KelabMama

Pemakanan Mama Menyusu Boleh ‘Trigger’ Masalah Kulit Bayi? Ini Penjelasan Pakar

punca masalah kulit bayi

Dalam tempoh menyusukan bayi, ramai Mama mula lebih peka terhadap pemakanan harian kerana bimbang makanan yang diambil boleh menjejaskan kesihatan bayi. Antara makanan yang menjadi kebimbangan seperti telur, makanan laut, produk tenusu atau makanan manis boleh mencetuskan masalah kulit pada bayi, termasuk ruam, ekzema atau gatal-gatal.

Ada Mama yang terus mengelak untuk mengambil makanan tertentu, semata-mata kerana takut ia memberi kesan kepada kulit bayi.

Dr. Tee Shwu Hoon,
Pakar Perunding Dermatologi

Menurut Dr. Tee Shwu Hoon, Pakar Perunding Dermatologi dari Hospital Columbia Asia – Puchong, penting untuk ibu menyusu mendapatkan maklumat yang tepat dan tidak mudah terpengaruh dengan mitos yang sering berlegar dalam kalangan masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa tidak semua masalah kulit bayi berpunca daripada pemakanan Mama dan setiap kes perlu dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar.

Kefahaman ini dapat membantu Mama membuat pilihan pemakanan yang sihat tanpa menjejaskan proses penyusuan mahupun kesihatan bayi.

1. Ramai bayi kena ruam lampin walaupun Mama dah jaga bersih. Betul ke sebab lampin, atau ada faktor lain macam sabun, susu, atau losyen?

Ya, ruam lampin boleh berlaku walaupun kebersihan dijaga kerana terdapat faktor lain selain lampin yang menyumbang, seperti produk penjagaan kulit, jenis sabun atau losyen, cuaca panas,makanan yang beralergen, masalah alahan dalam keluarga dan banyak lagi.

Risiko untuk mendapat ruam lampin lebih tinggi di golongan bayi yang bermasalah kulit seperti ekzema. Langkah pencegahan yang boleh diambil termasuk penjagaan kebersihan yang teliti, penggunaan produk lembut, dan memberi bayi masa tanpa lampin.

2. Ekzema ni sebenarnya penyakit keturunan ke? Kalau Mama Papa ada, confirm anak pun kena? Dan boleh ke ekzema “hilang sendiri” bila anak dah besar?

Atopik ekzema adalah penyakit kulit yang berkaitan dengan faktor genetik. Ini bermakna ia boleh diwarisi dalam keluarga dan ia juga boleh berlaku akibat gabungan faktor genetik dan faktor pencetus lain.

Faktor risiko paling kuat untuk atopik ekzema ialah sejarah keluarga atopi (ekzema, asma, atau resdung). Genetik boleh menyebabkan mutasi gen pada kulit, kulit mengalami kerosakan dan tidak berfungsi dengan baik sebagai pelindung kulit.

Faktor risiko lain termasuk pendedahan alam sekitar (contoh: pencemaran udara,perubahan suhu atau cuaca panas/sejuk), tekanan hidup, dan juga pendedahan kepada haiwan peliharaan.

Kebanyakan kanak-kanak dengan atopik ekzema pada peringkat awal boleh sembuh sepenuhnya pada masa kanak-kanak lewat, tetapi penyakit ini boleh berterusan sehingga remaja dan dewasa dalam perkadaran kes yang berubah-ubah.

Terdapat kajian menunjukan 20% kanak-kanak mempunyai penyakit berterusan 8 tahun selepas diagnosis dan kurang 5% mempunyai penyakit berterusan 20 tahun selepas diagnosis.

3. Betul ke pemakanan Mama yang menyusu pun boleh trigger masalah kulit anak? Contohnya telur, makanan laut atau makanan manis – adakah ini mitos atau fakta?

Bagi bayi tanpa alahan, diet Mama biasanya tidak memberi kesan kepada kulit mereka. Tetapi, diet Mama yang menyusu mungkin boleh menjejaskan kulit bayi, terutamanya jika bayi mempunyai alahan makanan.

Ini kerana makanan daripada diet Mama boleh masuk ke dalam susu ibu dan, dalam peratusan kecil bayi, mencetuskan tindak balas alahan atau sensitiviti.

4. Gatal-gatal di kulit kepala bayi atau lebih dikenali sebagai scalp psoriasis atau seborrheic dermatitis – macam mana nak kenal pasti dengan betul?

