KelabMama

Perkongsian Pakar: Ini Cabaran & Risiko Kehamilan Selepas Mama Berusia 35 Tahun

Dr Nurhazinat Yunus, TMC Fertility untuk KelabMama

Semestinya menjadi lumrah ramai wanita untuk bergelar ibu meskipun keadaan dirinya yang mungkin mempunyai halangan. Tetapi, bagaimana pula untuk kehamilan selepas berusia 35 tahun?

Dengan kecanggihan teknologi ketika ini, semua kekurangan itu umpama berjaya ditepis dalam misi melahirkan zuriat sebagai penyeri rumah tangga.

Walaupun tiada jaminan 100 peratus bahawa kaedah dan usaha yang dilakukan berjaya, namun ia sedikit sebanyak memberikan harapan kepada pasangan yang masih berjuang untuk trying to conceive (TTC).

Tak subur? “Boleh cuba rawatan kesuburan IVF.”

Masalah period tak teratur? “Nanti doktor akan bekalkan ubat kesuburan.”

Tapi bagaimana pula dengan kes kehamilan wanita yang berusia?

Adakah kemajuan teknologi kini boleh membantu dan membenarkan ibu berusia 35 tahun dan ke atas untuk hamil tanpa sebarang risiko?

Meskipun pada dasarnya ramai yang hamil walaupun dah mencecah usia 40 tahun, namun, ia dianggap kehamilan berisiko lantaran usia si ibu yang dikira mencabar untuk menanggung anak sembilan bulan dalam kandungan serta perjalanan bersalin yang menyakitkan.

Jadi, selamat ke tidak jika wanita mengandung pada usia lewat 30-an ini?

Untuk ketahui lebih lanjut, apa kata ikuti perkongsian Dr Nurhazinat Yunus, Pakar Kesuburan, Konsultan Obstetrik & Ginekologi dari TMC Fertility Centre.

1. Adakah terdapat sebarang risiko kesihatan kepada kehamilan selepas berusia 35 tahun?

Selepas usia 35 tahun, seseorang wanita mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit berkaitan darah tinggi dan kencing manis ketika hamil, berbanding mereka yang berusia bawah 35 tahun.

2. Adakah ia turut memberi kesan kepada janin dalam kandungan?

Ya. Wanita yang hamil selepas usia 35 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah keguguran, kecacatan janin dan tumbesaran janin yang terencat.

3. Bagaimana dengan perjalanan kelahiran mereka nanti? Adakah doktor akan memantau rapat ketika proses kelahiran bagi kehamilan selepas 35 tahun (kerana kadar masalah yang tinggi)?

Secara umum, doktor akan menilai risiko kelahiran atau risiko bersalin seseorang wanita itu secara individu. Setiap wanita mempunyai risiko yang berbeza, yang mempengaruhi proses kelahiran dan keselamatan ibu dan anak.

Namun sekiranya wanita hamil berusia atas 35 tahun ini dan janin sihat tanpa sebarang masalah sepanjang kehamilan, prosedur kelahiran adalah hampir sama dengan ibu muda yang lain.

4. Sekiranya ibu tadi lebih terdedah dengan masalah kesihatan ketika hamil, apakah langkah yang boleh diamalkan bagi memastikan tahap kesihatan beliau dan bayi terus optimum?

Pastikan pengambilan diet yang betul dan sihat mengikut saranan kesihatan dan doktor. Pengambilan air kosong mengikut jumlah yang betul setiap hari juga adalah penting untuk membantu kekal sihat.

Pastikan wanita hamil ini juga tidur untuk jam sehari. Dalam masa yang sama, kurangkan terdedah kepada risiko jangkitan batuk, selssema dan sebagainya dengan mengurangkan aktiviti melibatkan kesesakan manusia seperti pasaraya.

Selain itu, pengambilan vitamin, ‘supplements’ dan susu mengikut saranan doktor juga adalah penting. Dan yang terakhir, pastikan berat badan kekal terkawal serta kekal aktif dengan melakukan aktiviti dibenarkan oleh doktor yang menjaga kehamilan anda.

