KelabMama

Sakitnya! Macam Mana Cara Nak Hilangkan Bengkak Susu?

Sumber: istockphoto

Tentu ramai para ibu yang pernah mengalaminya kan? Mama Siti sendiri pernah tengok macam mana sakitnya ahli keluarga Mama Siti yang pernah kena bengkak susu ni. Sudahlah sakit bersalin masih tak hilang, ditambah pula dengan sakit bengkak susu.

Bila kali pertama Mama Siti tengok keadaan payudara ibu yang bengkak susu, persoalan yang menjengah fikiran Mama Siti ialah, apakah puncanya?

Punca Bengkak Susu

Menurut Cynthia Cobb, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan para ibu mengalami bengkak susu. Antaranya adalah:

  1. Ibu terlepas sesi penyusuan
  2. Ibu terlepas sesi pam susu
  3. Badan ibu menghasilkan susu lebih daripada demand bayi
  4. Ibu memberikan bayi susu formula yang menganggu jadual penyusuan badan
  5. Ibu menceraikan susu badan dari bayi terlalu cepat (tidak secara beransur-ansur)
  6. Bayi mengalami kesukaran untuk latching and sucking
  7. Ibu tidak mengeluarkan susu yang terhasil selepas bersalin kerana tidak mahu menyusu badan

Ini adalah antara penyebab kenapa berlakunya bengkak susu ya. Pada pendapat Mama Siti, tanggungjawab ibu dalam menyusu si comel bukanlah semudah yang disangka. Kita haruslah berdisiplin untuk mengawal penghasilan dan pengeluaran susu badan kan?

7 Tanda-Tanda Bengkak Susu

Terutamanya untuk para ibu yang mengandung buat pertama kali, tentu banyak perkara yang anda masih tidak tahu dan mahir kan? Jadi macam mana nak tahu jika anda mengalami bengkak susu?

Apakah tanda-tandanya?

1. Payudara keras atau padat

Antara tanda anda mengalami bengkak susu ialah payudara anda terasa keras atau padat. Bila dipegang tu, payudara anda seolah-olah keras terbentuk seperti batu. 

2. Payudara nyeri atau rasa suam

Selain itu, tanda lain ialah payudara terasa nyeri apabila disentuh. Walau terkena pakaian dalam, rasa macam sensitif je kulit payudara. Suhunya juga mungkin berbeza ya. Ia terasa suam bila disentuh.

3. Payudara berat atau rasa penuh

Bila dah bengkak susu, memang payudara anda akan lebih berat dan terasa penuh. Bila ditekan atau dipicit, ia tidak anjal seperti kebiasaannya.

4. Payudara rasa berketul

Ada juga para ibu yang payudaranya terasa berketul bila dah bengkak susu. Yelah, susu dah penuh dan telah membentuk ketulan susu dalam payudara. Ini agak berbahaya ya. Jika dibiarkan, ia boleh menjadi nanah.

5. Payudara bengkak

Sumber: istockphoto

Ini antara tanda yang paling umum. Biasanya kalau orang tua-tua tengok, mereka memang sudah tau. Ini bengkak susu katanya.

Saluran susu dalam payudara yang telah tersumbat akibat penghasilan susu yang banyak akan membuatkan payudara anda bengkak.

Ia boleh terjadi sama ada pada sebelah payudara sahaja ataupun kedua-duanya sekali. Ada juga yang bengkak hingga ke kawasan ketiak.

6. Urat payudara timbul

Kerana pertambahan aliran darah di payudara untuk menghasilkan susu, kulit payudara anda menjadi lebih terik dan menampakkan urat di payudara.

7. Demam

Akibat bengkak susu, anda juga boleh demam tau. Ia dipanggil sebagai milk fever atau dalam masyarakat kita, demam bengkak susu. Tetapi jika anda demam, sebaiknya berjumpalah doktor dengan segera ya.

Kadang-kadang, jangkitan di payudara juga boleh menyebabkan pertambahan suhu badan.

11 Cara-cara Hilangkan Bengkak Susu

Apabila anda mengalami bengkak susu, memang terasa sakitnya. Bagi Mama Siti, sebaiknya kita belajar dari awal tentang cara untuk elak dan hilangkan bengkak susu supaya nanti tidak melarat ya.

Ilmu ini bukan sahaja untuk ibu hamil dan yang sedang menyusu tau. Ia berguna untuk semua wanita dan lelaki di luar sana.

Ya, para lelaki yang akan menjadi suami dan bapa haruslah berilmu untuk menjaga isteri anda sebaiknya.

Jom, kita cuba beberapa petua ini:

1. Tuam payudara dengan air panas atau mandi air panas

Apabila payudara semakin membengkak, anda boleh cuba tuam payudara dengan kain yang direndam dalam air panas ataupun mandi air panas untuk menggalakan pengeluaran susu.

2. Susukan bayi anda

Selain itu, cubalah untuk mencari masa dan ruang untuk menyusu si comel setiap kali mereka mahu menyusu. Pastikan mereka betul-betul kenyang.

3. Kerapkan sesi penyusuan

Dengan penyusuan yang kerap iaitu di antara 2-3 jam sekali, susu tidak akan sempat terkumpul dalam kuantiti yang banyak.

4. Tuam payudara dengan pek ais

Boleh juga, tuam payudara anda dengan pek ais untuk melegakan bengkak dan sakit. Penggunaan pek ais juga akan mengurangkan penghasilan susu badan selepas itu. Jadi payudara anda tidaklah semakin membengkak.

5. Urut payudara ketika menyusu

Urutan payudara akan membantu untuk melancarkan aliran darah dan susu dengan lebih baik.

6. Pam susu anda

Sumber: istockphoto

Apabila tidak sempat menyusu, perahlah susu menggunakan pam atau tangan secara manual. Mama juga boleh mencuba posisi asas menyusu bagi bayi baru lahir di sini.

Ini untuk memastikan proses penghasilan dan pengeluaran susu dari payudara anda seimbang.

7. Tukar posisi penyusuan

Anda hendaklah cuba menyusu dengan pelbagai posisi supaya susu keluar dari semua kawasan payudara.

8. Menyusu dengan kedua-dua payudara

Petua yang lain ialah anda haruslah menyusu bayi dengan menggunakan kedua-dua belah payudara secara bergilir-gilir. Ini untuk mengosongkan susu pada kedua-dua belahnya.

9. Mengambil ubat

Anda juga boleh mengambil ubat yang dibenarkan doktor untuk melegakan sakit.

10. Memakai pakaian dalam yang menyokong payudara anda

Selain itu, pemakaian pakaian dalam juga harus dititikberatkan ya. Anda hendaklah menggunakan pakaian dalam yang sesuai iaitu tidak terlalu longgar ataupun ketat.

11. Cerai susu badan secara berperingkat

Jika keadaan tidak mengizinkan atau anda membuat keputusan untuk berhenti menyusu badan, lakukanlah ia secara berperingkat supaya penghasilan dan pengeluaran susu menurun secara terkawal dan ia tidak terkumpul dalam payudara anda.

Rawat Dan Cegah Masalah Dari Puncanya

Sumber: istockphoto

Carilah ilmu tentang penyusuan badan supaya anda lebih bersedia dan dapat menghindari sakit bengkak susu dengan mengamalkan petua-petua yang Mama Siti senaraikan di atas. Semoga proses penyusuan anda lancar dan dipermudahkan olehNya.