KelabMama

“HB asyik rendah je!” Pakar Jelaskan Cara Menaikkan HB Rendah Ketika Mengandung

“Letihnya fasa mengandung ni, semua benda rasa penat. Lepas tu asyik nak tidur je. Memang macam ni ke simptom hamil?”

Dr. Chong Kuoh Ren, Perunding Obstetrik dan Ginekologi, dan Pakar Kesuburan di TMC Fertility

Awas Mama, sekiranya keletihan yang dirasakan agak luar biasa, kemungkinan besar Mama sedang mengalami gejala haemoglobin rendah atau low HB.

Bacaan HB rendah bukanlah situasi yang asing dikalangan wanita berbadan dua. Ini kerana gejala tersebut agak popular menyerang ibu hamil.

Namun persoalannya, apakah yang menyebabkan bacaan HB tiba-tiba menurun?

Adakah ia keadaan yang normal menyerang ketika hamil je? Atau wujudkah risiko lain kepada ibu yang mengalami bacaan HB rendah ni?

Untuk merungkai persoalan dengan lebih mendalam, KelabMama berpeluang menemubual seorang pakar dari TMC Fertility, iaitu Dr. Chong Kuoh Ren, merupakan Perunding Obstetrik dan Ginekologi, dan Pakar Kesuburan.

1. Apakah kepentingan haemoglobin dalam tubuh seseorang?

Hemoglobin yang terkandung di dalam sel darah merah berperanan mengangkut oksigen dari udara yang kita hirup dan merembesnya ke seluruh bahagian tubuh termasuklah otak, organ dalaman dan sebagainya.

Ia juga membekalkan oksigen kepada janin di dalam kandungan.

2. Apakah punca seseorang mengalami haemoglobin rendah?

Terdapat tiga faktor menyumbang kepada haemoglobin rendah kepada seseorang.

Pertama– Akibat peningkatan kehilangan darah. Ini bagi kes wanita yang mengalami kedatangan haid dan penurunan HB itu akan terjadi pada setiap bulan. Bagaimanapun, selain daripada akibat darah haid, kehilangan darah berpunca daripada ulser gastrik, buasir, polip dalam rahim turut menyumbang kepada bacaan haemoglobin yang rendah.

Kedua– Faktor seterusnya adalah disebabkan kekurangan nutrisi penting dalam tubuh seperti folic acid, B12, iron sekaligus menyebabkan penghasilan haemoglobin itu tidak mencukupi.

Ketiga– Gangguan penghasilan sel darah merah. Apabila penghasilan sel darah merah terganggu, ini boleh menyebabkan kadar bacaan darah merah sedikit terjejas sekaligus menyumbang kepada masalah HB rendah. Kebiasaannya, kes ini ditemui kepada golongan penghidap thalassemia dan demam denggi berdarah.

3. Apakah risiko haemoglobin rendah kepada ibu hamil?

Terdapat dua risiko iaitu kepada ibu dan bayi apabila kehamilannya mengalami bacaan HB rendah. Bagi seorang ibu, kelahiran bayi pramatang itu boleh berlaku apabila usia kandungan tidak mampu mencecah 37 minggu dan ke atas.

Selain itu, si ibu juga berpotensi mengalami pendarahan yang banyak ketika proses kelahiran tadi.

Manakala risiko ke atas bayi pula boleh menyebabkan perkembangan yang perlahan ketika di dalam rahim, sekaligus menjejaskan perkembangan fizikal dan mental juga sewaktu meniti usia kanak-kanak kelak.

4. Adakah setiap individu yang mengalami HB rendah akan turut dikategorikan sebagai penghidap anemia?

Ya, ia membawa maksud yang sama. Masalah haemoglobin rendah membawa maksud anda adalah penghidap anemia atau mungkin ia tanda masalah kesihatan yang lebih serius seperti thalassemia.

5. Adakah ibu hamil yang mengalami masalah HB rendah pada sepanjang kehamilan berisiko menghidap gejala sama untuk kandungan akan datang?

Ya. Ia akan berlaku untuk kehamilan seterusnya seandainya si ibu tidak menjaga kesihatan dan pengambilan nutrisi dalam tubuh.

Jika amalan pemakanan wanita itu adalah sama seperti kehamilan lalu dan tiada sebarang perubahan dilakukan, berkemungkinan besar gejala anemia yang dihidapi akan lebih buruk pada kehamilan seterusnya.

Justeru, disebabkan itulah pentingnya menjarakkan kehamilan seperti yang disyorkan oleh pakar kesihatan. Ketika tempoh penjarakkan, si ibu seharusnya memanfaatkan masa tersebut dengan memperbaiki nutrisi tubuh bagi memastikan bacaan haemoglobinnya berada pada paras normal sebelum hamil kembali.

6. Adakah ibu yang mengalami masalah HB rendah boleh menyebabkan anaknya juga mendapat masalah sama?

Ya, anemia yang teruk dalam kehamilan boleh menganggu nutrisi yang menghasilkan zat besi dan perjalanan bekalan oksigen kepada janin.

7. Apakah perkara atau makanan yang boleh menyumbang kepada bacaan HB rendah?

Pengaliran darah haid yang berlebihan disertai dengan amalan pengambilan iron yang tidak mencukupi adalah faktor utama kepada masalah berkenaan.

Ia kebiasaannya berlaku dikalangan remaja perempuan dan wanita yang mempunyai latar belakang sosio-ekonomi yang rendah.

8. Bagaimanakah cara untuk meningkatkan bacaan HB sama ada sebelum hamil atau ketika hamil?

Mulakan pengambilan vitamin kehamilan mengandungi iron, B12 dan folate sebaiknya diamalkan tiga bulan sebelum mengandung.

Selain itu, cuba tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ikan dan telur. Malah, buah dan sayur berwarna terang seperti bayam dan tomato kebiasaannya mempunya iron dan keperluan mineral yang tinggi.

Pengambilan makanan berunsurkan vitamin C (buah oren) dan beta carotene (carrots) akan membantu tubuh menyerap iron dengan lebih baik.


Untuk ketahui pelbagai info dan tips dikongsikan oleh Pakar Kesihatan melalui segmen Khas Untuk Mama, anda bolehlah klik di SINI!