebih seimbang.

Dr Nazila menjelaskan bahawa pembedahan ptosis bertujuan untuk mengembalikan fungsi mata di samping menambah baik penampilan. Namun, pelan rawatan mestilah disesuaikan mengikut keperluan individu memandangkan tahap yang dihidapi dan punca utamanya adalah berbeza bagi setiap pesakit.

Selain itu, pesakit juga boleh meningkatkan tahap kesihatan mata mereka dengan mengelakkan tabiat kerap menggosok mata, mengamalkan penjagaan kebersihan kanta lekap yang betul, mengambil masa rehat secara berkala daripada menghadap skrin, serta merawat masalah mata kering lebih awal dengan menggunakan ubat titis mata tanpa bahan pengawet yang bersesuaian.

Kesimpulannya, masalah kelopak mata jatuh tidak seharusnya dianggap sebagai sekadar tanda letih, penuaan, atau isu kosmetik biasa, terutamanya apabila ia mula menjejaskan keselesaan, pandangan, atau fungsi harian.

“Jangan ambil mudah tentang ptosis kerana membiarkannya tanpa rawatan boleh menyebabkan gangguan penglihatan, ketidakselesaan yang lebih kronik, serta boleh menyembunyikan masalah kesihatan yang serius seperti kerosakan saraf, strok, aneurisma otak, atau penyakit neuromuskular. Jika ragu-ragu, segeralah dapatkan bantuan perubatan daripada hospital terdekat anda,” kata Dr Nazila.

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan umum, sila hubungi talian +603 9772 9191 atau e-mel ke smcv-enquiry@sunway.com.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway Velocity, sila layari laman web www.sunwaymedicalvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).

Rujukan

  1. https://www.thestar.com.my/lifestyle/health/2025/07/16/these-are-not-sleepy-eyes-but-a-weakness-of-the-eyelids

Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Ketahui lebih banyak acara dan berita trending untuk Mama Papa DI SINI!