5. Bagaimana pula dengan golongan wanita dalam lingkungan usia ini yang hamil melalui kaedah IVF atau seumpamanya? Adakah terdapat perbezaan risiko dengan pengamal IVF yang masih muda?

Pengamal IVF yang masih muda, secara amnya, lebih mudah untuk hamil berbanding pengamal IVF berusia 35 tahun ke atas. Ini akan diterangkan oleh Pakar Kesuburan semasa sesi kaunseling, tentang sebab, cara mengatasi dan sebagainya.

Risiko kecacatan janin, keguguran, darah tinggi, kencing manis dan masalah-masalah lain adalah lebih tinggi bagi pengamal IVF berusia 35 tahun ke atas berbanding pengamal IVF yang lebih muda.

6. Adakah hamil di usia lanjut ini boleh memberikan kesan kepada kesihatan si ibu setelah tua? (Long term effect)

Wanita yang hamil di usia lanjut dan kekal sihat tanpa sebarang masalah pada diri dan bayi beliau selalunya tidak mengalami kesan berpanjangan (long term effect) dari kehamilan tersebut.

Namun, sekiranya wanita tersebut mengalami masalah kesihatan semasa hamil seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya, mereka mempunyai kadar yang lebih tinggi untuk terus kekal dengan masalah ini selepas bersalin.

7. Adakah perlu untuk wanita yang menginjak usia 35 tahun ke atas ini melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum hamil?

Ya, sebaiknya mereka lakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum hamil.

Sekiranya mereka didapati mempunyai risiko penyakit, mereka perlu melakukan perkara-perkara yang disarankan doktor untuk mengoptimumkan kesihatan mereka sebelum kehamilan.

8. Adakah peluang untuk hamil bagi wanita berusia 35 tahun ke atas ini rendah?

Secara umum, kadar kesuburan wanita menurun dengan cepat selepas usia 35 tahun. Puratanya, kadar kesuburan seseorang wanita hanya sekitar lima peratus apabila mencapai usia 40 tahun.

9. Sekiranya ya (merujuk kepada soalan 8), apa cara terbaik boleh diamalkan untuk wanita yang berhasrat hamil pada usia ini?

Pastikan tahap kesihatan anda optimum untuk memastikan proses kehamilan anda berjalan dengan lancar. Anda juga perlu memantau tarikh dan kitaran haid dengan muat turun (download) laman sesawang aplikasi kalendar kitaran haid (menstrual calendar), untuk mengenalpasti jangka waktu subur anda.

Perlu diingatkan tarikh jangkaan ini tidak semestinya betul. Justeru selepas enam bulan mencuba kaedah ini (TTC) dan masih gagal, anda dinasihatkan untuk berjuma Pakar Kesuburan bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan selanjutnya.

Untuk mereka yang berkahwin selepas usia 35 tahun pula, tempoh mencuba untuk hamil adalah enam bulan sahaja. Selepas 6 bulan, sekiranya anda masih gagal untuk hamil, anda dinasihatkan berjumpa pakar kesuburan untuk nasihat, pemeriksaan, siasatan dan rawatan yang sepatutnya.

10. Secara keseluruhannya, apakah nasihat daripada doktor untuk wanita dengan kehamilan selepas 35 tahun?

Pada wanita yang mencuba untuk hamil kali pertama di usia 35 tahun ke atas, adalah penting untuk berjumpa Pakar Kesuburan sekiranya masih gagal untuk hamil selepas mencuba selama enam bulan.

Untuk wanita 35 tahun ke atas yang ingin hamil bagi tujuan menambah bilangan zuriat, ia adalah perakara biasa apabila anda perlu mencuba untuk tempoh yang lebih lama berbanding ketika anda muda dahulu.

Anda masih boleh berjumpa Pakar Kesuburan untuk nasihat dan pemeriksaan selepas setahun mencuba, kerana masalah kesuburan masih boleh berlaku walaupun kita pernah hamil dan melahirkan zuriat.


Untuk ketahui pelbagai lagi info dan perkongsian daripada pakar, jom klik di SINI Mama!