Pernah tak tiba-tiba rasa dunia berpusing walaupun kita sedang baring atau duduk diam? Nak bangun tak berani, nak pejam mata pun rasa makin terhuyung-hayang. Ramai orang anggap ini sekadar pening kepala biasa, tapi sebenarnya ia mungkin tanda vertigo.
Vertigo bukan penyakit, sebaliknya satu gejala yang selalunya berkait rapat dengan masalah keseimbangan, terutamanya pada telinga dalam atau sistem saraf. Walaupun kedengaran biasa, vertigo boleh menjejaskan rutin harian kalau tak difahami dan diurus dengan betul.
Apa Sebenarnya Vertigo?
Vertigo ialah keadaan di mana seseorang merasakan sensasi berpusing, sama ada diri sendiri yang berpusing atau persekitaran sekeliling terasa bergerak. Bezanya dengan pening biasa, vertigo selalunya datang bersama rasa hilang keseimbangan, loya, muntah, dan kadang-kadang pandangan jadi kabur.
Ada yang alami vertigo hanya beberapa saat, ada juga yang berlarutan hingga berjam-jam atau berhari-hari, bergantung pada puncanya.
Dan ramai juga yang keliru antara vertigo dan pening biasa. Walaupun kedua-duanya melibatkan rasa tidak selesa di kepala, sebenarnya ia sangat berbeza dari segi punca dan pengalaman.
Pening biasa biasanya menyebabkan rasa ringan di kepala, seperti mahu pitam. Tetapi untuk vertigo, ia akan menyebabkan sensasi pergerakan yang jelas seperti berpusing, terapung atau terhuyung-hayang.
Dalam kes vertigo, pergerakan ini dirasakan sangat nyata dan boleh menyebabkan seseorang terpaksa berbaring untuk mengurangkan simptom.
Apakah Punca-Punca Vertigo?
Vertigo selalunya datang tanpa amaran. Ada yang bangun tidur terus rasa dunia berpusing, ada juga yang baru menoleh sedikit, tiba-tiba hilang keseimbangan. Hakikatnya, punca vertigo kadangkala tidak dapat dikenal pasti dengan jelas, terutamanya jika ia berlaku sekali-sekala atau sembuh dengan sendiri.
Namun, dalam kebanyakan kes, vertigo mempunyai kaitan rapat dengan masalah pada telinga dalam, iaitu bahagian penting yang membantu kita mengekalkan keseimbangan badan.
Antara punca vertigo yang paling biasa termasuklah keadaan-keadaan berikut:
1. Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV)
BPPV merupakan antara punca vertigo yang paling kerap berlaku, terutamanya dalam kalangan orang dewasa dan warga emas. Ia berlaku apabila zarah kalsium kecil, yang dikenali sebagai canaliths, berkumpul dan bergerak ke bahagian saluran telinga dalam yang sensitif terhadap pergerakan.
Apabila kepala digerakkan, zarah ini akan mengganggu pergerakan cecair normal dalam telinga dalam, lalu menghantar isyarat palsu kepada otak tentang kedudukan kepala. Akibatnya, Mama akan terasa seolah-olah dunia berpusing secara tiba-tiba.
Vertigo akibat BPPV selalunya berlaku apabila bangun dari tidur, baring mengiring, menoleh atau mendongakkan kepala. Walaupun menakutkan, BPPV sebenarnya tidak berbahaya dan boleh dirawat dengan teknik pergerakan tertentu.
2. Neuritis Vestibular atau Labyrinthitis
Neuritis vestibular dan labyrinthitis pula melibatkan keradangan pada saraf atau struktur telinga dalam. Keadaan ini sering disebabkan oleh jangkitan virus, seperti selesema atau jangkitan saluran pernafasan atas.
Vertigo akibat masalah ini biasanya datang secara tiba-tiba dan teruk, dan boleh berlarutan selama beberapa hari. Pesakit mungkin mengalami loya yang kuat, muntah serta kesukaran untuk berdiri atau berjalan.
Labyrinthitis selalunya turut melibatkan masalah pendengaran, manakala neuritis vestibular lebih tertumpu kepada gangguan keseimbangan sahaja.
3. Penyakit Ménière
Penyakit Ménière ialah gangguan kronik pada telinga dalam yang dikaitkan dengan pengumpulan cecair berlebihan. Keadaan ini menyebabkan episod vertigo yang berulang, disertai dengan kehilangan pendengaran sementara atau berpanjangan, telinga berdengung dan rasa penuh di dalam telinga.