Untuk mengenal pasti sama ada gatal di kulit kepala bayi adalah scalp psoriasis atau seborrheic dermatitis, perhatikan ciri sisiknya.

Psoriasis menyebabkan sisik putih tebal dan bersisik, serta boleh menyebabkan kulit kepala kering dan berdarah jika digaru manakala seborrheic dermatitis menyebabkan sisik kekuningan berminyak dan mudah tanggal.

Seborrheic dermatitis lebih umum pada bayi dan dikenali sebagai cradle cap, manakala psoriasis berlaku pada kulit yang lebih luas dan biasanya pada orang dewasa. Dapatkan nasihat doktor jika anda tidak pasti.

5. Anak selalu ruam merah bila main panas atau berpeluh. Apa cara terbaik untuk kawal heat rash ni selain kipas dan bedak sejuk?

Jika bayi mempunyai ruam panas, Mama Papa boleh mula dengan menanggalkan atau melonggarkan pakaian mereka dan memindahkan mereka ke kawasan yang sejuk.

Mama Papa boleh mengelakkan pendedahan kepada keadaan terlalu panas seperti menyejukkan tubuh di dalam bilik berhawa dingin, mandi dengan air sejuk dan biarkan kulit kering.

Mama Papa sepatutnya memakaikan anak dengan pakaian nipis, terutama pada musim panas dan cuaca panas. Elakkan pakaian ketat yang menjadikan kulit tidak dapat bernafas.

Terutama dalam cuaca panas, bayi harus memakai fabrik yang ringan dan menyerap peluh untuk mengelakkan pembentukan peluh pada kulit. Apabila cuaca panas, cuba jangan terlalu terdedah kepada panas dengan berada di tempat teduh.

6. Ada sesetengah Mama kata sunblock untuk bayi bawah 1 tahun bahaya. Betul ke, atau boleh guna jenis tertentu?

Menurut saranan The Academy American of Dermatology dan The American Academy of Paediatrics, sunscreen tidak disarankan untuk bayi yang berusia bawah 6 bulan.

Menurut The American Academy of Paediatrics, jika langkah pencegahan tidak dapat dilakukan, sunscreen boleh digunakan untuk bayi berusia bawah 6 bulan pada bahagian kulit yang kecil seperti muka. Bagaimanapun, sunscreen selamat dipakai untuk bayi berusia 6 bulan ke atas.

The American Academy of Dermatology menyarankan agar pengguna memakai sunscreen yang mempunyai perlindungan sun protection factor (SPF) sekurang-kurangnya 30 dan ke atas, mempunyai ciri broad spectrum (melindungi kulit dari paparan UVA dan UVB) dan water-resistant (tak luntur air untuk beberapa tempoh termasuk ketahanan sehingga 40 ke 80 minit).

Contohnya tinted sunscreen yang mengandungi titanium dioxide pigment dan zinc oxide dapat melindungi sinaran UVA and UVB serta visible light. Yang penting, Mama Papa perlu memilih sunscreen yang diluluskan of FDA (U.S. Food and Drug Administration). Sebaiknya, cari packaging yang tertera FDA-approved.

7. Krim steroid untuk ekzema selalu buat Mama takut nak gunakan. Betul ke ia bahaya untuk kulit anak, atau sebenarnya selamat kalau ikut cara betul?

Sebenarnya krim steroid memang diperlukan dalam sesetengah keadaan kulit yang yang melibatkan keradangan. Yang penting Mama Papa mesti mendapatkan nasihat daripada doktor dan ikut cara betul.

8. Ada juga Mama yang kata guna minyak kelapa dara atau aloe vera lebih selamat daripada krim doktor. Apa pandangan doktor tentang rawatan natural ni?

Sesetengah bayi yang berkulit sensitif boleh mengalami alahan terhadap rawatan natural. Jika ini berlaku, bayi mungkin mengalami ruam merah yang gatal, gegata, atau gejala lain yang lebih serius. Jadi, Mama Papa perlu berwaspada jika ingin mencuba produk-produk natural ini.

9. Produk bayi di pasaran banyak sangat. Apa yang Mama perlu tengok pada label sebelum beli losyen, sabun atau syampu anak?

Sebelum membeli produk penjagaan anak, Mama Papa perlu perhatikan label untuk memastikan produk bebas daripada bahan berbahaya seperti pewangi buatan.

