KelabMama

“Tiap kali direct feeding, saya dapat merasa nikmat Tuhan sebagai seorang ibu,” Kongsi Wani Ardy Tentang Perjalanan Induced Lactation Beliau

Wani Ardy, wanita luar biasa yang sering dikaitkan dengan matlamatnya untuk mewujudkan kesedaran tentang sindrom MRKH ataupun Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser sindrom. MRKH dalam kata mudah bermaksud wanita lahir tanpa rahim dan vagina serta pelbagai kelainan yang lain.

Tetapi ia tidak menghalangnya untuk menjadi versi terbaik dirinya sebagai seorang penulis kreatif, penyair, penyanyi dan penulis lagu dan yang paling penting seorang ibu. Wani Ardy sememangnya ialah sebuah inspirasi buat Mama Siti dan semua para ibu di luar sana.

Berita baik untuk pembaca Kelab Mama, Mama Siti dan team KelabMama sangat terharu kerana dapat temu bual intim bersama wanita yang menjadi suara kepada ibu dan juga wanita-wanita MRKH.

1. Sebut je Wani Ardy, pasti ramai yang tahu akan kisah ‘personal’ Puan mengenai dilahirkan tanpa rahim dan cabaran dan dugaan yang dilalui Puan selama ini. Bagi mereka yang masih baru atau baru pertama kali mendengarkan hal ini, boleh Puan kongsikan kisah hidup Puan, sebagai wanita yang dilahirkan tanpa rahim dan bagaimana Puan menghadapi realiti tersebut?

Berdamai dengan diagnosis sindrom MRKH (lahir tanpa rahim dan vagina serta pelbagai abnormaliti lain) adalah satu perjalanan yang sangat panjang. Di setiap fasa umur yang berbeza, penerimaan dan cara saya memproses realiti juga berbeza. Misalnya di peringkat remaja, perasaan saya lebih kepada bingung dan terpencil kerana sindrom MRKH merupakan sejenis ‘rare disorder’. Tiada doktor yang benar-benar pakar dan tiada sumber rujukan yang betul-betul tepat.

Di peringkat usia 20an, cabaran hidup terasa paling berat. Inilah fasa kita melanjutkan pelajaran, membentuk keyakinan diri, memulakan karier, membina hubungan sosial / intim dan sebagainya. Fizikal, mental, dan emosional perlu kuat – lebih daripada wanita normal. Di peringkat usia 30an, saya berasa lebih stabil dan berani.

Saya membuat keputusan untuk berhadapan dengan khalayak ramai tentang sindrom yang saya hidapi supaya saya boleh sebarkan kesedaran dan bantu lebih ramai wanita MRKH di Malaysia. Sejak itu saya tidak pernah toleh ke belakang lagi.

2. Bagaimana pula dengan penerimaan keluarga, dan juga suami Puan mengenai hal ini? Boleh Puan kongsikan apakah rawatan atau ‘consultation’ yang Puan dan/atau suami lakukan sejurus mengetahui akan keadaan Puan?

Hubungan-hubungan terdahulu banyak mengajar saya erti pentingnya kejujuran. Saya bertemu suami sewaktu saya seorang ibu tunggal. Sebagai ibu tunggal, keutamaan saya adalah anak saya.

Walaupun anak saya lahir dari doa saya dan bukan rahim saya, dia tetap nombor satu dalam hidup saya.

Saya tidak pernah sembunyikan status saya dari suami. Alhamdulillah, suami seorang yang sama-sama mementingkan kejujuran, jadi beliau juga tidak pernah sembunyikan status saya dari keluarga beliau; bahawasanya saya seorang ibu tunggal dan saya tidak boleh memberikan zuriat. Rezeki terbesar saya adalah memiliki keluarga mentua yang tersangat baik dan menerima saya dengan sepenuh hati.

