KelabMama

YOGA BAGUS DIAMALKAN MAMA YANG SERING SAKIT SENDI

Yoga adalah antara senaman yang menjadi pilihan ramai wanita masa kini. Mungkin kerana anda tidak perlu berlari termengah-mengah seperti berjoging, dilakukan di tempat tertutup dan anda tidak segan untuk melakukannya. Malah, yoga juga mudah diamalkan di rumah pada bila-bila waktu terluang. Namun, pengendalian yoga sendiri di rumah agak bahaya jika postur yang ingin dilakukan agak berisisko. Yoga memberikan banyak manfaat untuk kecantikan dalaman dan luaran tubuh kita. Jelas permintaan untuk senaman yoga kini tinggi terutamanya pada yang tinggal di bandar metropolitan. Apakah kebaikan yoga sehingga menjadi pilihan ramai wanita di luar sana? Terdapat banyak kebaikan yoga buat kesihatan kita.

Mencari senaman yang boleh menghilangkan tekanan di kepala anda? Yoga adalah antara senaman yang efektif untuk menghilangkan segala stress yang membelenggu pada diri. Disiplin pada senaman yoga memerlukan anda sentiasa tenang dan menjaga pernafasan ketika melakukan jenis senaman yang diinginkan. Secara tidak langsung, ia akan melatih anda sentiasa tenang jika menghadapi apa-apa cabaran dan dugaan yang mendatang. Sikap panas baran juga dapat dikikis secara berperingkat.

 

Sama seperti senaman lain, kebaikan yoga juga mampu untuk menurunkan berat badan. Walaupun impak senaman yoga tidaklah setinggi jika anda pergi berjoging, melakukan senaman di gim ataupun menari, namun ia tetap dapat membantu  anda menurunkan berat badan. Jumlah kalori yang mampu dibakar ketika melakukan senaman yoga selama sejam ialah sebanyak 240 kalori, iaitu ibarat anda berjalan dan berkebun selama sejam!

 

Antara kebaikan yoga yang lain ialah ia boleh membaiki kembali sturktur badan anda. Mungkin sebelum ini anda duduk tegak dan jarang bergerak semasa bekerja di pejabat. Ia membuatkan ketegangan pada otot dan membuatkan anda mengalami sakit sendi. Apabila anda melakukan senaman yoga, ia dapat membantu masalah ketegangan otot sendi anda. Senaman yoga menuntut semua pergerakan otot anda menjadi lebih fleksibel. Secara tidak langsung, semua otot anda akan bergerak dan membantu membaiki postur badan anda kembali normal.

 

Seperti yang dimaklumkan di atas tadi, kebaikan yoga antara lain adalah membantu menjadikan tubuh badan anda menjadi lebih fleksibel. Pergerakan pada senaman yoga menuntut seluruh tubuh badan anda bergerak dan pergerakan yang sukar akan menjadikan anda lebih fleksibel. Apabila tubuh fleksibel, badan anda akan lebih seimbang dan otot  jadi lebih kuat. Di samping itu, ia juga menyenangkan anda untuk melakukan sebarang kerja atau senaman tanpa sebarang masalah.

 

Jangan terkejut kerana antara kebaikan yoga ialah dapat meningkatkan daya kosentrasi anda. Yoga bukan sahaja senaman yang melibatkan fizikal, malah juga menuntut kekuatan mental anda. Senaman yoga memerlukan anda untuk sentiasa tenang dan kosongkan fikiran untuk melakukannya. Jelas ia dapat membantu dan melatih anda meningkatkan tahap kosentrasi untuk sentiasa fokus dengan sesuatu yang anda lakukan. Namun, awas! Jika baru ingin memulakan senaman yoga, pastikan anda mengambil jurulatih yang bertauliah untuk memantau senaman tersebut.

 

Postur badan dan teknik dalam yoga mempunyai kelebihan yang berlainan. Postur terbaik dalam yoga antaranya posisi ‘Wheel Pose’ yang boleh meningkatkan imunisasi sistem tubuh badan yang terbukti dapat menguatkan otot di bahagian perut, merangsang tiroid dan kelenjar pituitary yang boleh meningkatkan daya ketahanan tubuh badan kita. Malah mampu menjadikan badan lebih fleksibel.

 

Sesuai untuk anda yang sering diserang migrain, yoga berkesan mengurangkan kesakitan jika diamalkan selama tiga bulan berturut-turut. Posisi Downward Dog Pose membantu meningkatkan aliran darah ke otak sekali gus merehatkan tekanan di bahagian kepala anda.

 

Kajian yang dilakukan oleh Universiti Harvard mendapati bahawa lapan minggu mengamalkan senaman yoga dapat meningkatkan kualiti tidur yang baik bagi mereka yang mengidap insomnia. Kesukaran untuk tidur adalah disebabkan otak anda aktif sehingga tidak boleh melelapkan mata. Posisi Child Pose mampu merehatkan minda serta mengurangkan tekanan yang dihadapi. Tarik nafas sedalamannya untuk melancarkan peredaran darah ke otak dan seluruh tubuh.