KelabMama

Air Kelapa Kurangkan Risiko Bersalin Pramatang, Bagus Untuk Air Ketuban

Kehamilan memberi tekanan yang kuat kepada seluruh badan kita dan membuatkan kita jadi cepat letih . Ditambah pula ketika hamil mama kena lebih berhati-hati dalam memilih makanan dan semestinya ia berkhasiat untuk mama hamil. Tahukah mama dengan meminum air kelapa dapat kurangkan risiko bersalin pramatang dan air kelapa ia sangat bagus untuk air ketuban mama?

Khasiat Air Kepala Untuk Mama Hamil

#Melawas kencing

Dalam air kelapa mengandungi pelbagai sumber mineral seperti potassium dan magnesium yang bantu melawaskan air kencing atau melancarkan penyingkiran air kencing. Ia sangat membantu mama hamil membersihkan saluran usus daripada toksin disamping menghalang pembentukan batu karang atau sebarang jangkitan. Ia juga dapat mengurangkan risiko bersalin pramatang tau!

#Minuman tenaga semulajadi

Mual, muntah atau cirit birit ketika hamil boleh membuatkan mama cepat letih sebab dehidrasi. Elektrolit semulajadi yang terdapat dalam air kelapa seperti sodium, kalsium, potassium dan fosforus sedikit sebanyak dapat seimbangkan pH tubuh dan tekanan darah mama. Sangat membantu untuk mengembalikan tenaga mama dan fungsi pada otot.

#Sejukkan badan

Saat kehamilan mama pasti akan rasa bahang, panas dan tak selesakan? Air kelapa ni bersifat sejuk dapat buatkan mama rasa lebih segar dan kawal rasa panas badan disebabkan perubahan hormon.

#Legakan pedih ulu hati, sembelit dan masalah pencernaan

Kalau mama nak tahu, air kelapa ni kaya dengan serat dan ia membantu legakan rasa pedih ulu hati, sembelit atau masalah pencernaan yang selalu berlaku disebabkan perubahan hormon dengan meneutralkan kandungan asid dalam perut mama.

#Tingkatkan imuniti

Dalam air kelapa ni turut mengandungi vitamin, mineral serta antioksidan yang boleh meningkatkan kekuatan pertahanan badan secara semulajadi. Kandungan asid laurik didalam air kelapa juga boleh membunuh bakteria dan jangkitan seperti selsema dan mengekalkan bakteria baik.

#Kekalkan berat badan

Menariknya, air kelapa ni rendah kalori dan lemak. Ia minuman alternatif yang baik bagi menggantikan air manis kerana ia semulajadi tanpa campuran perasa mahupun bahan pengawet. Kandungan gulanya rendah, selamat diminum dan tak menyebabkan diabetes gestasi kepada mama hamil.

#Bagus untuk air ketuban

Menurut Hello Doktor, kalau mama hamil minum air kelapa ia dapat membantu mengoptimumkan tahap air ketuban. Ini secara tak langsung melancarkan isipadu darah mama hamil dan baik untuk bayi dalam kandungan.

Tak hairanlah kenapa mama hamil digalakkan meminum air kelapa terutamanya di hujung kehamilan kerana banyak khasiatnya untuk mama serta kandungan. Tapi kena pastikan air kelapa yang diminum adalah pure ye tanpa campuran gula dan lebih baik tanpa ais.

Sumber : siraplimau

BACA JUGA TIPS BAGI MENGURANGKAN KAKI BENGKAK KETIKA HAMIL

Pesan Mama Siti

Mama Siti dulu pun amalkan minum air kelapa pure dihujung kehamilan. Memang terbukti kebenaran khasiat air kelapa ni. Apa-apa pun dapatkan nasihat doktor dulu ye sebelum minum air kelapa kerana takut ada mama hamil yang alahan pula nanti. Semoga bermanfaat!