KelabMama

10 Surah Sakti Untuk Ibu Mengandung Dalam Islam

Zuriat ialah hadiah dari Allah SWT kepada pasangan suami isteri yang telah melangsungkan perkahwinan. Kehadiran anak semestinya sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu sebagai penyeri rumahtangga.

Jauh dalam lubuk hati kita sebagai Mama dan Ayah inginkan anak-anak yang soleh, berakhlak mulia dan sihat jasmani serta rohani.

Oleh itu, persediaan awal yang boleh dilakukan oleh Mama dan Ayah ialah mula membacakan surah-surah tertentu sejak anak dari dalam kandungan lagi.

Walaupun tiada dalil yang menyuruh ibu hamil membaca mana-mana surah dari al-quran, tetapi apa salahnya kalau kita amalkan, kan. Kita berharap agar surah-surah ini memberi kebaikan kepada bakal anak kita nanti.

Jadi, kali ini isi artikel kita khusus buat Mama yang sedang mengandung. Mungkin Mama dah tahu beberapa surah ibu hamil ini, teruskan membaca sebab ada surah-surah tambahan yang baik maknanya buat si anak.

Kompilasi Surah Khas Untuk Ibu Mengandung

Surah Maryam

Kredit gambar: Freepik

Kisah surah maryam banyak menceritakan tentang perjuangan Siti Maryam yang melahirkan Nabi Isa AS. Maryam melahirkan baginda seorang diri di padang pasir di bawah pohon tamar.

Surah ini diyakini dapat melancarkan proses melahirkan anak. Tambahan pula, ada doa istimewa buat si anak di dalam surah ini. Makna dari doa itu ialah agar anak dapat berbakti kepada Mama dan Ayahnya nanti, insya allah.

Surah Yusuf

Surah yang terkenal bila Mama tahu mereka bakal menimang bayi lelaki. Bukan kita tak tahu, Nabi Yusuf AS ialah antara manusia yang diciptakan Allah dengan rupa yang sangat rupawan dan berakhlak mulia.

Begitulah juga yang diharapkan apabila kita membacanya. Semoga anak lelaki kita elok rupanya dan baik budi pekertinya.

Surah Al-Fatihah

Kredit gambar: Freepik

Mesti ada sebab kenapa kedudukan surah ini berada di awal mashaf al-quran. Semestinya kerana surah ini ada banyak manfaat.

Fadilah surah Fatihah ialah dapat menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan.

Surah Luqman

Sesuai dengan intipati surah Luqman yang penuh dengan nasihat dari seorang ayah kepada anaknya. Walaupun begitu tiada masalah kalau Mama ingin baca surah ini.

Kelebihan surah Luqman adalah untuk mendapatkan anak yang bijak dan celik hatinya.

Surah An-Nahl

Kredit gambar: Freepik

Kelebihan ibu hamil yang mengamalkan surah ini ialah proses kelahirannya nanti bakal dipermudahkan dari sebarang kesulitan.

Lebih-lebih lagi pada ayat 78 dalam surah an-nahl.

Surah Taubah

Menjadi satu-satunya surah yang tidak dimulakan dengan ‘bismillah’ dalam al-quran. Kisah ini menceritakan tentang orang yang memungkiri janjinya sendiri.

Oleh itu, surah ini diharap dalam selalu mengingatkan kita kepada Allah SWT. Manakala, kita juga berdoa agar anak kita nanti bersih hatinya dan tidak terlibat dalam maksiat.

Surah Yassin

Kredit gambar: Freepik

Surah yassin memang tidak asing lagi dalam amalan umat Islam. Kelebihan surah ini ialah agar Allah memudahkan sesuatu urusan.

Anak yang dibacakan surah yassin didoakan semoga terhindar dari godaan syaitan dan sentiasa diberikan hidayah.

Surah Al-Furqan

Mama boleh fokuskan pada ayat 74 surah al-furqan. Kelebihan surah ini ialah agar anak menjadi penyejuk mata dan menambah kebahagiaan Mama dan Ayah.

Surah As-Sajdah

Kredit gambar: Freepik

Selain kita inginkan anak yang sihat mental dan fizikal, kita pun mesti mahukan anak-anak yang patuh perintah agama kan.

Jadi doa ini khas untuk Mama dan Ayah yang berharap mendapatkan anak yang soleh dan solehah.

Surah Al-Baqarah

Satu lagi surah agar anak menjadi seorang yang patuh pada perintah Allah ialah ayat 128 dari surah al-baqarah.

Sesungguhnya, pengharapan seperti ini penting kerana hidup kita di dunia ini tidak bermakna jika akhirat disia-siakan.

Kesimpulannya, menurut kajian dari Houstan (2019), bayi boleh mendengar dari dalam rahim sejak janin berumur 25 hingga 29 minggu.

Dengarkanlah perkara yang baik buat si anak seperti koleksi surah untuk ibu mengandung ini. Moga-moga hasil kata-kata yang baik dari bacaan Al-Quran memberikan fadilat buat anak-anak apabila sudah besar nanti.