Serangan vertigo akibat Ménière boleh berlaku secara mengejut dan berlangsung dari beberapa minit hingga beberapa jam. Bagi sesetengah individu, keadaan ini boleh menjejaskan rutin harian dan emosi kerana ia datang tanpa amaran yang jelas.
4. Migrain Vestibular
Tidak semua vertigo berpunca daripada masalah telinga. Dalam sesetengah kes, vertigo berkait rapat dengan migrain, yang dikenali sebagai migrain vestibular. Menariknya, ada individu yang mengalami vertigo walaupun tanpa sakit kepala yang teruk.
Migrain vestibular biasanya disertai dengan simptom lain seperti penglihatan kabur, silau cahaya, sensitiviti kepada bunyi serta rasa tidak selesa di kepala. Faktor seperti stres, kurang tidur dan perubahan hormon juga boleh mencetuskan keadaan ini.
Punca Lain yang Perlu Ketahui
Selain faktor di atas, vertigo juga boleh berpunca daripada:
- Kecederaan kepala, terutamanya selepas kemalangan.
- Penggunaan ubat tertentu, seperti ubat tekanan darah atau penenang.
- Masalah aliran darah ke otak.
- Tekanan emosi dan keletihan melampau.
Walaupun ada kes vertigo yang tidak serius, memahami punca-punca ini amat penting supaya rawatan yang diambil lebih tepat dan berkesan.
Apakah Simptom Vertigo?
Vertigo boleh membuatkan Mama berasa seolah-olah dunia sedang berpusing, walaupun badan sebenarnya tidak bergerak. Ada yang rasa badan sendiri menyendeng atau terhuyung-hayang, seolah-olah hilang imbangan sepenuhnya.
Rasa ini boleh berlaku sekejap sahaja, beberapa minit, berjam-jam, malah ada yang berlarutan sehingga sehari. Biasanya, pergerakan kepala, menukar posisi seperti berdiri atau berpusing di atas katil, malah batuk atau bersin boleh membuatkan simptom bertambah teruk.
Selain itu, bergantung kepada punca vertigo, ada juga yang mengalami:
- Loya dan muntah, terutama jika rasa berpusing terlalu kuat.
- Sakit kepala atau menjadi lebih sensitif terhadap cahaya dan bunyi.
- Penglihatan berganda.
- Kesukaran bercakap atau menelan.
- Rasa lemah pada badan.
- Berpeluh, degupan jantung menjadi laju atau rasa sesak nafas.
Apa yang Perlu Dilakukan Semasa Serangan Vertigo
Kalau tiba-tiba rasa dunia berpusing atau hilang keseimbangan, jangan panik dulu. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah berhenti bergerak dan beri badan masa untuk stabil.
Tidur menelentang mungkin membantu mengurangkan simptom vertigo bagi sesetengah Mama, namun ia tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Posisi ini dipercayai dapat membantu mengekalkan keseimbangan deposit kalsium dalam saluran telinga dalaman, yang sering menjadi punca pening berpusing.
Selain itu, tidur menelentang juga dikatakan dapat mengurangkan risiko kebocoran cecair perilymph, keadaan yang sering dikaitkan dengan penyakit Ménière. Kalau Mama memilih posisi ini, pastikan kepala berada sedikit tinggi dengan bantuan bantal kerana posisi tersebut biasanya tidak mencetuskan BPPV (Benign Paroxysmal Positional Vertigo).
Kalau berada di luar rumah atau tempat yang tak boleh baring, duduk sahaja di tempat yang selamat dan tunggu sehingga vertigo reda. Dan kalau tengah memandu pun, berhenti di tempat selamat dulu.
Bergerak atau berdiri semasa serangan vertigo bukan sahaja tak membantu, malah boleh menyebabkan jatuh dan kecederaan. Jadi, fokus utama masa itu adalah tenang, rehat, dan selamatkan diri dulu.
Vertigo memang boleh buat hari-hari Mama rasa terganggu, dari rasa berpusing sekejap hingga hilang imbangan ketika berjalan. Tapi jangan risau, cara pengurusan dan posisi tidur yang sesuai, kita boleh kurangkan rasa tidak selesa dan rasa cemas bila serangan datang.
Kalau simptom berlarutan atau semakin teruk, jangan tunggu lama-lama, terus jumpa doktor untuk pastikan semuanya selamat. Ingat, sedikit perhatian dan langkah mudah boleh buat hari-hari kita lebih tenang dan selesa walaupun berdepan vertigo.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak info tentang kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.
