Sempena tahun baharu, ramai rakyat Malaysia kembali aktif di padang dan gim dengan penuh semangat untuk kekal sihat. Daripada futsal, pickleball hingga senaman berintensiti tinggi, ramai yang ingin kembali bersukan untuk kekal cergas. Namun, di sebalik peningkatan aktiviti ini, jumlah kecederaan turut menunjukkan peningkatan ketara, khususnya dalam kalangan “weekend warriors”, yang bersukan secara serius tetapi kurang latihan asas. Istilah itu mungkin kedengaran biasa, namun kesannya kini semakin ketara dalam pemerhatian para doktor.
Dr Mohd Nizlan Bin Mohd Nasir, Pakar Bedah Ortopedik & Kecederaan Sukan & Artroskopi dan Dr Jasmiza Khuzairi Bin Jasme, Pakar Perubatan Sukan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, melihat sendiri peningkatan dalam kalangan pesakit yang mengalami kecederaan yang sebenarnya boleh dicegah.
“Kami melihat semakin banyak kes koyakan bahu, kerosakan meniskus dan keradangan tendon, terutamanya daripada sukan yang melibatkan lompatan, putaran atau gerakan mengayun tangan ke atas secara berulang. Turut berlaku ialah koyakan ligamen ACL, kecederaan tulang rawan serta tendon Achilles yang putus, terutamanya dalam sukan seperti badminton, futsal dan pickleball,” jelas Dr Nizlan.
Kebanyakan kecederaan ini adalah disebabkan perubahan dalam tahap aktiviti. “Risiko ini sangat tinggi bagi mereka yang kembali bersukan terus pada tahap intensiti tinggi tanpa persediaan mencukupi,” tambah Dr Jasmiza.
Apabila Sakit Otot Menandakan Sesuatu yang Lebih Serius
Rasa sakit otot selepas bersenam adalah perkara biasa. Tetapi sekiranya kesakitan berterusan atau disertai simptom seperti sendi longgar, pergerakan tersangkut, atau kebas, itu mungkin bukan sekadar lenguh biasa, sebaliknya tanda kecederaan yang serius.
“Kecederaan ringan seperti terseliuh dan lebam kebiasaannya pulih dalam masa dua minggu. Namun, sekiranya simptom berterusan atau sendi terasa tidak stabil, ini boleh menandakan kecederaan yang serius,” jelas Dr Nizlan.
Dr Jasmiza menambah, “Kesakitan yang menjejaskan aktiviti harian atau mengganggu tidur adalah petanda untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Gejala seperti sendi tersangkut, terasa longgar atau kebas merupakan amaran awal yang memerlukan perhatian perubatan bagi memastikan keselamatan pesakit dan supaya rawatan dapat diberikan tepat pada masanya.”
Kecederaan Melibatkan Semua Lapisan
Bertentangan dengan tanggapan umum, kecederaan bukan hanya berlaku kepada yang lebih berusia atau kurang cergas. “Sama ada atlet profesional atau rekreasi, mereka semua manusia, tetapi golongan “weekend warriors” lebih berisiko kerana otot mereka tidak dilatih. Kebanyakan mereka juga tidak melakukan pemanasan badan sebelum terus melakukan aktiviti,” jelas Dr Nizlan.
Dr Jasmiza menambah bahawa gaya hidup memainkan peranan yang lebih besar daripada yang disangka. “Duduk terlalu lama boleh memendekkan otot pinggul dan melemahkan otot punggung, sekali gus menjejaskan postur serta keseimbangan badan. Tambahan pula, corak
pergerakan yang tidak betul dan ketidakseimbangan otot boleh mengundang kecederaan,” katanya.
Pemulihan Memerlukan Kesabaran
Tempoh pemulihan bergantung pada tahap kecederaan. “Koyakan separa mungkin mengambil masa antara enam minggu hingga tiga bulan untuk sembuh. Manakala koyakan penuh seperti pembedahan pembaikan ACL boleh mengambil masa antara enam bulan hingga setahun,” kata Dr Nizlan.
Dr Nizlan menekankan, pemulihan juga memerlukan keseimbangan. “Rehabilitasi yang terlalu sedikit boleh menyebabkan sendi menjadi kaku dan otot hilang kekuatan. Sebaliknya, terlalu banyak atau terlalu cepat boleh meningkatkan risiko kecederaan semula. Kuncinya adalah keseimbangan. Saya sentiasa meluangkan masa untuk menerangkan kepada pesakit tentang apa yang normal dan apa yang perlu dijangkakan supaya mereka tidak terkeliru dengan maklumat dalam talian,” jelasnya.
“Pemulihan bukan sekadar berehat. Ia juga memerlukan sesi penyejukan badan, latihan mobiliti, hari rehat dan pelan rehabilitasi yang disesuaikan menggunakan penilaian pergerakan serta pemantauan perkembangan pesakit,” kata Dr Jasmiza. “Tidur berkualiti selama 7 hingga 9 jam juga penting untuk membantu pemulihan tisu dan mengurangkan risiko kecederaan.”
Jangan Paksa Diri Jika Sakit
Mengabaikan kesakitan atau terus bermain walaupun cedera adalah antara kesilapan paling biasa dilakukan oleh “weekend warriors”. “Koyakan kecil boleh menjadi koyakan penuh. Badan akan cuba menyesuaikan diri dengan memindahkan beban ke bahagian lain, yang akhirnya boleh menyebabkan sakit pinggul atau belakang. Dari situ, masalah kronik dan osteoartritis awal boleh bermula,” jelas Dr Jasmiza.
“Proses rehabilitasi mesti disesuaikan dengan keadaan pesakit, bukan bergantung pada tempoh masa. Ada yang terlalu cepat hingga menyebabkan kegagalan cantuman pembedahan, dan ada juga yang terlalu perlahan hingga menyebabkan kekakuan sendi,” tambah Dr Nizlan.
Langkah Kecil Boleh Membawa Kesan Besar
“Satu silap langkah boleh membawa kepada berbulan-bulan tempoh pemulihan dan tiada siapa mahu ‘timeout’ seperti itu. Pemanasan badan adalah perlu, selama 10 hingga 15 minit dengan pergerakan dinamik sebelum bermain, bukan hanya regangan statik. Jika terasa sesuatu tidak kena, jangan cuba mendiagnosis sendiri. Jumpalah doktor,” nasihat Dr Nizlan.
“Doktor am juga dilatih untuk menilai kecederaan sukan. Jika perlu, mereka akan merujuk anda kepada pakar,” tambah Dr Jasmiza.
Beliau turut menyarankan agar atlet meningkatkan tahap aktiviti secara ansuran. “Ikut peraturan 10%. Jangan tingkatkan intensiti atau jumlah senaman lebih daripada 10% seminggu. Sertakan latihan kekuatan dan keseimbangan untuk melindungi sendi. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada rawatan.”
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Apa lagi yang menarik dan trending di KelabMama untuk Mama Papa? Klik di SINI.
