KelabMama

Jangan Sengsara Seorang Diri Mama! Doktor Jelas Cara Mudah Hilangkan Kejang Otot

Aduh! Sakitnya rasa macam nak mati bila kene kejang ni kan, Mama? Cik suami sampai tak tahu macam mana lagi nak tolong masalah ni. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan kaki Mama boleh kejang macam ni. Tapi apa tu kejang otot?

Buat Mama yang tidak tahu, kekejangan berlaku apabila otot Mama secara tidak sengaja atau secara paksa mengecut dengan tak terkawal mahupun berehat. Bunyi pun ngeri kan, Mama? Dengan kata ringkas, otot kita tak boleh chill lah.

Ikuti penjelasan daripada Dr Samhan yang memberi input yang sangat membantu untuk Mama dan cik suami boleh amalkan apabila terkena kekejangan otot ni.

Jom kita baca sama-sama~

Sakitnya! Apa Nak Buat Ni?

Sakit, sakit, sakit! Satu pasangan suami isteri masuk ke bilik konsultasi. Si suami memimpin tangan isteri. Sesekali kelihatan isteri memegang perut yang sarat mengandung.

“Doktor, kebelakangan ni isteri saya kerap kejang otot betis. Tengah malam tiba-tiba menjerit”

“Habis tu apa yang encik buat?” “Saya tak tahu nak buat apa. Saya hanya mampu urut betis dia.” “Ini biasa terjadi pada wanita mengandung sebab otot betis terpaksa menampung berat badan berlebihan.”

Hari ini, saya kongsikan cara mudah jika diserang kejang otot.

Kaki kejang merupakan salah satu masalah yang akan dihadapi oleh kebanyakkan orang. Kekejangan otot ini selalunya berlaku secara tiba-tiba dan ia tidak mampu dikawal. Yang paling membuatkan kalian terkejut adalah apabila ia berlaku ketika anda tidur.

Selalunya pesakit akan meloncat daripada katil dan memegang kaki yang mengalami kekejangan disebabkan masalah tersebut.

Punca Kaki Kejang

1. Dehidrasi Jika mengalami cirit-birit atau muntah akan lebih terdedah dengan masalah kekeringan (dehidrasi). Ia menganggu penghantaran maklumat pada bahagian otot.

2. Kurang peredaran darahMasalah ini selalunya berlaku pada seseorang itu apabila ia duduk dalam keadaan posisi kakinya melipat. Ini akan menyebabkan salur darah terhimpit dan aliran darah pun berkurangan.

3. Senaman berlebihan Bila bersenam, garam dalam badan turut keluar bersama peluh. Garam seperti sodium merupakan salah satu unsur utama bagi penghantaran maklumat melalui saraf di dalam badan.

4. Kecederaan ototOtot yang cedera boleh menyebabkan kecelaruan pada saraf otot tersebut dan berakhir dengan kaki kejang.

5. Mengandung Kaki perlu menampung berat badan dan otot perlu kerja lebih.

6. HipotiroidPenyakit yang disebabkan kekurangan hormon tiroid di dalam badan.

Cara Mudah Hilangkan Kekejangan Otot

  1. Baringkan pesakit dan tekan di bahagian lutut ke bawah supaya sendi lutut menjadi lurus.
  2. Dalam keadaan kaki lurus, tolakkan hujung kaki supaya hujung kaki menghala ke badan pesakit.
  3. Tahan dalam kedudukan ini sehingga kekejangan hilang. Biasanya kekejangan akan beransur hilang selepas beberapa minit.
  4. Sekiranya kekejangan berpanjangan atau kesakitan berterusan, datang ke Jabatan Kecemasan untuk rawatan lanjut.

Jangan sengsara sorang-sorang lepas ini Mama. Dengan perkongsian Dr Samhan ini, Mama dapat tahu punca untuk dielak dan menyelesaikan masalah kekejangan otot ini, terutamanya Mama yang sedang hamil. Terima kasih doktor kerana memberi perkongsian yang dapat membantu Mama dan Papa diatasi kesengsaraan ini!

Pesan Mama Siti

Bersenam ke, buat kerja rumah ke, buat lah dengan berpada-pada ya, Mama? Nanti menjerit pula tengah malam…Jaga diri semua~

Kredit: Dr Samhan