KelabMama

TOLONG FAHAM! JANGAN BERI ANAK KAMI JAJAN..

Zaman ini memang susah juga mahu hindari jajan seratus peratus. Di mana-mana sahaja anak akan disogok dengan jajan. Begitu juga disekolah, jika menang atau berjaya dapat menjawab soalan, dapat gula-gula. Bila ada sambutan hari lahir dapat juga seplastik jajan. Ke rumah atuk nenek juga begitu, kerana terlampau sayang cucu, diberikan jajan setelah cucu-cucu merengek manja. Ramai ibu diluar sana terpaksa akui, sering juga sorok-sorok terus jajan dan masukkan terus ke tong sampah demi memastikan anak mendapat makanan yang mempunyai zat yang secukupnya.

Jajan biasanya mengandungi kadar mononatrium glutamate (MSG), bahan pengawet, pewarna, perasa, garam dan gula yang tinggi bagi mengekalkan kesedapan dan kesegaran. Namun, semua bahan yang digunakan ni telah dikenalpasti sebagai antara punca utama kepada masalah kesihatan seperti obesiti (kegemukan), kerosakan gigi, kanser dan jantung berlubang. Peningkatan mendadak penyakit-penyakit kronik juga berlaku apabila makanan rapu ni telah diberikan seawal usia bayi lagi.

Rugi beri anak-anak kecil makan jajan. Kadangkala memang perut kenyang tetapi bila mahu beri makan makanan utama sudah tidak boleh masuk. Sebolehnya boleh sahaja jika anak memang mahu makan jajan, tapi perlu syaratkan makan dulu nasi atau makan utama. Selepas itu baru boleh makan jajan.  Tetapi cara ini tidak sesuai dipraktikan kepada anak yang masil kecil. Di rumah masih boleh dikawal, namun ditempat orang selalu terbabas.

 

Kesan Buruk Jajan Kepada Kanak-Kanak

Makanan ringan, segera atau junk food ni memang sangat popular di serata dunia. Malah pelbagai variasi makanan ringan dihasilkan untuk menarik minat setiap lapisan masyarakat. Namun, tanpa disedari, akibat pengambilan makanan segera secara berterusan, bahaya pula yang bakal dihadapi dari segi kesihatan. Kalau makanan segera diperkenalkan sejak usia bayi lagi, kesannya lebih buruk daripada orang yang merokok apabila dewasa. Makanan segera dan makanan ringan boleh dikategorikan sebagai makanan kurang berkhasiat yang memudaratkan kerana ia mengandungi karbohidrat jenis biasa, lemak tepu dan garam pada kadar yang tinggi, di samping rendah atau tiada langsung bahan serat, protein, vitamin dan zat-zat logam di dalamnya.

 

1) Makanan Ringan & Darah Tinggi

Para pengkaji dari Pusat Pendidikan Pacific Health di Bakersfield California, dan Prevention Concepts, Inc. di Los Angeles, pernah menjalankan satu kajian yang melibatkan 200 orang pelajar sekolah. Hasil kajian tersebut mendapati 8/10 pelajar-pelajar berkenaan mengambil lebihan lemak tepu melalui makanan ringan. Ujian makmal menunjukkan 1/3 daripada mereka mengandungi kadar kolestrol di dalam darah yang tinggi dan 10% daripada mereka menghidap penyakit darah tinggi. Kajian jelas menunjukkan lebihan lemak tepu yang terdapat di dalam makanan ringan akihirnya menyempitkan pembuluh darah dan menjadi penyebab kepada penyakit darah tinggi terutamanya apabila umur seseorang telah meningkat.

 

2) Makanan Ringan & Asma

Di dalam kajian lain, ahli-ahli sains dari Scotland dan Saudi Arabia mendapati makanan ringan merupakan penyebab utama berlakunya peningkatan penyakit alahan dan asma di kalangan kanak-kanak. Kajian ini melibatkan 100 kanak-kanak yang mempunyai gejala penyakit asma dan 200 kanak-kanak lain yang tidak menghidapnya mendapati, mereka kurang mengambil sayur-sayuran, Vitamin E, zat-zat logam dan susu lebih mudah diserang penyakit ini. Kes-kes asma didapati meningkat sebanyak 50% di dalam jangka masa 10 tahun.

 

3) Makanan Ringan & Sakit Jantung

CNN.com.health bertarikh 14 Mac 2000 melaporkan, makanan ringan meningkatkan risiko remaja menghidap jantung. Ia berpunca daripada lebihan lemak tepu dan kolestrol yang terdapat di dalam makanan ringan pada hari ini. Penemuan ini telah dibentangkan di dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika di Anaheim, California.

