KelabMama

Tak Perlu Kikis Lagi! 3 Cara Betul Cuci Perut Lembu Yang ‘Effortless’

Ada juga orang yang panggil babat sebagai nama lain bagi perut lembu. Sebagai orang Jawa, memang menu perut lembu ni selalu dimasak dan dihidangkan dalam majlis-majlis keraian. 

Ada tiga cara nak cuci perut lembu di rumah. Rata-rata menjual menu babat di restoran pun akan aplikasikan cara yang sama. 

Ayuh, kita lihat bagaimana cara membersihkan kotoran hitam pada perut lembu. 

Menu Perut Lembu Kegemaran Rakyat Malaysia

#1 Kerabu Perut Lembu

Bayangkan paduan rasa perahan limau dengan bawang dan daun sup menyatu dengan perut lembu. ‘Ummph’ terliur dibuatnya. 

Menu ini tak perlu dimasak atas api pun, cukup Mama rebuskan perut lembu supaya ianya lembut sahaja. Langkah seterusnya, hanya sekadar gaulkan bahan-bahan resepi kerabu perut lembu. 

#2 Perut Dengan Air Asam

Kredit gambar: Amie’s Little Kitchen

Kalau selalu kita makan ikan cecah dengan air asam, kali ini kita buat menu perut lembu dengan air asam pula. 

Bahan-bahan yang digunakan lebih kurang air asam ikan bakar dengan penambahan belacan dan air rebusan perut lembu. 

#3 Perut Lembu Masak Lemak Jawa

Kebanyakkan menu perut lembu memang datangnya dari orang Jawa yang berasal dari turun temurun. 

Uniknya resepi masak lemak Jawa ialah ianya menggunakan tomato dalam masakan. 

#4 Kerabu Pucuk Paku Dengan Perut Lembu

Kredit gambar: resepinannie.blogspot.com

Sedapnya pucuk paku. Lagi-lagi kalau dijadikan menu kerabu pucuk paku dan perut lembu. Resepi kerabu memang sering mendapat sambutan kerana faktor tidak perlu memasak atas api dapur. 

#5 Sambal Godok Perut Lembu

Mama tahu tak makna ‘godok’ tu apa sebenarnya? 

Baik, bagi yang belum tahu dalam bahasa Jawa, godok bermakna rebus. Ini kerana kita akan rebus dulu bahan-bahan santan dan bahan perasa sebelum dimasukkan perut lembu. 

Cara-cara Cuci Perut Lembu

#1 Cuci Perut Lembu Dengan Cuka

  1. Pertama sekali kita perlu rendam perut lembu dengan cuka makan tanpa campuran air. Perut lembu perlu direndam selama 1 hingga 2 jam. 
  2. Proses membuang bahagian yang berwarna hitam akan lebih mudah selepas direndam dengan cuka. 
  3. Seterusnya, bilas dengan air bersih beberapa kali bersama-sama dengan perahan limau untuk menghilangkan bau yang terdapat pada perut lembu. 

#2 Cuci Perut Lembu Dengan Kapur

  1. Sediakan satu bekas dan isikan air hingga perut lembu terendam dalam bekas tersebut. 
  2. Kemudian, tambahkan kapur ke dalam bekas yang telah diisikan air tadi selama 30 minit hingga 1 jam. 
  3. Dengan menggunakan pisau, Mama kikis dan buang bahagian yang berwarna hitam pada perut lembu yang direndam itu tadi. 
  4. Selepas dipastikan ianya sudah bersih, cuci sekali lagi dengan air limau untuk menghilangkan bau lembu. 
  5. Teruskan proses mencuci perut lembu dengan merebus sebentar bertujuan untuk memudahkan proses pemotongan. 
  6. Selesai memotong kepada bahagian kecil, perut lembu akan direbus sekali lagi tetapi kali ini biarkan sehingga ianya empuk. 
  7. Tips tambahan untuk mengurangkan bau hamis lembu, Mama boleh tambahkan beberapa hirisan halia semasa merebus.  

#3 Cuci Perut Lembu Dengan Water Jet

@fakhrul.duntershop

Cara mudah cuci perut lembu guna waterjet

♬ original sound – Doniyor Bekchanov

Tapi, kalau Mama ada ‘water jet’ lagi mudah lah kerja-kerja membersihkan perut lembu dilaksanakan. 

Kuasa tujahan air yang kuat mampu membuang kotoran berwarna hitam pada permukaan perut lembu. Kan senang, tak perlu sental dan juga menjimatkan masa. 

  1. Sediakan alas seperti periuk besar untuk memudahkan proses cuci perut lembu dan juga untuk mengelakkan perut lembu diletakkan di atas lantai. Risiko penyakit dapat dikurangkan jika meletakkan perut lembu di atas alas. 
  2. Sambungkan waterjet kepada sumber air dan mulakan proses mencuci. Bagi Mama yang pertama kali menggunakan waterjet, Mama Siti nak pesan agar siap-sedia dengan tekanan airnya. 
  3. Teruskan cuci perut lembu sehingga kotoran hitam telah hilang semuanya dan diyakini bersih. 
  4. Selepas itu, bilas sekali lagi dengan air bersih dan mula potong perut lembu menjadi bahagian-bahagian kecil. 

Sesetengah orang akan tertolak ke belakang disebabkan kuasa dari tekanan air itu sendiri. Selain itu, elakkan juga kanak-kanak dan orang tua berada bertentang dengan waterjet untuk mengelakkan sebarang kemalangan berlaku. 

Kredit gambar: Cik Puan Julie Raja Iskandar

Sekarang kalau teringin nak makan perut lembu pun dah tak ada masalah kalau nak buat sendiri. Rupanya cara cuci perut lembu adalah dengan cuka, kapur dan waterjet. 

Tak ada idea nak masak apa? Boleh cuba menu-menu yang Mama Siti kongsikan tadi. Mudah-mudahan menjadi.


Untuk pelbagai panduan dan info berguna, Mama boleh lihat di SINI!