KelabMama

Pakar Menjawab Segala Persoalan Mengenai Kesan Vaksin COVID-19 Terhadap Kesuburan & Ibu Hamil

Umum mengetahui bahawa ibu mengandung di Malaysia sangat digalakkan untuk mendapatkan vaksin COVID-19. Mama Siti juga percaya ramai di antara Mama yang sudah lengkap mengambil vaksin, tetapi masih ada juga yang ragu-ragu terutamanya bagi mereka yang baru mendapati diri mereka sedang hamil.

KelabMama dengan kolaborasi bersama Motherhood Story, telah menemu bual Dr Sumithra Devi Valiapan, seorang Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan di Sunfert International Fertility Centre untuk menjawab segala persoalan berkaitan vaksin COVID-19 dengan kesuburan dan kehamilan.

Sumber: halodoc.com

S1: Masih banyak lagi ibu hamil di Malaysia yang risaukan kesan vaksin COVID-19 kepada kehamilan dan kandungan. Boleh doktor jelaskan dengan lebih lanjut?

Dr Sumithra: Data terbaru menunjukkan bahawa wanita hamil mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk, terutama sekali pada waktu akhir trimester kedua dan sepanjang trimester ketiga.

Pemberian vaksin COVID-19 adalah cara yang terbaik untuk melindungi wanita hamil dari jangkitan COVID-19 yang teruk sehingga terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 juga berisiko untuk melahirkan bayi pramatang dan kematian bayi dalam kandungan.

Vaksin COVID-19 yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah selamat untuk wanita hamil. Data terkini mengenai vaksinasi COVID-19 tidak menemukan sebarang masalah keselamatan akibat pemberian vaksin kepada wanita hamil mahupun bayi dalam kandungan. Setakat ini, laporan mengenai kesan sampingan seperti alahan yang teruk atau terbentuknya darah beku adalah sangat jarang berlaku.

Walaupun benar masih belum banyak data mengenai kesan jangka panjang vaksin COVID-19 pada bayi, namun data dari pemberian vaksin selain COVID-19 kepada wanita sewaktu hamil tidak menunjukkan apa-apa masalah keselamatan yang membimbangkan.

S2: Saya masih berada pada trimester pertama kehamilan. Bolehkah saya mendapatkan vaksin semasa trimester ini? Jika tidak, bilakah masa yang sesuai untuk mendapatkan vaksin?

Dr Sumithra: Perkongsian data sedunia mengenai virus COVID-19 dan vaksinnya berkembang dengan kadar yang sangat pesat sehingga Kerajaan Malaysia and Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat membentuk garis panduan vaksinasi dan penanganan COVID-19 negara yang terkini berdasarkan data tersebut.

Sumber: covid-19.moh.gov.my

Dua belas minggu pertama kehamilan adalah waktu yang sangat penting dimana sistem organ bayi sedang terbentuk di dalam kandungan, risiko keguguran juga adalah lebih tinggi pada waktu ini.

Oleh kerana itu, KKM mengambil langkah berhati-hati dalam mencadangkan pemberian vaksin setelah minggu ke-12 kehamilan dan bukan disebabkan adanya data yang menunjukkan kesan sampingan terhadap pembentukkan janin sebelum usia kandungan 12 minggu.

S3: Baru-baru ini, kerajaan Malaysia telah mengumumkan suntikan dos ketiga vaksin COVID-19. Adakah ibu mengandung harus mengambil dos ketiga ini? Adakah ia akan memberi kesan sampingan kepada kehamilan dan tumbesaran bayi dalam kandungan?

Dr Sumithra: Faktor keselamatan merupakan alasan utama mengapa wanita hamil dan kanak-kanak biasanya golongan terakhir untuk menerima mana-mana ubat atau vaksin yang masih baru. Oleh kerana itu, garis panduan penerimaan vaksin untuk golongan ini hanya akan ditetapkan setelah kajian terperinci dilakukan terhadap data yang sedia ada.

Sumber: covid-19.moh.gov.my

Virus COVID-19 masih berleluasa di negara kita dan kita tahu akan kesan buruk jangkitan virus tersebut terhadap wanita hamil. Pemberian vaksin COVID-19 terbukti selamat digunakan pada wanita hamil, malah berupaya melindungi keselamatan dan kesihatan bayi dalam kandungan.

Walaupun begitu, perlindungan tersebut adalah tidak bersifat kekal dan perlu di tambah dari masa ke semasa maka dos ketiga vaksin COVID-19 perlu dipertimbangkan.

Data laporan kajian dalam populasi mendapati bahawa pemberian vaksin kepada wanita hamil adalah selamat digunakan serta tiada kesan sampingan yang serius dan juga tidak meningkatkan risiko komplikasi sepanjang kehamilan mahupun sewaktu proses kelahiran.

Namun, sayangnya, terdapat beberapa kekeliruan yang tersebar yang mengaitkan vaksin dan ibu hamil sehingga mengakibatkan adanya wanita hamil menolak pemberian vaksin yang terbukti dapat mengurangkan risiko komplikasi dari jangkitan virus COVID-19 terhadap dirinya serta bayinya.

S4: Apakah vaksin COVID-19 memberi kesan kepada tahap kesuburan wanita dan lelaki?

