KelabMama

Antara Tugas, Tanggungjawab dan Cita-cita: Pengalaman Mengurus Masa Untuk Kerja, Belajar dan Bercuti Bersama Keluarga

Bila tiba musim cuti sekolah, anak-anaklah yang paling teruja menantikan kehadirannya. “Ma, kita pergi mana cuti nanti?” soalan wajib yang pasti kita hadapi setiap kali cuti sekolah. 

Kebanyakkan para ibu sudah ada jawapan untuk persoalan itu. Namun, pasti ada segelintir para ibu yang bekerja khususnya, masih risau dan tercari-cari waktu dan aktiviti untuk diluangkan bersama keluarga tercinta. Malah, mungkin ada yang rasa bersalah pada anak-anak kerana cuti yang dipohon masih belum mendapat kelulusan.

Awal tahun ini, Mama mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah secara online. Alhamdulillah. Sudah lama Mama idamkan untuk mendalami pengajian Islam, dan pada usia yang dah ‘senja’ ini, cita-cita itu tersambut. 

Menjadi seorang ibu, pekerja dan pelajar pada masa yang sama bukanlah suatu yang mudah. Tetapi, bukanlah juga sesuatu yang mustahil. Mama berbesar hati untuk berkongsi pengalaman sendiri menjadi pekerja dan pelajar yang bertanggungjawab tanpa mengabaikan urusan keluarga. 

#1 Buang rasa bersalah Mom’s Guilt

Mama yakin, semua ibu ada mengalaminya. Mama pernah ketinggalan detik pertama anak meluahkan kata dan mula berjalan. Mama pernah merungut kepenatan melayan karenah anak di tengah malam. Mama pernah kecewa apabila mendapat khabar anak tak berjaya dalam pertandingan di sekolah yang diharap-harap kemenangannya.

Pesan Mama,

Wahai ibu, buanglah rasa bersalah kerana kau terpaksa pergi bekerja di awal pagi, tidak dapat bersarapan bersama dengan si anak. Bukankah kau yang pertama berjaga, mengejutkan seisi keluarga untuk berjuang di siang hari? Bukankah kau yang risau apa nak makan esok hari, hingga terganggu dari tidur? Bukankah kau yang mereka hubungi apabila mereka menghadapi masalah?’

Mama bersetuju dengan pendapat kita adalah apa yang kita fikirkan. Jadi, buang jauh-jauh rasa mom’s guilt yang menghantui minda dan mematahkan semangat. 

#2 Komunikasi & kongsi tanggungjawab

Sentiasa ingatkan diri yang kita tak sendirian. Semua ahli keluarga mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing. 

Berkomunikasilah dengan baik, dan kongsilah tanggungjawab dengan pasangan anda. Mama sangat bertuah kerana ditemukan jodoh dengan pasangan yang sangat mudah untuk berbicara dan dialah teman karib Mama dulu, kini dan selamanya. Chewah! 🙂

Anak-anak juga harus dibiasakan dengan suasana keluarga yang tahu tanggungjawab masing-masing untuk dikongsi. Berikan arahan kepada anak-anak dengan jelas. Lahirkan semangat muafakat membawa berkat. 

Jika anak-anak faham kepentingan mereka di dalam sistem keluarga, serta mendapat contoh yang baik daripada ibu bapa, pasti semua beban tidak tertumpu kepada ibu seorang. 

#3 Gagal merancang itu rancangan kegagalan

Rancang! Rancang! Rancang!

Sejujurnya, Mama bukanlah seorang yang berdisiplin dan merancang aktiviti mendatang. Namun, bila melihatkan senarai tugasan kerja, assignment kuliah dan hal-hal sekolah anak yang memerlukan perhatian Mama, terasa amat sukar sekali jika tidak merancang dengan teliti.

Mama belajar memaksa diri untuk merancang, kerana Mama belajar gagal untuk merancang itu adalah jalan rancangan menuju kegagalan. 

Pesan Mama, mulalah merancang di awal waktu terutama sekali waktu cuti sekolah yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Ingatlah, anak-anak tidak kecil selamanya, mereka membesar dan mendewasakan diri hari demi hari. Jangan lupa, sediakan Plan B jika perlu kerana kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan menentukan. 

Sejak bergelar ibu yang bekerja sambil belajar, Mama juga mengalami masalah ‘kerja separuh jalan’.

Dari kesilapan demi kesilapan, Mama belajar untuk mendisiplinkan diri dan istiqamah melakukan segala apa yang dirancang mengikut keperluan.

Jadi, ingin Mama ingatkan pada para ibu di luar sana, komited dengan apa yang telah dirancang, dan istiqamahlah. 

#4 Dahulukan yang utama 

Selain daripada merancang, Mama juga belajar untuk mendahulukan yang utama dan penting berbanding yang lain. Nasihat Mama, dalami dan selidiki setiap tugasan yang harus diselesaikan. 

Letakkan keutamaan mengikut tetapan waktu dan impak kepada diri dan keluarga jika diabaikan. Yang dahulu, didahulukan. Yang kemudian, dikemudiankan.

Mungkin akan ada pihak yang berasa hati dengan keputusan yang kita buat, tetapi, percayalah, kita tak mampu memuaskan semua pihak. Cukup sekadar kita lakukan yang terbaik dan berdoalah agar mendapat panduan dan bantuan dari Tuhan Yang Maha Penyayang. 

#5 Hargai jasa sendiri

Menjadi seorang ibu bukanlah satu bebanan. Ia adalah anugerah. Walau dimanapun kita berada, berapapun usia anak-anak kita, apa jua keadaannya, kita tetap ibu kepada anak-anak.

Curilah masa untuk menghargai diri kita sendiri. Mama ingat lagi apabila suami Mama menghadiahi pakej spa sewaktu cuti semester baru ini. Mama tertanya-tanya apakah yang dirainya, atau apakah dia sudah berbuat silap dan ingin memohon maaf. Hahaha ni mesti ramai isteri boleh relate kan?

“Tiada apa-apa occasion. Abang rasa awak perlukan masa untuk berehat sekali-sekala,” ujarnya. Terharu Mama mendengar jawapan yang diberinya. 

Waktu Mama di spa adalah waktu yang Mama tunggu setiap bulan.Dimanjakan dengan aman tanpa perlu rasa risau atas segala tugasan yang menanti.

Wahai para ibu, berehatlah sejenak dan helakan nafas tenang. 

Wahai para suami, tak perlu tiba hari ulangtahun perkahwinan untuk menghargai isteri tersayang. 

Wahai anak-anak pula, tak perlu tunggu Hari Ibu untuk menunjukkan rasa terima kasih, kasih dan sayang. 

Alhamdulillah. Mama harap sedikit sebanyak, perkongsian ini dapat mengurangkan rasa kecewa, terbeban dan mustahil yang bersarang di dalam jiwa para ibu di luar sana. Ingatlah, ada sebabnya kita terpilih menjadi seorang ibu, isteri dan wanita. Kerana, kita memang ISTIMEWA!