KelabMama

Bakal Mama Papa, Ini 4 Topik Penting Anda Harus Berbincang Sebelum Mempunyai Anak

Dalam fasa meniti alam rumah tangga, pastinya menjadi kelaziman untuk setiap pasangan suami isteri merancang pelbagai aspek bagi hidup berkeluarga, termasuklah topik penting seperti perancangan untuk menimang cahaya mata.

Malah, ada suami isteri juga sangat teruja untuk memiliki zuriat di awal tempoh perkahwinan apabila bersedia andainya dikurniakan rezeki ‘bunting pelamin’.

Namun, dalam keghairahan untuk bergelar parents, terdapat beberapa perkara penting yang perlu anda berdua berikan perhatian.

Amanah Allah berikan untuk memiliki cahaya mata ini bukan semudah A-B-C. Silap langkah, kita boleh digelar ibu bapa tak bertanggungjawab, masa depan anak musnah akibat kelalaian kita dan lebih menakutkan adalah usaha membentuk keluarga sakinah gagal hingga membentuk ke arah broken family pula.

Ini semua boleh memberi kesan kepada kita selaku ibu bapa dan anak-anak tatkala mereka dewasa suatu hari nanti.

“Susah sangat ke jadi parents ni?” Kalau ditanya Mama Siti, jawapannya sudah tentu “Ya.” Mungkin mereka yang belum bergelar ibu bapa menganggap kehadiran anak adalah kebahagian dan keseronokan semata-mata.

Namun, selain daripada dua perkara indah ini, penting untuk Mama dan Papa ketahui bab menggalas cabaran dan kesukaran dalam membesarkan cahaya mata.

Dahulu, Mama Siti juga tertanya-tanya, selain daripada pengorbanan berat melahirkan seorang anak itu, apakah situasi sukar untuk ibu bapa hinggakan dalam Islam Allah sangat mengangkat darjat kedua-dua individu hebat ini. Seperti petikan firman Allah dalam surah Luqman ayat 15;

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

Apa yang kita faham dengan ayat di atas adalah, Allah tetap memerintahkan seseorang anak itu untuk terus meghormati kedua ibu bapanya meskipun mereka menyuruh si anak melakukan perbuatan kufur.

Walaupun tidak wajib seorang anak untuk taat pada arahan demikian dan dibenarkan untuk mengingkari suruhan ibu bapanya, namun Allah memerintahkan agar anak-anak tetap melayani orang tuanya dengan baik dan sopan-santun.

Begitu tinggi sekali kemuliaan ibu bapa dalam Islam.

Kini, setelah bergelar parents, barulah Mama Siti faham bahawa tangungjawab ini sangat berat. Untuk menjadi ibu bapa terbaik nyata bukanlah perkara mudah. Seawal anak itu dilahirkan, pelbagai ragam dan cabaran perlu diurus dengan bijak.

Itu baru seorang anak. Bagaimana kes ibu bapa yang mempunyai dua? Tiga? Atau mungkin tujuh anak dan lebih?

Dalam usaha nak memastikan kasih sayang dan keadilan dapat diberikan sama rata kepada anak-anak, nyata bukanlah perkara mudah untuk dua insan hebat ini lakukan.

Justeru, itulah jawapan mengapa Allah sangat memuliakan mereka yang bergelar ibu bapa.

Namun, jangan kerana takut tak mampu galas tanggungjawab ini, maka ada pasangan suami isteri yang menolak rezeki untuk menimang cahaya mata. Apa yang Mama Papa harus tahu, setiap kesukaran ada kemudahannya.

Setiap cabaran itu ada jalan keluarnya. Cuma perlukan akal fikiran yang baik dan persediaan rapi untuk menyiapkan sesebuah perkara dengan jayanya.

Jadi, jom lihat antara topik penting yang perlu dirancang dengan betul dalam soal menguruskan anak seperti di bawah:

1. Ketahui Bajet Kewangan

Topik penting dan utama yang perlu dibincangkan untuk anda berdua tentulah meneliti bajet keluarga. Tak semestinya ada rezeki banyak baru boleh plan untuk punya anak.

Maksud di sini adalah, Mama dan Papa perlu membuat persediaan mengetahui jumlah yang boleh diperuntukkan setiap bulan ke atas seseorang anak itu.

Ia termasuklah kos membeli diaper, susu, pakaian dan barangan asas lain seperti ubat-ubatan atau losyen penjagaan.

Sebagai contoh jika pendapatan Mama dan Papa agak rendah berjumlah RM3,000, pertama adalah anda berdua perlu tahu berapa banyak jumlah yang boleh dispend untuk seorang anak.

Persediaan ini untuk mengandaikan sekiranya anak tadi memerlukan belanja yang besar.

Mama Siti faham ramai antara kita cuba berjimat termasuklah menggunakan istilah ukur baju di badan sendiri. Tak kurang juag menyatakan anak adalah rezeki, maka jangan terlalu memikirkan duit tak cukup. Tapi, ramai juga tak perasan bahawa tahap kesihatan dan keserasian seseorang bayi itu berbeza.