Dr Sumithra: Tiada bukti yang menunjukkan vaksin COVID-19 dapat menjejaskan kesuburan lelaki mahupun wanita.

S5: Saya sedang menjalani rawatan IVF. Adakah ia akan memberi kesan kepada rawatan tersebut – sama ada semasa atau selepas rawatan?

Dr Sumithra: Pasangan yang ingin memulakan rawatan kesuburan digalakkan melengkapkan dos vaksin COVID-19 sebelum memulakan rawatan, tetapi, masih boleh mendapatkan vaksinasi walaupun sewaktu rawatan kesuburan sedang dijalankan.

Sumber: mom.com

Pemberian vaksin semasa rawatan kesuburan tidak memberi kesan kepada hasil rawatan kesuburan tersebut namun adalah lebih baik prosedur rawatan kesuburan dan vaksinasi dijarakkan beberapa hari supaya sekiranya terjadi kesan sampingan setelah rawatan ataupun vaksinasi, ianya dapat dibezakan.

S6: Buat pasangan yang sedang merancang untuk mendapatkan rawatan kesuburan, patutkah mereka meneruskan rawatan kesuburan sebelum lengkap vaksin atau selepas? Dan apakah sebabnya?

Dr Sumithra: Sebaiknya, pasangan yang ingin memulakan rawatan kesuburan digalakkan melengkapkan kedua-dua dos vaksin COVID-19 sebelum memulakan rawatan bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan sepenuhnya daripada virus tersebut.

Tidak ada kontraindikasi untuk mendapatkan rawatan kesuburan dan vaksin pada waktu yang sama. Sehingga kini, tiada data yang menunjukkan kesan negatif vaksin terhadap kesuburan, risiko keguguran mahupun perkembangan bayi dalam kandungan.

Sumber: dnaindia.com

S7: Apakah vaksin COVID-19 akan meningkatkan risiko komplikasi semasa bersalin nanti?

Dr Sumithra: Wanita hamil cenderung untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang lebih teruk seperti komplikasi pernafasan sehingga memerlukan rawatan intensif (alat bantuan pernafasan) dan juga mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi terutama pada akhir trimester kedua dan sepanjang trimester ketiga.

Kebanyakkan kes dimana wanita hamil menghidap komplikasi jangkitan penyakit COVID-19 yang serius terpaksa melalui pembedahan secara cesarean untuk melahirkan bayi walaupun pramatang, adalah supaya wanita tersebut dapat bernafas dengan lebih baik.

Ini boleh menyebabkan bayi tersebut mendapat komplikasi dari sistem organ yang belum matang sepenuhnya dan pada sesetengah bayi, komplikasi tersebut adalah bersifat kekal. Risiko bayi lahir mati (stillbirth) pada wanita yang terjangkiti dengan virus COVID-19 juga adalah lebih tinggi.

Bukti kajian terkini menunjukkan vaksinasi tidak meningkatkan risiko keguguran, kecacatan bayi dalam kandungan, kelahiran pramatang, kelahiran mati mahupun kelainan pada bayi yang baru lahir.

Di waktu pandemik ini, kita dapat lihat bahawa manfaat vaksinasi adalah jauh melebihi sebarang risiko yang mungkin berlaku, bermaksud bahawa, risiko komplikasi jangkitan COVID-19 lebih tinggi berbanding dengan risiko mendapatkan vaksin COVID-19.

Sumber: hmetro.com.my

Semoga perkongsian ini menjawab segala persoalan Mama dan Papa di luar sana. Mama Siti bukanlah ‘yang arif’ tetapi, buat mereka yang masih ragu-ragu dengan vaksin COVID-19, tak kisahlah anda sedang hamil atau tidak, jangan mudah percaya dengan cerita-cerita yang tidak sahih.

Jika timbul rasa bimbang dalam hati, adalah lebih baik untuk anda berjumpa dengan doktor atau mereka yang lebih pakar dan ajukan soalan kepada mereka. Mama juga boleh ikuti webinar-webinar yang banyak menjemput pakar untuk menjawab persoalan Mama.

Ujar Puan Lakshmi General Manager di Sunfert International Fertility Centre,

“Pihak kami di Sunfert International Fertility Centre telah dan masih secara terus-menerus mendidik masyarakat melalui webinar mengenai kepentingan pengambilan vaksin sepenuhnya untuk meminimakan risiko jangkitan terhadap diri sendiri dan juga semasa kehamilan kerana COVID-19 amat mudah tersebarkan di kalangan individu yang berisiko tinggi.”

Sama-samalah kita melengkapkan dos vaksinasi COVID-19 kita agar negara dapat membentuk imuniti kelompok dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Psst…Alhamdulillah, kerajaan dah benarkan pelbagai kelonggaran sekarang – boleh ‘dine-in’, rentas negeri dan sebagainya. Jangan lupa ikut SOP dan jaga penjarakkan ya semua!

Biodata Dr Sumithra Devi Valiapan

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Sumithra memperoleh Master keduanya dalam Perubatan Reproduktif dari University of New South Wales, Australia.

Dia memperoleh Fellowship dalam bidang Reproductive Medicine dari beberapa institusi terkenal di dalam dan luar negara termasuk Fertility Associates dari New Zealand dan terus berlatih sebagai Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan di Hospital Kuala Lumpur sebelum bergabung dengan Sunfert International.