Saya melakukan ‘dilatation therapy’ di usia 20an maka bila saya bernikah di usia 30an, masalah ketiadaan vagina bukan lagi satu isu buat saya. Setelah berkahwin, rawatan atau konsultasi susulan lebih banyak berkisar kepada kesihatan buah pinggang, pundi kencing, dan pendengaran saya, selain daripada kesihatan mental emosi.

3. Sebagai seorang muslim, benar, perancanganNya lebih baik daripada apa yang kita jangkakan. Kami turut bergembira dengan kisah Puan menjadi seorang ibu kepada Ikhlas dan Indah. Dari perkongsian Puan juga, ramai wanita yang mengetahui tentang ‘induced lactation’ dan kami pasti, ramai juga yang berminat dengan proses ini, terutamanya bagi para ibu yang tidak dapat menyusu. 

Alhamdulillah, saya sangat bertuah kerana proses ‘induced lactation’ saya diselia oleh seorang kaunselor laktasi yang pakar iaitu Dr. Ainul Rhyshikin. 

4. Boleh Puan kongsikan bagaimana Puan mengambil keputusan untuk melakukan dan melalui proses ‘induced lactation’ tersebut daripada anak pertama? Dan kenapa Puan masih ingin susukan anak Puan, seperti sekarang Indah, secara eksklusif?

Sebagai seorang wanita Muslim yang tidak melalui proses mengandung dan bersalin, satu-satunya cara untuk saya beri susu badan pada setiap anak saya adalah melalui ‘induced lactation’. Walaupun saya tidak mampu susukan mereka secara eksklusif tapi alhamdulillah saya mampu hasilkan susu badan. Insya-Allah. Mereka diberi kedua-dua susu badan dan susu formula.

5. Puan ada kongsikan bahawa Puan sendiri masih ‘struggle’ dengan ‘induced lactation’ walaupun untuk anak kedua ini. Apakah cabaran dan halangan sepanjang proses ‘induced lactation’ Puan? 

Alangkan ibu-ibu yang mengandung dan bersalin pun bertarung untuk menyusukan anak, inikan pula kami ibu-ibu yang tidak mengandung dan tidak bersalin. Cabarannya terlalu banyak untuk saya perkatakan.

Selain cabaran-cabaran wajib seperti

Serta hormon saya juga ‘struggle’ untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai ubat-ubatan dan suplemen. Lapar dan letih sepanjang masa, selalu emosional… ini semua menyukarkan saya untuk disiplin dan komited, namun saya tetap cuba sebaik mungkin agar tidak berputus asa.

6. Apakah cabaran dan dugaan tersebut memberi kesan pada hubungan Puan dan anak-anak?

‘Pumping’ selama 30 minit setiap 2 jam tentu sekali mengambil masa saya bersama anak sulung (Ikhlas), namun saya berkeputusan untuk tidak menyembunyikannya. Ikhlas tahu saya gunakan ‘handsfree breastpump’ di dalam baju. Dia bertanya pelbagai soalan dan saya guna peluang itu untuk mendidiknya tentang susu badan.

Saya tidak menjadikan proses ‘pumping’ itu sebagai sesuatu yang ‘taboo’ atau memalukan. Dia saksikan bagaimana saya bersusah payah dan perlahan-lahan dia lebih menghargai bondanya.

7. Dan bagaimana proses tersebut memberi kesan kepada diri Puan dan suami dari segi emosi, mental dan fizikal? Apakah peranan suami Puan sepanjang Puan melalui proses ‘induced lactation’ tersebut?  

Suami tahu saya sentiasa lapar dan letih, jadi apa saja yang saya mahu makan, beliau turutkan. Kebanyakan kerja-kerja rumah juga dilakukan oleh beliau. Mengemas rumah, memasak, mencuci, melipat dan menggosok baju, menghantar Ikhlas ke sekolah dan mengambilnya pulang – apa saja.