Ada yang minum susu formula murah pun dah serasi, ada pula Mama yang dikurniakan rezeki susu badan melimpah, jadi tak perlu topup formula milk kerana kudrat dan semangatnya kuat untuk breastfeeding.

Namun tak kurang juga ada bayi yang mengalami masalah sembelit bila consume susu formula biasa. Perlu minum susu khas atau yang berharga mahal. Ada bayi allergi bila pakai diaper murah habis naik ruam teruk.

Semua ini perlu diberikan perhatian dengan membuat survey harga semasa barangan bayi di pasaran.

Tanya ibu bapa yang berpengalaman tentang jenama barang bayi terbaik, jenama yang mesra poket. Daripada situ, Mama Papa boleh buat kira-kira kalau perlu guna barang mahal, berapa jumlah bulanan kena spend untuk seorang anak.

Sekiranya rasa over budget, daripada situ Mama Papa boleh rancang plan B contohnya buat side income atau kurangkan perbelanjan harian yang tak penting. Buat beberapa plans sebagai persediaan lengkap.

Senang kata, audit semula jumlah kewangan keluarga anda sebagia persediaan untuk memberikan keperluan berseuaian kepada anak.

Sebab kita tak tahu lahirnya seorang anak nanti, apakah cabaran yang menanti. Jadi, adalah baik jika Mama Papa arrange bajet dahulu dalam masa sama bersedia sekiranya jumlah diperlukan agak besar.

Tapi kalau sebaliknya, itulah dianggap rezeki bila mana orang kata ada anak yang tak banyak pakai duit. Tapi at least anda berdua tahu macam mana untuk handle jika anak terpaksa memerlukan belanja besar.

2. Persediaan Fizikal & Mental

Ini juga penting yerr Papa Mama. Jaga anak, layan anak atau mengurus anak tu bukan setakat duduk main bersama mereka macam dalam iklan TV.

Banyak benda perlu dikorbankan antaranya masa rehat dan hobi. Sebagai contoh kebiasaannya rutin Mama lepas balik kerja, berehat kejap. Kemudian lepas solat Magrib, prepare dinner dengan suami dan habis makan, kemas dapur bersama-sama.

Dah siap semua, sebelum masuk tidur, bersantai berdua tonton TV sekejap sementara suami di sisi pula bermain game di handphone.

Tapi jika dah ada anak, tiba masanya untuk ucapkan selamat tinggal kepada aktiviti rehat kalian. Masa tu segalanya berubah. Mama dah tak ada pembantu di dapur bila masak sebab suami kena bermain dengan anak.

Tengah masak, tiba-tiba suami pergi toilet kejap, anak pun masuk dapur minta didukunglah tak pun menangis kat depan nak ajak Mama teman dia bermain.

Time ni lah emosi Mama teruji dek kerana keadaan yang kelam kabut dinner tak siap lagi, anak dah melalak, suami pula sakit perut dalam toilet.

Fasa jadi ibu bapa sememangnya sangat indah, tapi selain daripada itu, cabarannya juga berat. Mama dan Papa harus bijak kendalikan emosi kerana kalau terlalu ikut hati dan perasaan, di situlah bermulanya stress sehingga mendorong kepada mental health.

Itu baru cabaran ketika menyediakan dinner. Terdapat lagi seribu satu (1,001) situasi yang Mama dan Papa akan berdepan dalam rutin seharian disamping perlu bergegas mengurus anak kecil.

Nak marah tapi itu tak bagus untuk emosi si kecil, bila tak marah rasa dalam hati sedang tanggung beban yang berat. Demikian dilema ibu bapa yang terpaksa menahan amarah dalam menghadapi kerenah anak dan rumah tangga. Haih, sabar jek kan.

Jadi, adalah penting untuk Mama Papa berbincang bagaimana menangani suatu hal yang kelam-kabut. Mungkin Mama dah kena confess pada suami jika ada masa tak sempat, tak dapat nak memasak.

Atau sediakan stock pes lauk-pauk untuk tempoh seminggu. Minta bantuan Papa jika ada waktu terluang nanti kupaskan bawang dan sebagainya.

Perbincangan topik tentang fizikal dan mental ini sekurang-kurangnya membantu Mama Papa untuk lebih tenang mengendalikan hal yang tak dijangka.

3. Masa & Perhatian

Dalam kesibukan bekerja, jangan lupa untuk membahagikan masa dengan baik kepada keluarga. Apatah lagi jika sudah mempunyai anak.

Mama dan Papa kena berbincang bersama untuk menetapkan tempoh berapa jam dalam sehari boleh diperuntukkan bersama keluarga.

Jika seawal pagi dah keluar bekerja dan pulang lewat malam, cuba discuss adakah possible untuk pulang ke rumah lebih awal sekiranya dah memiliki cahaya mata?

