KelabMama

Ziarah Bayi Baru Lahir – Ingat 5 Perkara Ini!

elak 5 perkara semasa ziarah bayi baru lahir

Image from Adobe Stock

Bila ada saudara atau kawan-kawan yang baru bersalin, kita selalu akan pergi melawat kan? Bawa hadiah, buah tangan dan sebagainyalah. Tapi Mama Siti nak ingatkan pada semua, tolong elakkan perkara ini semasa ziarah bayi baru lahir. Bukan apa, demi keselamatan si comel itu juga sebenarnya.

Apa perkara yang patut dielakkan itu? Jom Mama Siti terangkan!

Perkara Yang Perlu Dielakkan Ketika Ziarah Bayi Baru Lahir

Dalam satu posting oleh Dr Ahmad Luqman Bukhari, dari laman Facebooknya, beliau kongsikan 5 perkara yang kita kena elak semasa melawat bayi baru lahir.

#1 Tolong jangan sesuka hati nak pegang lepas tu nak angkat pula bayi tu. Kadang tu konon dah geram sangat, dicium-ciumnya pipi tembam budak tu.

Seperti yang kita tahu, sistem imunisasi bayi sangat rendah dan perkembangan mereka masih belum matang. Kita bukannya nampak segala kuman dekat tangan, dengan mulut kita. Kuman-kuman itu boleh mengancam nyawa si comel kerana ketahanan badan mereka masih lemah.

Kuman-kuman itu mungkin tak memberi sebarang kesan kepada kita kerana badan kita sudah lengkap dengan imunisasi yang kuat namun berbahaya kepada bayi.

#2 Kalau dah nampak baby tu tengah sedap tidur, janganlah duk gatal nak kejutkan dia.

Dr Ahmad Luqman kata, tak payahlah nak tengok mata ke senyuman baby tu. Bukannya baby itu boleh nampak lagi siapa di depan dia. Matanya masih dalam proses perkembangan, waktu baru lahir ini, dia baru boleh nampak seperti bayang-bayang je. Jadinya, tak perlulah nak ‘bercak-cak’ dengan si comel.

Lagi memeningkan kepala bila dikejutnya bayi yang baru je tidur. Bukan senang tau nak tidurkan bayi ini. Jangan kita menjadi penyebab stress dan depression kepada mama dalam pantang ye! Kesian mama-mama nak melayan perangai tetamu yang memeningkan kepala.

#3 Tak usah nak tunjuk pandai mengajar petua macam-macam dekat mama muda tu.

Elakkan menjadi makcik bawang rangers semasa ziarah bayi baru lahir dan si mama. Tak perlu nak bagi tips atau petua, ini boleh, itu tak boleh. Kalau si ibu tu bertanya tak apa lah kan, ini orang tak tanya pun.

Apa yang perlu kita kongsi adalah kata-kata semangat kerana sokongan moral adalah perkara yang paling diperlukan oleh ibu-ibu yang baru bersalin. Kadang emosi mereka tak berapa stabil, haaa kita lah kena sumbangkan positivity dan jadi pembakar semangat kepada mereka.

#4 Datang melawat tapi lepas tu tak reti-reti nak balik.

Ingat ye, jangan lah kita duduk lama-lama dekat rumah orang. Bukan tak boleh, tapi mama yang baru bersalin ni perlukan rehat yang banyak. Badan mereka masih dalam keletihan kerana banyak tenaga yang dah digunakan masa bersalin.

Ni kalau datang ziarah bukan main lama, berborak riang dengan suara nyaring sampai satu taman boleh dengar, tak ke stress mak tadi.

Silap haribulan stress dia tu sampai buatkan dia terkena penyakit meroyan (postpartum depression). Nauzubillah.

Jangan jadi golongan yang tak ada common sense tau. Bukan tak boleh nak berborak, boleh tapi agak-agak lah. Nanti bila si mama tu dah sihat sempurna, haa sembanglah sampai tak ada topik nak diborakkan – hahaha.

#5 Mana yang rasa diri tu suka merokok, tolonglah jangan sengaja datang duk dekat dengan baby tu.

Bagi yang merokok, Mama Siti harap awak-awak semua tak datang dekat dengan bayi ye.

“Saya merokok tadi, dah lama dah. Dua-tiga jam lepas, takkan tak boleh Mama Siti?”

Tak boleh, sebab habuk asap rokok, partikel nicotine dan bahan kimia lain masih melekat pada rambut, mulut, kulit dan pakaian tu semua. Si kecil boleh terkena semput kalau dia terhidu atau tersedut bahan-bahan ini kerana saluran pernafasan mereka masih halus, malah juga boleh mengakibatkan keradangan.

Semua yang saya tulis ni sebenarnya tanpa sedar selalu kita buat masa berziarah kat rumah orang. Tak nak lah niat baik kita nak rapatkan silaturahim akhirnya beri kesan buruk pada kesihatan mak yang tengah berpantang dan kesihatan bayi yang masih kecil.

Biasa sangat kami jumpa bayi yang terpaksa kena cucuk ambil darah kemudian admit masuk wad sebab berjangkit dengan orang dewasa yang tak sihat. Kesian woih.

Dr Ahmad Luqman Bukhari

Mama Siti harap lepas ini, kita semua tak lagi buat perkara-perkara ini. Sama-sama kita ingatkan orang lain dan diri sendiri juga. Jangan lupa kongsikan info ini dengan keluarga dan kawan-kawan dalam group WhatsApp dan Facebook, okay?

Sumber: Dr Ahmad Luqman Bukhari

BACA LAGI IMUNISASI BAYI PENTING. JANGAN SKIP JADUAL!

Pesan Mama Siti

Ingat 5 perkara ini sebelum kita melawat atau ziarah bayi baru lahir dan mama baru bersalin. Mama Siti tak nak awak semua menjadi punca kepada masalah kesihatan yang dihadapi oleh si comel dan mamanya pada masa depan. Lagipun tengah musim pandemik ini, elakkan terus melawat atau menziarah. Bila semua dah reda nanti, tak apalah kan. Semoga #kitajagakita sentiasa!