KelabMama

20 Tanda-tanda Awal Kehamilan Bakal Mama Harus Tahu

tanda-tanda awal kehamilan

Setiap pasangan yang berumah tangga pasti tak sabar menantikan kehadiran cahaya mata. Yelah, zuriat kita, anugerah yang tiada nilainya. Tak kisahlah anda baru berkahwin, merancang, atau masih menantikan kehadiran cahaya mata pertama, di bawah KelabMama kumpulkan 20 tanda awal kehamilan yang anda harus tahu. Setiap kehamilan itu berbeza, dan dibawah merupakan tanda-tanda yang normal berlaku pada bakal ibu.

Tanda Awal Kehamilan untuk Bakal Ibu

1 Haid Tidak Teratur

Lewat datang bulan merupakan antara tanda-tanda awal kehamilan yang paling ketara. Jika kitaran haid anda stabil dan tidak pernah lewat, mungkin bakal Mama akan perasan. Bagi mereka yang kitaran haidnya berterabur, tanda ini mungkin tidak sesuai bagi anda. Tetapi, bakal Mama boleh membuat anggaran bilangan maksimum anda lambat datang bulan dan bandingkan dengan bulan yang terbaru.

Mereka yang hamil akan berhenti mengalami haid sehingga selepas bersalin, dan usia kandungan anda akan dikira berdasarkan tarikh akhir anda datang bulan.

2 Cepat lesu

Penat, lesu, dan letih yang melampau tidak mengira masa juga merupakan antara tanda-tanda awal kehamilan. Sebaik sahaja benih disenyawakan, Mama akan mula berasa lesu. Hal ini kerana, badan anda sedang melalui proses pembentukan janin di dalam rahim.

Anda juga akan cepat lesu kerana peningkatan paras hormon progesterone dan penghasilan darah merah dalam badan.

3 Perubahan pada Payudara

Payudara ibu mengandung akan mengalami perubahan sebagai persediaan untuk menyusukan bayi yang bakal lahir. Payudara anda akan menjadi sangat sensitif, sakit, atau ngilu apabila disentuh. Normal untuk payudara ibu mengandung menjadi bengkak, berdenyut-denyut, lebih penuh dan berat. Hal ini kerana proses air susu sedang berlaku. Aerola berdekatan puting juga akan menjadi semakin gelap.

4 Nafsu Makan Berkurang

Haa, ini lagi satu tanda awal mengandung. Selalunya, di awal kehamilan, bakal ibu akan mengalami dua keadaan – semakin berselera atau langsung tidak ada selera untuk makan! Sesetengah bakal ibu akan mengalami alahan semasa hamil yang menyebabkan mereka muntah-muntah, dan kemudiannya hilang selera makan.

5 Kerap Kencing

Sekiranya anda mula kerap ke tandas, anda juga mungkin sedang hamil! Sebaik sahaja benih disenyawakan, janin anda semakin membesar dan menekan pundi kencing. Semakin besar kandungan, semakin keraplah anda berulang-alik ke tandas kerana tekanan dibahagian pundi kencing anda semakin kuat.

6 Badan Berasa Panas

Ibu hamil akan mengalami perubahan suhu badan. Suhu badan ibu hamil akan meningkat, dan menyebabkan anda berasa panas. Hal ini adalah disebabkan oleh peningkatan aliran darah dalam badan dan perubahan hormon yang mendadak. Sebab tu ibu hamil akan selalu rasa panas, lalu terpaksa mandi dengan lebih kerap dan memilih bilik yang berhawa dingin.

7 Mood Swing

Yang ni, Papa pun kena take note! Perubahan emosi yang mendadak juga menunjukkan tanda anda sedang hamil. Emosi ibu mengandung akan menjadi tidak terkawal. Kejap gembira, bahagia, kejap sedih, sampai menangis pun ada. Marah secara tiba-tiba pun boleh tau! Beritahu suami bahawa perubahan emosi berlaku kerana pergolakan hormon yang berlaku dalam badan bakal ibu. Bukannya mengada-ngada atau sengaja dibuat-buat tau!

8 Sakit Kepala

Hormon estrogen dan progesteron menyebabkan sakit kepala pada awal kehamilan.

Sakit kepala diawal kehamilan adalah disebabkan oleh hormon estrogen dan progesteron yang dihasilkan dalam badan. Ibu hamil juga akan mudah mendapat sakit kepala disebabkan tahap gula dan darah anda. Jika anda sering rasa sakit kepala dan teruk, segera dapatkan rawatan pakar!