Jika masing-masing tak dapat berikan masa yang panjang, maka pastikan kedua-dua antara anda bersetuju bahawa anak terpaksa diletakkan di bawah jagaan pengasuh untuk tempoh yang agak lama.

Seandainya suami yang dapat atur masa dengan lebih baik berbanding si isteri, jadi make sure anda berdua dah sepakat untuk terima kekukarangan daripada segi masa oleh salah seorang antara anda.

Bukan apa, jika dah ada anak, risau sebelah pihak rasakan yang dia je yang terpaksa berikan tumpuan dan komitmen penuh ke atas anak. Nanti sampai mengungkit kerana rasa tak adil. Banyak ya kes begini berlaku di sekeliling kita.

Memiliki anak ini adalah tanggungjawab. Namun jika salah seorang tidak mampu memberikan komitmen penuh, sebaiknya, bincang secara berhemah daripada awal. Mungkin suami mahu isteri menjadi suri rumah kerana lebih selesa anak dijaga oleh ibu kandung. Apa-apa pun, back to basic melalui komunikasi.

Mungkin weekdays Papa terlampau busy sebab sentiasa pergi outstation, jadinya asyik Mama je yang perlu korbankan masa kerja untuk keluar awal sebab nak pickup anak di taska on time.

Tapi semua ini boleh diatur dengan baik seperti menetapkan situasi berbeza sebagai ganti agar anak dapat rasa kasih sayang sama rata antara Mama dan Papa.

Papa boleh peruntukkan hari cuti nanti untuk melayani anak-anak sepanjang hari. Biarkan si isteri berehat atau keluar me-time lantaran dia dah banyak uruskan anak pada hari bekerja.

Yang penting, pastikan kedua-dua pihak berpuas hati dengan perbincangan untuk menguruskan anak kelak.

4. Disiplin & Peraturan

Ini juga antara topik penting perlu dibincangkan bersama. Ada parents yang mahu tegas mendidik anak, ada pula yang lemah-lembut.

Lagi-lagi jenis individu yang memang berhati lembut, dia sangat tak suka kalau anaknya ditegur dengan kasar atau dimarahi meskipun itu dilakukan oleh pasangannya sendiri.

Ada bapa yang tak suka bila isterinya marah anak dan begitu juga sebaliknya. Sebaiknya, bersepakat dalam hala tuju mendidik anak.

Jika isteri mahu suami bercakap lembut dengan anak, beritahu dia bahawa jika ada anak kelak, jangan bercakap dengan nada kasar kerana ia mempengaruhi development mereka.

Seandainya Mama tiada masalah dan bersetuju dengan sikap Papa, bolehlah kalian berdua menetapkan disiplin yang berseuaian dalam mendidik anak.

Semasa hamil juga Mama dah boleh rujuk buku-buku parenting atau tips bersesuaian di social media yang diberikan oleh mereka yang pakar.

Masa tu, Mama dan Papa dah boleh nampak cara yang sesuai dalam mendidik anak. Kebiasaannya pakar menyarankan agar seorang bersikap lembut, manakala pasangan seorang lagi pula tegas agar si anak dapat rasa kasih sayang serta dalam masa sama membentuk disiplin diri mereka.

Semua ini boleh dibincangkan terlebih dahulu siapa lebih sesuai untuk mengawasi disiplin anak dan siapa lebih layak mendidik anak dengan kasih sayang.

Namun, pastikan Mama dan Papa saling hormat cara didikan masing-masing yerr. Jangan yang lembut nanti marah pasangan di depan anak dek kerana tak setuju dengan ketegasan melampau dipamerkan tadi. It’s a big NO!

Jika berasa tak puas hati dengan cara pasangan mendidik anak, bincang dan tegur secara berdua tanpa anak tahu. Memarahi pasangan di depan anak boleh menyebabkan si anak hilang hormat pada parents mereka.

Panduan diberikan ini bukan untuk membuat Mama dan Papa rasa risau serta berasa terbeban dengan kehadiran anak.

Ianya sebagai persediaan agar anda berdua tahu bahawa mempunyai anak bukan hanya fokus pada ujian mengandung dan bersalin semata-mata, namun ‘penat’ yang sebenar bermula apabila Mama dan Papa berusaha memberikan terbaik pada mereka.

Bak kata pepatah orang putih, ‘parenting is only difficult for good parents’. So, hanya parents yang terbaik akan merasa berat dengan cabaran ini.

Apa pun yang paling penting dalam kehidupan berumah tangga adalah sentiasa berkomunikasi kerana membentuk keluarga harmoni memerlukan usaha daripada kedua-dua belah pihak.

Untuk pasangan pula, perlulah terbuka jika diajak berbincang dan membuat keputusan yang memuaskan hati. Ingat, keperibadian anak-anak dicorakkan oleh kedua ibu bapanya.

Maka, sentiasalah berhati-hati menjaga lisan serta emosi dalam menguruskan anak anda nanti. Good luck Papa dan Mama!


Dapatkan panduan keibubapaan yang lain di SINI.