Periksa juga sama ada produk telah teruji dermatologi dan bersifat hipoalergenik untuk mengurangkan risiko alahan. Sekiranya bayi mempunyai ekzema atau alahan, berikan perhatian lebih kepada produk yang dilabelkan sesuai untuk kulit sensitif atau ekzema.

10. Dalam cuaca Malaysia yang panas dan lembap, apa rutin penjagaan kulit paling basic tapi efektif untuk anak-anak?

Untuk kulit anak-anak di Malaysia yang panas dan lembap, rutin paling asas ialah pembersihan, pelembapan, dan perlindungan matahari setiap hari. Pastikan menggunakan produk yang lembut, tidak mengandungi wangian, bebas bahan kimia keras, dan sesuai untuk kulit sensitif kanak-kanak.

Selepas mandi, sapukan pelembap yang mempunyai tekstur ringan seperti losyen, untuk mengekalkan kelembapan kulit anak. Gunakan pelindung matahari dengan SPF 50 atau lebih tinggi untuk melindungi kulit anak daripada sinaran UV yang berbahaya.

Sapukan pelindung matahari 15 minit sebelum keluar dan sapukan semula setiap dua hingga tiga jam jika anak aktif di luar rumah atau selepas berpeluh dan berenang.

11. Mama mula risau, bila kulit anak kering sampai mengelupas. Patut ke Mama sapu moisturizer setiap hari, atau ada cara lain untuk elak kulit anak terus kering dan menggelupas?

Bila kulit anak kering, Mama Papa perlu sapukan pelembap yang mempunyai tekstur ringan dan sesuai untuk bayi untuk mengekalkan kelembapan kulit anak.

Kulit bayi bukanlah seperti kulit individu dewasa, kulit bayi hilang kelembapannya lebih pantas kerana lapisan dermisnya sedang berkembang dan umumnya lebih mudah telap kelembapan. Kulit bayi juga lebih nipis yang menjadikannya lebih sensitif dan menunjukkan tindak balas kepada keadaan sekitarnya walaupun sedikit.

Jika kulit bayi terlalu kering, pastikan untuk melembapkannya sekurang-kurangnya dua kali sehari terutamanya selepas mandi.

12. Sekiranya anak Mama ada reaksi kulit selepas vaksin. Adakah ini perkara biasa, atau tanda kulit anak sensitif atau tidak serasi dengan vaksin tertentu?

Mama Papa perlu perhatikan perkembangan reaksi kulit anak. Reaksi kulit seperti sedikit bengkak atau kemerahan ringan pada tempat dicucuk mungkin reaksi biasa. Namun, ruam atau rasa gatal yang timbul selepas vaksin boleh menjadi tanda alahan terhadap komponen vaksin.

Sekiranya ruam semakin teruk, disertai gatal berterusan, atau ada tanda-tanda alahan serius lain, Mama Papa perlu dapatkan nasihat doktor dengan segera.

13. Bila masanya yang Mama perlu bawa anak jumpa pakar kulit, bukan sekadar jumpa klinik biasa je?

Mama Papa boleh membawa anak jumpa pakar kulit terutamanya anak mengalami masalah kulit yang serius. Contohnya, sekiranya anak mengalami masalah kulit yang tidak bertambah baik dengan rawatan daripada klink biasa, masalah kulit yang berlarutan dalam jangka masa panjang, ruam kulit yang berulang-ulang.

Selain itu, Mama Papa perlu bawa anak jumpa pakar kulit jika perasan benjolan atau tahi lalat yang kelihatan berbeza pada anak. Kanser kulit adalah salah satu sebab yang paling biasa dan serius orang dewasa mendapatkan penjagaan dermatologi.

Walaupun jarang berlaku pada kanak-kanak, kanser kulit boleh berlaku pada sebarang umur. Dan pada kanak-kanak, ia boleh kelihatan berbeza daripada orang dewasa. Jika pertumbuhan semakin besar, berdarah, berubah warna atau “nampaknya tidak betul” ia harus diperiksa oleh pakar kulit.

Situasi lain ialah apabila pakar pediatrik atau pakar anak Mama mengesyorkan dia berjumpa pakar kulit. Kadangkala, gangguan kulit pada kanak-kanak memerlukan pendekatan khusus. Dan selalunya pakar pediatrik akan bekerjasama dengan pakar dermatologi untuk merawat keadaan kulit kanak-kanak dengan sebaiknya.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak info tentang kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.