9 Perut Kram

Anda ada rasa kejang-kejang atau sakit sikit tak dibahagian abdomen? Kalau ada rasa kejang tu, ianya merupakan tanda biasa di awal kehamilan. Hal ini kerana proses penempelan sedang berlaku di dalam rahim yang kadang-kala menyebabkan kekejangan.

10 Perubahan Pada Bentuk Badan

Ini merupakan perubahan fizikal yang menunjukkan anda sedang hamil. Postur bentuk tubuh badan bakal ibu akan berubah, berbeza dengan keadaan ketika anda tidak hamil.

Anda boleh rasakan perut dan bahagian punggung seperti membesar, serta perubahan di bahagian payudara seakan membengkak, atau sensitif.

11 Sembelit

Sembeli merupakan salah masalah yang biasa bagi wanita hamil. Di awal kehamilan, anda akan mula mengalami kembung perut yang kerap atau sembelit. Jangan lupa untuk minum banyak air kosong dan mengambil sayuran hijau!

12 Pendarahan Sedikit atau Spotting

Spotting tidak memenuhi pantiliner yang digunakan.

Spotting tak sama seperti datang haid biasa ye bakal ibu! Ramai wanita yang terlepas tanda ini kerana menyangkakan ia adalah haid. Spotting sebenarnya merupakan tompokan darah sedikit sahaja yang keluar. Biasanya, ia tidak terlalu banyak hingga memenuhi pantiliner kita. Spotting berlaku kerana telur cuba untuk melekat pada lapisan rahim kita, yang juga dipanggil pendarahan ringan.

13 Hidung Tersumbat & Selesema

Ketika hamil, tubuh badan anda akan mengalami perubahan pada sistem imun badan. Ibu hamil akan kerap demam, selesema dan hidung tersumbat.

14 Deria Bau Lebih Sensitif

Ibu mengandung mempunyai tahap deria yang lebih sensitif. Anda akan sensitif kepada bau dan rasa, terutamanya di awal kehamilan. Tiba-tiba sahaja anda akan berasa loya atau bau yang kurang menyenangkan pada bau masakan, keadaan sekeliling, dan juga suami sendiri! Deria rasa anda yang sensitif pula boleh membuatkan anda loya apabila merasa sesuatu makanan.

15 Perubahan Warna Pada Faraj

Eh, bagaimana perubahan warna pada faraj? Ketika mengandung, faraj anda akan kelihatan ‘lebih gelap’ berbanding biasa kerana peningkatan aliran darah di kawasan pelvis wanita.

16 Keputihan

Selain tompokan darah, keputihan juga merupakan tannda-tanda awal kehamilan. Anda tidak perlu risau jika keputihan yang keluar berwarna putih, tidak berbau dan anda tidak merasa gatal.

17 Morning Sickness

Sangat normal dan biasa kita dengar ibu mengandung mengalami morning sickness atau loya-loya, terutamanya pada waktu pagi. Namun, tak semua ibu hamil akan mengalami alahan ini. Morning sickness berlaku kerana paras hormon estrogen yang meningkat di dalam tubuh badan anda. Anda sememangnya sangat bertuah kalau tak mengalami sebarang alahan sepanjang tempoh kehamilan!

18 Kerap Pening atau Pengsan

Wanita hamil akan mudah pening kepala, dan juga pengsan. Hal ini adalah disebabkan perubahan yang berlaku pada badan anda. Mungkin anda terlalu penat dengan proses perubahan tersebut hingga membuatkan anda pengsan.

19 Mengidam

Mengidam atau orang tua-tua kata, anak dalam kandungan yang teringin nak makan, bukan si ibu. Sebenarnya, ibu mengandung sering mengidam juga kerana perubahan hormon yang mendadak. Kecelaruan hormon yang berlaku dalam badan akan mengeluar isyarat dalam bentuk keinginan terhadap sesuatu makanan. Normal tau kalau ibu mengandung mengidam!

20 Anak Semakin Manja

Tanda yang ke-20 ini khusus untuk Mama yang sudah mempunyai anak. Sekiranya Mama sudah mempunyai anak, anak Mama itu akan menjadi sangat manja. Ianya seolah-olah anak Mama mempunyai deria dan rasa bahawa dia akan mendapat adik dalam masa terdekat.