KelabMama

Mama Teringin Nak Pergi Berurut? Jom Tengok Kebaikan Berurut Untuk Kesihatan Mama

“Terasa letihnya badan selepas seharian bekerja.”

“Daripada tadi tak sempat nak rehat atau baring sekalipun, segala sendi rasa lenguh sangat!”

Ya, demikianlah antara keluhan para ibu lantaran sibuk menguruskan pelbagai perkara sehingga tubuh dah rasa longlai. Tak kiralah sama ada anda wanita bekerja atau suri rumah sekalipun, yang pasti menjadi ibu sememangnya kerja berat dan penat! Pendek kata, ia tugasan yang tak akan selesai.

Kalau dah lama sangat Mama tak rehatkan tubuh, apa kata kali ini buat sesuatu untuk memanjakan diri. Sekiranya tubuh Mama dah rasa lenguh, mungkin sesuai sangat untuk pergi berurut.

Meskipun tidak terbukti secara saintifik kaitan berurut dengan menghilangkan lenguh pada tubuh, namun teknik seni tradisional yang menjadi amalan pelbagai bangsa sejak sekian lama ini harus diakui berkesan.

Selain memberikan rasa ringan pada tubuh, banyak tau manfaat yang boleh diperolehi Mama melalui aktiviti urutan.

Apakah manfaatnya tu? Jom lihat antara kebaikan berurut daripada sudut kesihatan.

1. Melancarkan Aliran Darah

Memetik laporan Berita Harian, teknik urutan turut menjadi kaedah alternatif untuk melancarkan aliran darah di dalam salur darah bagi melegakan kesakitan. Mereka yang pakar dengan urutan lazimnya akan tahu bahagian yang mana wajar diurut dan urat yang berkaitan kawasan yang sakit.

Jika anda mempunyai sebarang masalah kesihatan yang berkaitan peredaran darah anda yang perlahan, urutan dapat memberikan kulit yang lebih sihat, fungsi organ yang lebih baik dan pertumbuhan sel yang lebih baik.

2. Mengurangkan Rasa Tekanan Pada Tubuh

Pasti ramai tidak menyangkal fakta ini. Melalui proses urutan, tubuh yang terasa lesu dan lenguh dapat dikurangkan. Bila tubuh jadi ringan, pasti mudah untuk Mama bergerak aktif dengn kerja seharian.

3. Menstabilkan Emosi

Apa kaitan berurut dengan kestabilan emosi seseorang? Secara psikologinya, apabila Mama berpeluang berurut, ia memberikan perasaan tenteram kerana itu adalah masa berme-time.

Sesekali Mama manjakan diri dengan berurut dan minta ahli keluarga atau baby sitter jagakan anak pasti memberikan mood yang tenang sekaligus membuat emosi lebih stabil.

Kesannya, mood Mama mesti ceria dan happy lepas dapat rewardkan diri dengan akitiviti massage!

4. Mengurangkan Insomnia

Kajian yang dikongsi laman web My Rehab Spa menyatakan satu pertiga orang dewasa mengalami kesukaran untuk tidur iaitu insomnia.

Kajian mengenai tidur di sini menunjukkan urutan berkala setiap minggu dapat mengurangkan insomnia. Tidur yang mencukupi sangat penting untuk kesihatan badan anda.

Mereka yang tidak cukup tidur menyebabkan sistem imun yang lemah dan risiko kemurungan yang lebih besar.

5. Recharge Energy

Tentu ramai bersetuju kalau Mama Siti katakan bahawa dengan berurut, ia boleh menambahkan tenaga pada tubuh. Masakan tidak, apabila badan dah menjadi ringan selepas berurut, segala kerja pun dirasakan mudah dan pergerakan Mama pastinya lebih aktif. Bukankah itu terbukti bahawa energy Mama tadi dah terisi semula?

6. Membetulkan Postur Tubuh

Satu lagi masalah utama yang berkaitan dengan duduk sepanjang hari adalah anda akan mengalami sakit leher dan bahu yang serius. Ini disebabkan oleh tekanan pada otot badan yang duduk terlalu lama tanpa mengubah posisi duduk tersebut.

Ia juga boleh memberi kesan kepada punggung (glutes) dan sakit belakang anda. Urutan badan dapat menangani tekanan fizikal ini dan akan melegakan tanda-tanda yang menyakitkan anda.

Bagi Mama Siti, aktiviti berurut adalah jauh lebih baik daripada amalan pengambilan ubat tahan sakit.

Urut ni bukan hanya tertumpu pada anggota badan dan kaki semata-mata, tetapi kalau Mama pening kepala, sakit perut dan pelbagai lagi sakit ringan kadang-kala boleh dikurangkan hanya dengan proses urutan jerr.

Sekarang Mama faham mengenai manfaat urutan untuk kesihatan, bukan?

Justeru, adalah penting untuk peruntukkan masa Mama bagi melakukan urutan badan dalam gaya hidup sibuk seharian itu.

Perlu diingat bahawa banyak tekanan, ketegangan dan kesakitan Mama rasakan sepanjang hari dek kerana cabaran kerja yang tak pernah habis.

Daripada tuntutan sebagai pekerja sehinggalah kepada tanggungjawab seorang isteri dan ibu, pendek kata perkara itu semua memerlukan tenaga yang banyak.

Meskipun urutan bukanlah jalan penyelesaian bagi semua keletihan yang Mama hadapi ketika ini, namun ia adalah kaedah bantuan berguna dalam hidup seharian.

Semoga Mama semua berpeluang meningkatkan gaya hidup yang aktif dan ceria sekaligus memastikan urusan seharian menjadi lebih berkualiti!


Ikuti pelbagai tips kesihatan dan kecantikan di SINI.