 

 4) Makanan Ringan & Kesan Pada Otak

Makanan ringan juga merosakkan fungsi otak. Satu kajian telah dilakukan di Baycrest Centre for Geriatric Care di Universiti Toronto, Kanada, berhubung dengan perkara ini. Mereka mendapati, makanan ringan yang sememangnya mengandungi lebihan lemak, merosakkan daya konsentrasi dan ingatan otak. Ini disebabkan otak memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik sedangkan lebihan lemak menganggu perasan glukosa tersebut. Profesor Carol Greenwood, seorang pakar sains dari Kunin-Lunenfeld Applied Research Unit di Universiti Toronto merumuskan, makanan ringan yang mengandungi kadar lemak dan protein yang tinngi dan karbohidrat yang rendah pastinya bukan makanan yang sesuai untuk otak manusia.

 

5) Makanan Ringan & Buta

Golongan yang suka mengambil makanan ringan yang tinggi kandungan lemak didapati menghadapi risiko yang sangat tinggi mendapat masalah buta apabila berusia 55 tahun kelak. Penyakit yang dikenali sebagai Macular Degeneration yang sering menyerang para perokok, kini mula menyerang penggemar makanan ringan.

 

6) Makanan Ringan & Masalah Sosial (Keganasan)

Kajian daripada Universiti Oxford, England mendapati makanan ringan juga menjadi punca peningkatan keganasan dalam masyarakat. Peningkatan ini semakin ketara sejak 50 tahun kebelakangan ini. Perkara ini mungkin disebabkan kekurangan zat-zat tertentu terutamanya Omega-3, sekiranya seseorang banyak mengambil makanan ringan. Omega-3 sangat membantu dalam pengawalan emosi seseorang.

 

7) Makanan Ringan & Obesiti

Makanan ringan atau makanan segera memang dipenuhi dengan bahan aditif dan juga gula, garam serta lemak yang tinggi. Timbunan segala macam bahan-bahan ini di dalam tubuh turut menjadi punca utama masalah obesiti (kegemukan). Obesiti yang tidak dibendung akan memudaratkan kesihatan yang mana boleh menganggu fungsi organ dalaman tubuh kerana dipenuhi lemak yang tidak perlu. Obesiti juga menjadi salah satu punca utama penyakit kronik seperti jantung, strok, dan memendekkan jangka hayat pengidapnya.

 

 Punca Anak Anda Gemar Jajan

Anak-anak yang cerewet bab makan, ada kaitan dengan habit masa mula-mula makanan diperkenalkan kepada anak-anak. Kemudian ia juga ada kaitan dengan masalah usus dan penghadaman. Ruginya anak-anak yang sedang proses membesar makan jajan yang kalori kosong. Kebanyakannya mengatakan masalah anak tidak mahu makan adalah berpunca daripada tabiat pemakanan seawal anak diperkenalkan dengan makanan lagi. Apabila anak berumur 6 bulan, ibu mula sediakan makanan. Biasanya mula dengan bubur kosong. Kemudian cuba dengan penambahan sayur, biasanya lobak, kemudian diikuti dengan protein contohnya ikan bilis.

 

Jadi, pengenalan pelbagai jenis makanan yang bukan jajan memang penting. Sogokkan anak dengan pelbagai jenis makanan dan masakan dari awal. Pelbagaikan warnanya. Bagi menarik orang kata. Makanan manis dan masin terlampau kita sembunyikan dahulu. Sekurang-kurangnya kita di rumah buat. Kadangkala diluar susah nak dikawal bukan?

Punca lain anak tidak mahu makan mungkin disebabkan masalah penghadaman dan berkaitan dengan masalah usus. Masalah penghadaman ini adakalanya memang masalah genetik atau pun jangkitan usus. Adakalanya juga masalah berpunca daripada ibu semasa hamil. Ibu yang kurang selera dan usus terjejas waktu mengandung menyebabkan mikrobiologi usus tak sempurna diturunkan kepada bayi. Ini menyebabkan bayi mengalamai masalah seperti tidak tahan laktosa, allergi dan lain-lain. Susu formula yang tidak serasi dengan bayi juga mempengaruhi sistem penghadaman bayi yang menyebabkan selera makan anak terbantut.

Pengaruh luar jugak merupakan masalah terbesar anak anda gemar memakan jajan. Berkeraslah kepada sesiapa sahaja yang ingin memberi anak anda makan jajan. Beritahu kepada mereka kesan yang diterima anak and ajika diberi jajan dengan kerap. Ingatlah yang akan menjaga anak anda jika tidak sihat atau mendapat kesan buruk adalah anda bukan orang lain.