Mama Siti terkejut juga bila baca laporan terbaru daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) rupa-rupanya, jumlah kadar kelahiran hidup di Malaysia jatuh sebanyak 11.5% pada suku pertama tahun 2025.
Hanya 93,500 bayi dilahirkan berbanding 105,613 bayi dalam tempoh sama tahun lepas. Ini adalah angka paling rendah pernah dicatatkan dalam sejarah negara.
Kalau tengok data ni, jelas sangat menunjukkan kadar kesuburan di Malaysia makin menurun. Bila makin kurang pasangan dapat anak, makin rendahlah kadar kelahiran negara kita.
Beberapa Fakta Menarik yang Mama Siti Nak Kongsikan
Dari segi nisbah jantina bayi, untuk setiap 100 bayi perempuan, terdapat 106 bayi lelaki yang dilahirkan. Nampaknya tahun ni bayi lelaki lebih ramai daripada bayi perempuan.
Dari sudut negeri pula, Selangor telah mencatatkan jumlah kelahiran paling tinggi, iaitu sebanyak 18,254 kelahiran (19.5%), manakala Labuan pula mencatatkan jumlah paling rendah hanya 278 kelahiran (0.3%).
Perbezaan yang ketara ni menunjukkan tumpuan populasi yang lebih besar di negeri-negeri maju dan padat penduduk seperti Selangor.
Umur Mama ketika Bersalin
- Umur 30-39 tahun paling ramai bersalin: 49,816 orang (53.3%)
- Diikuti umur 20-29 tahun: 39.3%
- Umur 40 tahun ke atas: 6.0%
- Umur bawah 20 tahun: 1.4%
- Dan paling mengejutkan, tiga orang berusia 55 tahun ke atas pun ada yang bersalin!
Kelahiran Mengikut Kaum
- Melayu: 68.8% (64,326 kelahiran)
- Bumiputera lain (Sabah, Sarawak & Semenanjung): Naik kepada 12.6% berbanding 12.3% tahun lepas
- Cina: Turun ke 8.6% (dulu 9.6%)
- India: Turun ke 3.8% (dulu 4.2%)
Kesuburan Merosot, Kelahiran Menurun – Apa Puncanya?
1. Perspektif Tekanan Hidup dan Kos Sara Hidup
Kalau tengok balik keadaan sekarang, ramai pasangan muda tangguh dulu untuk ada anak disebabkan tekanan hidup makin tinggi. Harga rumah mahal, kos penjagaan anak pun bukan murah sekarang.
Anak kena hantar ke taska, beli lampin, susu formula, semuanya makan belanja. Tak hairanlah kadar kelahiran semakin turun. Bila dah tangguh lama, kesuburan pun makin merosot sebab faktor usia makin meningkat.
2. Perkahwinan Lewat dan Career-First Mindset
Sekarang ni ramai wanita dan lelaki fokus dulu pada pelajaran dan kerjaya. Sebenarnya bagus, tetapi apabila terlalu lama tunda kahwin atau merancang untuk mengandung , tubuh pun dah tak setegap usia muda.
Khususnya bagi wanita, bila usia makin lewat, risiko untuk mengandung semakin tinggi dan kesuburan semula jadi pun menurun. Ramai yang terpaksa ikhtiar melalui rawatan kesuburan bila umur dah masuk 35 ke atas.
3. Gaya Hidup Moden dan Pemakanan tak Seimbang
Gaya hidup moden kita sekarang banyak yang duduk lama, kurang bergerak, makan makanan segera, tidur tak cukup, semua ni beri kesan kepada kesuburan.
Tak kira lelaki atau perempuan, hormon pun boleh jadi tak stabil bila badan kita kurang sihat. Bila pasangan dah berkahwin tapi masih belum dapat cahaya mata, salah satu faktor besar adalah kesihatan tubuh badan sendiri.
4. Masalah Kesuburan Lelaki Makin Meningkat
Ramai yang masih beranggapan bahawa masalah kesuburan hanya melibatkan wanita, tetapi sebenarnya statistik menunjukkan semakin ramai lelaki di Malaysia mengalami penurunan kualiti sperma, sama ada dari segi bilangan, bentuk, ataupun pergerakan sperma.
Masalah ini sering kurang mendapat perhatian kerana pendedahan dan kesedaran mengenai kesuburan lelaki masih rendah. Akibatnya, ramai lelaki yakin bahawa tubuh mereka sihat sepenuhnya, sedangkan sebenarnya mereka mungkin menghadapi masalah kesuburan tanpa disedari.
5. Kurangnya Kesedaran dan Stigma Jumpa Pakar
Ramai pasangan malu atau takut nak jumpa pakar bila susah nak dapat anak. Masih ada stigma yang anggap ‘tak subur’ tu aib atau salah satu pihak.
Tapi sebenarnya, rawatan kesuburan sekarang dah banyak dan sangat berkesan kalau dirawat awal. Yang penting, kita kena buang rasa malu dan ambil langkah proaktif.
Penurunan kadar kelahiran di Malaysia bukan sekadar angka semata-mata, tetapi cerminan kepada isu yang lebih besar iaitu masalah kesuburan yang semakin ketara dalam kalangan rakyat, baik lelaki mahupun wanita.
Sudah tiba masanya untuk kita lebih terbuka berbincang tentang kesuburan dan mengambil langkah awal untuk menjaga kesihatan diri, agar impian untuk membina keluarga tidak terhalang oleh masalah yang sebenarnya boleh dicegah atau dirawat.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Ikuti lebih banyak berita yang sedang trending dan viral sekarang di SINI.