KelabMama

Dilema Buasir Ketika Hamil

Dilema Buasir Ketika Hamil

Masalah pendarahan rektum biasa berlaku pada golongan wanita hamil apatah lagi bila mama mengalami masalah buasir dan juga sembelit. Walaupun ia tak membahayakan nyawa ibu mahupun bayi dalam kandungan, mama perlu mendapat nasihat dan juga pemeriksaan dari doktor untuk mengenal pasti masalah sebenar.

Petanda bagi pendarahan rektum adalah apabila titisan darah muncul ketika membuang air besar. Kemungkinan untuk mendapat buasir adalah tinggi dalam situasi sedang hamil kerana pembesaran saiz janin di dalam kandungan menyebabkan tekanan pada saluran darah.

Buasir terjadi kerana perubahan hormon yang berlaku ketika hamil mendorong pergerakan usus yang agak perlahan hingga najis menjadi keras dan sukar membuangnya.

Kurang Pengambilan Air & Nutrien Punca Buasir

Perubahan fisiologi yang berlaku terhadap sistem badan wanita hamil menjadikan keperluan air sangat diperlukan oleh badan. Kurangnya pengambilan air dalam kehidupan seharian mengakibatkan sembelit dan ini menyebabkan pendarahan rektum berlaku.

Sembelit berlaku apabila kekurangan pengambilan air dan nutrien serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang menyebabkan kesukaran membuang air besar. Najis yang keras dan terlalu meneran sewaktu membuang air besar mengakibatkan luka pada bahagian kulit dubur dan menyebabkan pendarahan berlaku.

Luka atau rekahan yang terjadi akan menyebabkan kesakitan dan pendarahan sewaktu membuang air besar jika dibandingkan dengan buasir. Pendarahan rektum akibat luka dan sembelit akan hilang setelah bersalin dan selalunya masalah ini dapat disembuhkan dengan pengambilan ubat yang diberikan oleh doktor dan pengambilan diet yang betul.

Tindakan meneran ketika buang air besar boleh menyebabkan kerosakan kepada dinding dubur dan seterusnya mengakibatkan buasir.

Selain itu, bagi wanita yang mempunyai masalah buasir, masalah itu mampu menjadi lebih teruk ketika hamil jika mereka tak mengamalkan diet seimbang dan minum air yang secukupnya. Tapi mama tak perlu risau sebab sakit buasir ni akan berkurang setelah bersalin. Buasir merupakan kusyen vaskular yang bertindak sebagai penghadang setiap kali membuang air besar.

Masalah buasir akan timbul apabila kusyen vaskular ni membengkak. Ia berlaku akibat tekanan yang diberikan pada rektum berikutan aktiviti meneran. Untuk mengenal pasti punca masalah pendarahan ini, pemeriksaan proctoscopy akan dilakukan dimana alat tersebut dimasukkan ke dalam dubur untuk mengenalpasti punca masalah tersebut.

Rawatan

Dalam pada itu, bagi merawat dan mengurangkan masalah pendarahan rektum ini, ubat melembutkan najis atau ubat mengawal buasir akan diberikan oleh doktor.

Ramai yang takut berjumpa doktor walhal sakit buasir ni TAK MEMERLUKAN PEMBEDAHAN!

Penting bagi mama untuk minum air secukupnya serta memakan makanan berserat tinggi untuk memudahkan pembuangan air besar.

Mama kena minum air, sekurang-kurangnya 8 gelas sehari serta amalkan diet seimbang seperti yang disarankan oleh doktor bagi mengelakkan pendarahan rektum berlaku semasa proses kehamilan.

Jika gejala ini berlaku pada wanita hamil, segeralah berjumpa doktor bagi mengelakkan masalah lain seperti ketumbuhan atau kanser dalaman.

Sumber: Hello Doktor

BACA JUGA SEMBELIT SEWAKTU HAMIL & KETIKA BERPANTANG MENYEKSAKAN WANITA!

Pesan Mama Siti:

Buasir ketika mengandung sering bermula di peringkat akhir kandungan sehingga akhir waktu berpantang. Jadi, lebihkan pengambilan serat dalam pemakanan mama dengan makan buah-buahan, sayur-sayuran hijau dan bijirin bagi memastikan kelancaran proses pembuangan najis.