Fokus saya pada menjaga Indah dan menghasilkan susu badan. Bila saya mampu bantu hal-hal rumah, saya bantu. Ini cara suami beri sokongan pada saya. Beliau juga pandai masak sup lobak putih untuk tambah susu badan saya. Saya sangat hargai usaha beliau. Kita sama-sama berkorban demi keluarga.

8. Pernah tak Puan rasa ingin berputus asa dan jika ya, macam mana Puan bangkit dan teruskan? 

Sudah tentu. Saya manusia biasa. Dan saya sangat realistik. Saya tahu ketahanan mental emosi saya bagaimana. Bila ia terjadi (rasa ingin putus asa), saya akan berehat untuk sehari. Saya tahu sebenarnya saya bukan hendak putus asa, tapi saya perlukan rehat. Jadi saya beri ruang pada diri.

Bentuk rehat kegemaran saya adalah urutan payudara di HBM Breastfeeding Centre atau mana-mana pusat urutan wanita. Sangat menyihatkan. Esoknya saya kembali ke rutin asal dengan lebih bersemangat. Selain itu, kaunselor laktasi saya juga banyak beri tips, nasihat, dan kata-kata perangsang.

9. Bak kata pepatah, “mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia kita tak boleh nak kawal”. Apakah kata-kata negatif atau tohmahan yang sering didengar sejak Puan dedahkan Puan dilahirkan istimewa, serta usaha Puan dengan ‘induced lactation’ dan bagaimana Puan mengatasi perkara tersebut?

Macam-macam. Dipanggil khunsa, pondan, dan pelbagai lagi kerana lahir tanpa rahim dan tanpa vagina – semua itu saya sudah biasa dan sudah tidak hirau.

Walaupun ‘induced lactation’ sangat mencabar, ia juga adalah satu anugerah buat saya. Saya rasa ‘lebih wanita’ dan ‘lebih keibuan’ tiap kali saya menghasilkan susu badan. Ini kerana, wanita seperti saya tidak mengandung, tidak bersalin, dan tidak ada darah haid. Kami tidak melalui pengalaman-pengalaman normal seorang perempuan. Melalui ‘induced lactation’, saya dapat merasa secebis nikmat itu. Tiap kali ‘pumping’ atau ‘direct feeding’, saya dapat merasa nikmat Tuhan sebagai seorang ibu.

10. Adakah Puan dalam perancangan untuk mengambil anak angkat yang seterusnya? Dan jika ya, adakah Puan akan cuba ‘induced lactation’ lagi?

Oh tidak. Cukuplah seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Ikhlas dan Indah. Hidup saya sudah sempurna. Malah menjangkaui mimpi saya.

11. Buat para wanita di luar sana yang turut dilahirkan tanpa rahim, apakah nasihat dan kata-kata semangat yang Puan boleh berikan pada mereka? 

Al Insyirah. Ada kesenangan dalam tiap kesusahan. Carilah anugerah dan nikmat di sebalik ujian yang sangat besar ini. Carilah dan kita akan jumpa.

12. Dan bagi ibu-ibu yang turut ingin mencuba ‘induced lactation’ sebagai salah satu usaha mereka menyusu anak-anak secara eksklusif, apa nasihat dan panduan yang Puan boleh berikan pada mereka? 

Don’t be hard on yourself and don’t judge yourself. The person whom you need kindness most from is yourself. Be kind to YOU. Take one day at a time.

13. Yang terakhir sekali, apakah Puan akan kongsikan kisah Puan dengan anak-anak, dan jika ya, kongsikan satu perkara yang Puan ingin anak-anak Puan ingat sampai akhir hayat mereka.

Ikhlas dan Indah, apa saja yang bonda lakukan adalah untuk kesejahteraan kalian berdua di dunia dan di akhirat. Setiap titis darah, peluh, airmata, dan susu badan yang bonda titiskan dalam usaha menjadi ibu – bonda lakukan semuanya atas nama cinta bonda buat Ikhlas dan Indah, kerana Allah Ta’ala.