KelabMama

Kebaikan Kurma di Bulan Ramadan

Siapa ingat kalau tiap kali bulan puasa mesti ada satu iklan yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga dengan ‘bisikan’ pasal buah kurma?

Tambahan pula, teringat masa kita kecil dahulu. Mak Ayah mesti akan nasihatkan untuk kita mulakan berbuka dengan buah kurma dahulu. Lama-lama, jadi terbiasa, betul tak Mama? Macam tak lengkap pula berbuka tanpa buah ini.

Mama Siti ada berbual dengan rakan tentang buah kurma. Dia pun membahaskan hal yang sama iaitu kebaikan makan kurma di bulan Ramadan. Apa lagi, selesai berbual, Mama Siti fikirkan apa lagi khasiat dan kebaikan buah ini dan ingin kongsikan dengan Mama semua supaya kita sama-sama mendapat manfaatnya.

Keistimewaan Kurma Dalam Bulan Ramadan

1. Sunnah Baginda Rasulullah SAW

Seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa;

“Rasulullah SAW biasa berbuka puasa sebelum sembahyang maghrib dengan ruthob (kurma basah), jika tidak ada ruthob, maka baginda berbuka dengan tamar (kurma kering), dan jika tidak ada tamar, baginda meminum seteguk air.”

 (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Makan kurma di bulan Ramadan menjadi sangat bermakna kerana terdapat hadis yang jelas menerangkan bagaimana baginda sendiri mendahulukan buah ini sebagai juadah berbuka. 

Dalam erti kata lain, pahala mengamalkan sunnah ini hanya dapat diperoleh ketika seseorang itu berpuasa. Kalau nak jadi kesayangan Allah, kena lah selalu ikut apa nabi kita buat kan?

Tambahan pula, Allah ada berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 21.

“Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah.”

Kalau nak jadi orang yang lebih baik, caranya adalah dengan menghidupkan sunnah. Mengamalkan sunnah juga salah satu cara manusia memperoleh reda Allah kerana hanya dengan izin Dia sahaja dapat membuatkan hidup lebih tenang. 

2. Mengenyangkan

Kalau dah namanya puasa, lapar itu pasti tapi yang paling terkesan ialah bila kita tak dapat minum. Bila tertengok gambar air pun boleh terliur apa lagi sekarang dah ada yang namanya ASMR. 

Bunyi ais jatuh dalam cawan, bunyi air dituang dan bila ada bunyi tegukkan air, ditambah pula dengan visual yang berdefinisi tinggi menambah dugaan ketika berpuasa. Tapi semua tu buat kita tergoda bila kita rasa lapar saja, cuba kalau kita kenyang sepanjang hari.

Sebenarnya kurma boleh bantu kita elakkan rasa lapar dan haus ketika berpuasa. Satu hidangan kurma bersamaan dengan 3 biji dan dalam 3 biji buah ini terdapat 80 kcal atau 80 kilokalori. Kalori adalah terma yang digunakan untuk tenaga. 

Kandungan kalori tersebut sedikit sebanyak membekalkan tenaga selama 13 jam berpuasa. Apabila bertenaga, keadaan fizikal menjadi lebih baik. Badan tidak lagi lesu dan mengantuk. Hasilnya kita dapat menjadi lebih produktif ketika bekerja. Mama boleh cuba hidangkan air nabeez ini semasa bersahur untuk rasa kenyang berpanjangan sepanjang berpuasa.

3. Kaya Antioksida

Kredit gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia

Kandungan antioksidan dalam 3 biji kurma adalah sebanyak 37 micro gram atau 37 µg. Boleh dikatakan kandungannya adalah yang paling rendah berbanding kalsium(15 mg), fosforus(16 g) dan potassium(140 mg).

Antioksida merupakan bahan yang berfungsi untuk mengurangkan, meneutralkan dan melindungi sel badan manusia dari kerosakan disebabkan oleh radikal bebas. Dalam bahasa ringkas, ianya adalah pertahanan terhadap risiko mendapat penyakit

Contoh penyakit yang disebakan oleh radikal bebas adalah penuaan, katarak mata, asma, diabetes dan kegagalan buah pinggang.

Selain itu, terdapat flavonoid yang berfungsi untuk mengurangkan keradangan. Ada pakar yang mendakwa bahawa antioksidan ini mampu merendahkan risiko diabetes, alzheimer dan kanser. 

Kalau badan memperoleh bahan ini dengan mencukupi, kita dapat menjamin kesihatan diri agar sentiasa sihat. Boleh jadi kita antara yang terselamat dari penyakit disaat orang sekeliling sedang menderita.

4. Melancarkan Pencernaan

Kredit gambar: Boldsky.com

Kurma dan pencernaan? Bagaimana ianya berlaku? Baiklah, kurma adalah sumber serat yang dapat membantu seseorang membuang air besar dengan lebih lancar. 

Mama perasan tak, kalau cerita pasal buah dan sayur, mesti ada sebut pasal serat. Serat akan menyerap air ketika berada dalam badan manusia. Apabila sampai di usus besar, serat akan melembutkan najis dan memudahkan proses pembuangannya. 

Tahukah anda apa yang akan terjadi kalau sistem pencernaan tidak berfungsi dengan baik? Kita akan menghadapi masalah sembelit dan jika tidak terkawal, ianya bakal mengundang gejala lain yang lebih kronik seperti buasir.

Pengambilan kurma secara berkala dan berterusan mampu mengurangkan risiko menghidapi penyakit kanser usus. Seterusnya, karbohidrat juga menyukarkan pemecahan karbohidrat dalam tubuh manusia. Ini bermakna serat dapat mengawal paras gula dalam darah selepas makan. 

Jika diteliti dengan lebih mendalam, setiap 3 biji kurma terdapat sebanyak 7 g serat. Manakala orang dewasa disyorkan untuk mengambil 30 g hingga 37 g setiap hari. Ini bermakna setiap kali kita berbuka puasa dengan 3 biji kurma, kita sudah pun membekalkan 23% serat untuk tubuh badan. 

5. Sumber Tenaga Segera

Apa yang dimaksudkan dengan tenaga segera tu Mama? 

Oh macam ini. Kurma terdiri daripada karbohidrat ringkas (monosakarida) yang juga dikenali sebagai gula ringkas. Gula yang terdapat dalam kurma adalah glukosa, fruktosa, mannosa, maltosa, rhaminosa dan sukrosa yang mampu menjana tenaga dengan lebih cepat. 

Sementara itu, gula dalam kurma telah siap sedia ditukar menjadi saiz yang lebih kecil secara semulajadi. Dalam bahasa mudahnya, badan kita tak perlu bekerja lebih lama untuk mendapatkan tenaga.  

Kadar penyerapan gulanya lebih pantas iaitu hanya dalam masa 45 minit sahaja berbanding 4 jam untuk pencernaan nasi. Melalui bukti saintifik ini, memang layaklah kurma diiktiraf sebagai sumber tenaga segera kerana ia dapat membekalkan tenaga dengan cepat dan berpanjangan. 

Tambahan pula, senang-senang saja ada 300 kalori dalam kurma yang kita selalu makan itu. Sedangkan untuk mendapatkan nilai tenaga yang sama, kita perlu makan sepinggan nasi ayam kosong. 

Kelebihannya disini adalah dari segi harga, cara penyediaan dan masa untuk makan. Dalam 3 aspek ini, kurma sepertinya lebih kehadapan dan berbaloi. 

Jadi sekarang, apa lagi alasan untuk kita tidak memilih kurma sebagai hidangan tambahan. Dalam 5 senarai kebaikan kurma di atas, Mama Siti paling suka berkenaan antioksida. Maklumlah, Mama Siti nak kekal muda remaja. Apa lagi, jom pesan kurma sekarang.